Monday, February 27, 2017

REVIEW: JAMU 2017- Meninjau Seni Tari Dalam Aspek Kontemporari




Saya telah berkesempatan menyaksikan pertunjukan JAMU 2017 yang dibawakan oleh Fakulti Tari ASWARA pada pementasan terakhir semalam. Kali ini saya datang dengan satu misi. Saya akan cuba membaca gerak tari tanpa membaca sinopsis sebelum pementasan dimulakan. Selain itu, selaku orang yang kerap melakukan kerja-kerja teknikal di panggung persembahan, saya sengaja mengalihkan perhatian pada lampu-lampu yang digantung di atas kepala supaya tidak mendengar sinopsis yang dibaca oleh pengacara majlis. Sebenarnya, saya mencabar diri saya: adakah saya mampu membaca karya ini sama seperti membaca sebuah filem tanpa suara. Seperti filem, ianya adalah sebuah gambar yang bercerita. Kita mampu memahami sebuah filem walau filem itu tidak ada dialog sama sekali. Kekuatannya adalah cerita. Dalam seni tari kontemporari juga, sama menurut pandangan saya. Iaitu kekuatanya adalah ‘cerita’. Bergeraklah seasyik dan seindah mana, jika tidak ada penceritaan ianya sama seperti menjentik angin. Sebenarnya, pada pandangan saya, dalam semua aspek kesenian tidak kira teater, tari, filem, penulisan, dan lain-lain, tunjangnya adalah cerita. Tahniah buat semua koreografer Jamu 2017 atas pemilihan cerita dalam gerak karya yang di pentaskan di Studio Blackbox, ASWARA.

Jamu merupakan hasil karya baru bergenre kontemporari oleh pensyarah Fakulti Tari, ASWARA. Istilah ‘kontemporari’ adalah sebuah genre yang menggunakan sistem dan kaedah yang ditemui di era kesenian moden dan pascamoden. Kebanyakan persembahan kontemporari burhubung dengan bentuk persembahan yang lebih segar serta falsafah yang lebih luas dan baru. Kebanyakanya mengupas tentang moden dan pascamoden. Harus di ingat, istilah kontemporari itu wujud atas kemuakan serta pemberontakan pengkarya zaman neo-klasik terhadap persembahan yang telah di strukturkan. Mungkin saya tidak arif dalam bidang tari, tetapi saya membaca JAMU 2017 sebagai performance kerana menurut Richard Schecner, semua aktiviti sosial yang dilakukan seorang individu atau sekelompok orang tertentu boleh dilihat ‘sebagai’ performance. Jadi, saya bebas mengutarakan pandangan saya mengenai JAMU sebagai sebuah persembahan, bukan tertumpu kepada skop kajian tari sahaja.

Dalam pertunjukan JAMU 2017, dua persembahan ini telah menari perhatian saya untuk di diskusikan.

Karya AKTAB oleh Fairul Zahid telah mendominasi pemilihan saya sebagai seorang yang menitik beratkan penceritaan dalam sebuah penciptaan karya seni. Karya ini telah mengangkat aspek kehidupan manusia pascamoden dalam era globalisasi masa kini. Peka terhadap kesengsaraan yang dialami oleh Negara lain adalah isu ‘kemanusiaan’ yang paling jelas dalam karya terakhir JAMU yang di pentaskan pada 24 hingga 27 Februari yang lalu. Isu kemanusiaan dan pemindasan dalam performance ini dikupas secara ekstrinsik dan intrinsik dengan melihat kesannya terhadap kewujudan manusia melalui perspektif performativity. Mungkin istilah ekstrinsik dan intrinsik ini wujud dalam karya sastera tulis, tetapi saya percaya bahawa idea AKTAB ini bergerak melalui penceritaan yang di tulis kerana plot persembahan ini bergerak begitu baik. Malah dunia kesenian pascamoden telah mengangkat elektronik sebagai sastera, tidak keterlaluan jika tari diletakan sebagai sastera lisan atau sastera gerak. Atau istilah sastera gerak sudah disebut sebelum ini saya tidak tahu.

Menurut Baz Kershaw didalam tulisan beliau Drama of the Performative Society, ‘performative socities in the contemporary world are found particularly whare democracy and capitalism meet’. Jelas dalam persembahan ini mengangkat ideologi dan falsafah pertembungan dua buah negara iaitu Palestin dan Israil (walau Negara-negara Islam menidakan kewujudannya). Dalam bidang kajian persembahan, performativity mempunyai hubungan yang rapat dengan ideologi pascamoden itu sendiri. Merujuk kepada bentuk persembahan AKTAB ini, sifat performativity merupakan satu bentuk bahasa atau lebih tepatnya bahasa tindakan yang melengkapi eleman lainnya iaitu teks, imaj dan tubuh yang menjadi eleman utama dalam persembahan ini. Dari segi ‘teks’, memandangkan dalam pertunjukan ini tidak ada naskah, mungkin koreografer bergerak dari sinopsis iaitu tembok yang memisahkan antara Palestin dan Israil. Seterusnya ‘imaj’ yang dipaparkan melalui tembok yang di lakar menggukan cat sembur oleh penari dengan menggunakan warna bendera Palestin dan kostum yang terkoyak jelas menunjukan latar geografi dimana cerita ini berada, terakhir ‘tubuh’ adalah kekuatan cerita ini untuk menyampaikan masej yang tersirat dalam persembahan ini apabila gerak penari:- merangkak, jalan dalam ketakutan dan bergerak secara sembunyi-sembunyi telah membawa penonton dimana peristiwa sebenar berlaku dan perasaan emosi atau fizikal yang dialami oleh rakyat Palestin walaupun tidak berada di sana. Pada akhir persembahan ini, penari melemparkan seakan 'bom' sebagai tanda kemarahan dan mungkin ini kisah ter-fAKTAB dalam sejarah hidup mereka yang cuba digambarkan oleh Fairul sebagai koreografer.

BACKBITING adalah karya kedua yang mendominasi pilihan saya. Walaupun karya ini tampak harmoni dan humoris, tetapi cerita dan masej yang ingin di sampaikan jelas. Saya tertarik menyelami fungsi semantik di dalam cabang teori semiotik. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan memaknakan sesuatu tindakan. Dalam pertunjukan ini, gerak para penari adalah 'tanda' memandangkan dalam pertunjukan ini tidak ada naskah atau teks, maka interteksual mereka adalah dari ‘gerak’. Gerak para penari ini merupakan tenunan atau anyaman tanda-tanda yang membawa 'makna'.

Sebenarnya, melihat persembahan ini, ianya begitu theatrical dan seakan sebuah persembahan Pantomim. Pada permulaan persembahan, terdapat dua orang penari merespon percakapan seorang wanita melalui audio secara berlebih-lebihan dan unsur ini telah tercipta pada abad ke-16 lagi di Itali yang dinamakan Commedia dell’ Arte. Inilah yang saya sebutkan wujudnya unsur theatrical tadi. Tidak terhenti setakat itu, aksi ini diteruskan lagi sehingga ke tamat. Jelas koreografer bergerak dan berpegang teguh pada konsep yang dipilih. Walaupun Pantomim adalah seni yang menggabungkan unsur muzik, kelenturan tubuh dan ekspresi mimik muka sehingga menghasilkan suatu cerita yang dapat difahami oleh penontonnya ianya tetap berbeza dengan gerak tari. Dan Pantomim bukanlah persembahan kontemporari kerana pertunjukan pentomim telah wujud sejak zaman Mesir Kuno lagi. Maka BACKBITING telah berdiri sendiri atau mungkin hanya meminjam eleman pantomime sedikit atau tidak sama sekali.

Saya merasakan karya Failul Adam ini telah merespon terhadap ‘sign language’ rakyat Malaysia. Apabila kita terlalu kenyang, kita pasti akan menggosok perut. Bila keadaan panas disebabkan oleh cuaca pasti kita akan mengipaskan tangan. Ini adalah common bagi rakyat kita. Sama seperti persembahan ini, mungkin ceritanya berkisar tentang orang-orang yang suka bercakap belakang. Apabila ‘tanda’ (tangan yang bergerak tutup buka seperti mulut) telah menjadi ‘petanda’ (sikap orang yang bercakap belakang). Telah nampak kewujudan semiotik disitu. Dan karya ini mengajar kita bagaimana untuk berhadapan dengan orang yang suka bercakap di belakang kita dan bermuka-muka. Saya terhibur.

Secara keseluruhan, semua persembahan JAMU 2017 menarik dan asyik di tonton. Tulisan ini adalah hasil tinjauan saya mengenai seni tari dalam aspek kontemporari. Ianya tidak menyeluruh terhadap semua persembahan yang telah dipamerkan rata-ratanya amat menarik sebagai bahan tontonan. Cuma saya terdapat satu cadangan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak penganjur. Wujudkan sebuah ‘tema’ yang kukuh dalam karya JAMU akan datang. Sebagai contoh, mengangkat tema penindasan misalnya. Jadi kita dapat melihat pelbagai aspek penindasan terhadap wanita, penindasan terhadap pekerja bawahan, penindasan terhadap Negara kelas ke-3 dan pelbagai lagi tetapi ianya masih berpegang kepada tari kontemporari. Mungkin persembahan JAMU yang akan datang akan lebih konseptual dan lebih fokus kepada istilah kontemporari itu sendiri. Apabila meletakkan tema sahaja tanpa memberi sinopsis sebelum persembahan, mungkin akan memupuk atau melatih penonton supaya berfikir tanpa perlu disuap. Subsidi minyak pun makin ditarik dan kita terpaksa mencari duit lebih. Jadi kita tarik subsidi sinopsis untuk melahirkan golongan pemikir yang lebih kritis. hahah :) 


Naque Ariffin,
Seremban, Negeri Sembilan.

27 Feb 2017.

Tuesday, February 21, 2017

REVIEW 15: NORMA ABBAS- KEMBARA MENUJU JANJI



'Kembara menuju janji merupakan sebuah pameran lukisan hasil kerja seni Norma Abbas. Pameran ini memberi tumpuan kepada ikatan perhubungan: yang berwarna-warni dengan keluarga, teman rapat, alam semula jadi dan juga perjalanan rohani seorang wanita yang cukup harmoni dan humoris ini.


Menghayati setiap lukisan yang dihasilkan oleh seniman wanita ini, jelas halwa feminis sangat kuat dalam setiap hasil karya beliau. Kesempurnaan sosok wanita (dari segi fizikal) dalam setiap lukisan beliau sangat jelas berbanding lelaki. Terdapat satu lukisan yang memaparkan 3 tokoh wanita yang sedang duduk sambil diperhatikan oleh seorang lelaki. Tetapi tokoh lelaki itu tidak punya mata berbanding 3 tokoh wanita yang kelihatan "sempurna" pada bahagian muka, seperti gambar (1) dibawah.

Mungkin beliau terpengaruh dengan hubungan teori ''male gaze" ataupun bahasa mudahnya persoalan tatapan iaitu teori yg diasaskn oleh Laura Mulvey: bagaimana seharusnya lelaki memandang seorang wanita. Mungkin juga beliau khatam apa yang Freud sebut sebagai 'scopophilia'  iaitu menggunakan orang lain sebagai objek rangsangan seksual melalui pandangan mata. Abad ini, terlalu ramai yang mengaitkan diri mereka yang kononnya pejuang feminis, 'woman power' dan lain-lain terma yang kononnya merekalah pejuang wanita tetapi bila berhadapan dengan karya mereka, yang dipaparkan adalah lekuk tubuh wanita yang seksi, gambar kemaluan wanita, buah dada dan segala simbol yang kononnya wanita yang sebenarnya  telah menjatuhkan 'rasa' wanita itu sendiri. Seorang pejuang feminis tidak mahu dilihat dan tidak seharusnya dipandang sebegitu. Ini tidak terhad kepada seni lukis/rupa semata. Ia menyeluruh kepada semua cabang seni: teater, filem, penulisan dan lain-lain. Tetapi tidak bagi Norma Abbas, beliau memandang wanita dari sudut bagaimana sepatutnya wanita dipandang. Inilah semangat perjuangan seorang feminis.

Seterusnya, dalam satu karya beliau, "The Love Story of Rama and Sita'' (gambar 2), hanya memaparkan sosok Sita sahaja sedangkan ini merupakan kisah cinta agung dua tokoh dalam hikayat itu. Mana mungkin seorang Sita berdiri tegap tanpa Rama, tetapi dalam karya wanita yang membesar dengan berus di mulut dan cat ditangan ini, segalanya mungkin. Inilah unik dan setianya Norma Abbas, di era kesenian yang semakin urban ini, beliau masih setia dengan permainan berus dengan gaya dan teknik lukisan yang jelas setanding artis kontemporari yang mencipta nama pada era 80-an.





      Gambar (1)                             Gambar (2)
                       
  
Saya amat tertarik dengan pameran yang begitu konseptual ini. Tajuk pameran ini punyai sistem tanda dan penanda atau apa yang disebut semiotic. 'Kembara Pelangi Menuju Janji'. Norma Abbas menggambarkan perjalanan/kembara seharian beliau dalam lukisan menggunakan warna-warna yang sangat lembut/terang yang berlapis lapis. Mungkin inilah yang disebut 'Pelangi'. Dan beliau juga tidak ketinggalan mengucapkan syukur menerusi karya beliau dengan melahirkan karya 99 Nama-Nama Allah yang dipamerkan di ruang terakhir paling hujung selepas anda melewati semua lukisan.

"setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati'' - Surah Ali Imran: Ayat 185.

Sudah tentu JANJI Allah s.w.t itu pasti. Inilah yang disebut 'Menuju Janji' pada tajuk pameran ini. Maka, terciptalah KEMBARA PELANGI MENUJU JANJI. Karya sentuhan Norma Abbas boleh dihayati Galeri Seni Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma sehingga 18 April 2017. Tahniah Puan Sri Norma Abbas.


Naque Ariffin,
Warung Tugu Negara,
Kuala Lumpur.
21/2/2017.

Tuesday, February 7, 2017

MAHASISWA SEBAGAI "AGENTS OF CHANGE" ADALAH MITOS.


**Bacalah dengan nada sinis yang paling agung (termasuk tajuk di atas) dan anda akan temui titik inzal (kepuasan tidak terkata) ketika saya menulis tulisan ini.**

Entah mengapa, setiap kali pulang ke Malaysia pasti saya akan ambil tahu tentang isu-isu politik atau masalah negara yang saya terlepas pandang. Kali ini yang bermain di fikiran saya adalah isu mahasiswa Universiti Malaya yang ditahan dan dibicara/diambil tindakan kerana melanggar peraturan atau akta Universiti.

Tulisan ini bukanlah bermaksud untuk menentang sistem dan undang-undang yang telah termaktub walaupun ianya boleh ditukar secara drastik - tidak seperti nasib yang sudah tertulis di 'lauh mahfuz'. Maknanya masih boleh ditukar. Tetapi tulisan ini lebih kepada cadangan dan mencari solusi untuk menemukan benang merah ataupun titik tengah. Wahai pihak yang berkenaan, jangan takut dengan kuasa Mahasiswa. Jangan. Jangan . Jangan! Kerana mutahir ini mahasiswa kita bukan seperti mahasiwa zaman dulu yang perlu ditakuti. Para mahasiswa generasi kini, mereka lebih senang dan bangga jadi juru tepuk tangan di acara-acara TV (pergi ber bus-bus atas undangan stesen tv) atau duduk di pusat membeli belah atau di kedai kopi hipster ditemani komputer riba jenama buah dan mereka mahu jauh dari kesulitan hidup rakyat marhain tambahan pula mereka diberi PTPTN. Di sana (tempat yang saya senaraikan diatas), mereka dapat berbicara tentang artis idola, filem pecah panggung serta trend atau pakaian terbaru artis korea, dan marah apabila setiap kali ada demo yang membuatkan jalan-jalan di sekitar lembah klang di tutup kerana tuntutan rakyat 'dewasa' yang mahukan perubahan. Jadi jangan takut memberikan mereka kebebasan berpolitik. Jangan wahai tuan yang berhormat.

Jika kita bercakap mengenai cikgu yang berpolitik di sekolah rendah ataupun menengah, ianya masih relevan dan masuk akal kerana usia mereka masih tidak layak untuk mendaftar sebagai pengundi, tetapi jika akta Universiti sendiri meletakkan akta dan syarat sebegitu, apakah selepas ini syarat untuk daftar sebagai pengundi ialah berumur 25 (pukul rata usia tamat diploma/ijazah) kerana masih menggunakan alasan mereka tidak matang dalam politik. Saya cuba memandang hal ini secara positif. Jika dibenarkan mahasiwa berpolitik, hal ini merupakan satu bentuk pendedahan kepada kematangan dalam berpolitik dalam diri mahasiswa itu sendiri disamping membina idealisme mahasiswa untuk menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara.

Selain dari itu, ianya akan memberikan lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia. Kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia akan menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia. Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi? Jika telinga saya tidak pekak dan mata saya tidak buta, itulah yang saya dengar dan lihat setiap kali melihat ibu dan ayah saya ketika berkempen untuk Parlimen Rasah 20 tahun yang lalu. Wakil rakyat akan melaungkan perkataan keramat itu. D.E.M.O.K.R.A.S.I.
Atau Negara kita sudah menghapuskan sistem demokrasi selepas pemimpin bertukar tangan? Maafkan atas ketidak sedaran saya itu. Mari kita teruskan.

Jangan takut wahai Universiti-universiti yang bertapak di Malaysia. Ayuh lihat sejarah. Jika anda tidak mahu contoh Dato Sri Anuar Ibrahim (kerana beliau berdiri di barisan pembangkang walau pernah duduk di bahagian kerajaan pusat), saya senaraikan mereka-mereka yang mempersetujui dana-dana buat Universiti anda untuk setiap kali pembentangan bajet Negara. Ini lah dia barisan nya: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pemimpin lain semuanya bermula sebagai pemimpin pelajar yang condong kepada pembangkang. Tetapi hari ini mereka juga lah yang menjadi orang penting terhadap pembanggunan Negara. Tidakkah anda berbangga kelak ada dari Alumni Universiti anda berada dalam barisan kabinet Negara kita?

Mungkin kebimbangan yang amat sangat kerana anda semua melihat sejarah Indonesia dimana Presiden Suharto yang di gulingkan oleh Mahasiswa selepas menjadi pemimpin selama 32 tahun. Jangan risau. Tolong jangan risau. 32 tahun Presiden Suharto memimpin Negara Indonesia tidak banyak perubah dari segi ekonomi mahupun pembanggunan negara. Pemimpin kita paling lama pun 22 tahun iaitu Tun Mahathir Mohammad. Apa? Tak kenal? Biar betul?Macam ni, pada tahun Presiden Suharto digulingkan 1998, walaupun Malaysia dirundung kejatuhan ekonomi dan ramai ckp kita sombong tak mahu pinjam IMF, pak cik ni selamba je bawa Malaysia ikut rentak dia dan ternyata tidak ada masalah kronik pada ekonomi dan pembanggunan negara kita malah semakin maju ketika itu. Beliau sendiri pun tidak perlu di gulingkan, kerana beliau menjadi pemimpin sebelum lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Dan sekarang nampaknya ada orang membuatkan dia 'lapar' semula selepas 'lauk pauk' yang dia jaga dan beli untuk anak, cucu dan cicit -habis 'dibedal' oleh 'penyamun'.
Sebab tu saya ckp, jangan risau. Mitos mahasiswa sebagai 'agent of change' dah tak boleh di guna pakai. Tenang. Pasti tidak ada pemimpin yang akan memerintah dalam masa yang 32 tahun seperti Presiden Suharto. Jadi tenang, gerakan mahasiswa tidak akan berjaya menggulingkan Pemimpin. Jadi, sudah tiba masanya syarat dan akta 'Pelajar Dilarang terlibat dalam Politik" di setiap buku-buku peraturan Universiti dihapuskan. Jangan takut. Tolong jangan takut. Dana untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) setiap tahun meningkat. Jadi universiti anda pasti akan menerima dana itu. Atau saya tidak tahu yang dana dari Kerajaan hanya akan diberikan kepada Universiti yang hanya ada akta "pelajar tidak dibenarkan terlibat dalam politik'' dalam buku tata tertib dan hal ehwal pelajar mereka. Oh tuhan, maafkan sekali lagi keterlepasan pandang saya jika itu adalah syarat wajib untuk mendapatkan dana dari KPT.

Sebanarnya satu sahaja cadangan saya: sudah tiba masanya Mahasiswa didedahkan kepada makna/maksud 'demokrasi' sebenar dan berpeluang merasai medan politik sebenar yang bukan hanya mengundi mencari calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Sekian,
Naque Ariffin,
Bekas Johan Bahas Ala Parlimen (Piala Menteri Besar) Daerah Seremban (1) 2006 dan 2007.

Fakta: Tahun 2008 saya kalah dengan Kolej Tunku Kursyiah iaitu bekas sekolah Datin Sri Rosmah Mansur. Sekolah ni lagi kuat pusing dari saya. haha.Selamat Pagi Semua.

p/s: "sahaja saya gunakan sedikit perkataan-perkataan arab supaya kalian tahu ramai pemimpin sekarang turut menggunakan nya" - Hitelor