Sunday, August 6, 2017

Review: Jelmaan Robert Wilson dan Martha Graham Dalam LANGKAU 2017


Dalam jagat teater di Malaysia, istilah teater rupa (theatre of visuals) adalah sangat asing bagi penonton mahupun pembikin-pembikin teater era postmodern abad ini. Bukan sahaja asing, malah belum ada kesedaran untuk menjadikan ianya semacam gaya atau aliran teater yang wajib ditonton. 

Review kali ini akan lebih menjerumus terhadap konsep persembahan dan tidak pergi secara terperinci terhadap lakonan mahupun teknikal.

"LANGKAU- An evening contemporary performance" amat mendekati aliran teater yang dipopularkan oleh Robert Wilson yang sering hadir dengan "theatre of visuals" atau "theatre of image" sekitar awal 1970-an. 

Dalam bidang tari pula, awal-awal pembabitan Martha Graham lebih kepada gerak yang signifikan, dan bukan liuk lentok atau lemah gemulai. Martha cenderung dan sukakan gerak yang penuh dengan makna batin dan keghairahan yang mengejutkan dari segi emosi dan spiritual.

Dua gabungan tokoh kontemporari ini bagi saya mungkin telah memberi ilham terhadap proses pembikinan LANGKAU, memandangkan ianya sebuah karya kolaborasi antara pensyarah teater dan tari dari ASWARA.

LANGKAU 'hidup' di atas pentas 2, KLPac dengan gestur rupa tubuh yang dikoreografikan, gerak yang punya simbolik, tekstur suara/muzik yang di komposisikan dan lighting (pencahayaan) sebagai tata rupa paling penting dalam konsepsi teater visual dengan tujuan utama untuk menggapai puncak estetika bagi penonton. Selain itu, LANGKAU telah menyatukan drama non-naratif (membuang rangkaian plot linear) dengan aspek sinografi bilamana menghasilkan visual, suara, musik dan kesuyian dalam diri dengan berkomunikasi melalui bahasa tubuh.

Gerak yang dipamerkan dalam LANGKAU pada Ahad, jam 3.00ptg tadi telah menggenggam sebuah ritma dan strukturnya sendiri. Gerakan yang dipamerkan tidak mengikut teks (apa yang diucapkan) dan gerak yang dicipta telah memperkukuhkan lagi teks tanpa menjadi penghias bagi teks tersebut. Dalam kata mudah, gerak yang dicipta tidaklah sebagai gerak tari yang mengikut tempo muzik, sehingga menjadikan apa yang didengar dan apa yang dilihat adalah dua lapisan yang berbeza. Ketika dua eleman ini disatukan, maka inilah yang disebut kontemporari bagi pendapat saya.

Sebenarnya ini merupakan pengalaman kedua saya menonton LANGKAU. Ianya pernah dipentaskan tahun lalu di Blackbox, Aswara. Apa yang memanggil saya untuk menontonnya sekali lagi adalah 'An evening contemporary performance' yang dipamerkan di ruangan jemputan muka buku (facebook). Kontemporari merupakan cabang dari era Postmodernisme. Postmodernisme itu sendiri khususnya dalam dunia teater sangat bergantung kepada pemahaman serta persepsi individual kerana sehingga kini belum memiliki definisi yang pasti. Mungkin dalam persembahan LANGKAU, mereka telah menjauhi hal-hal yang tradisional dalam teater, baik dalam bentuk format mahupun presentasinya di atas panggung. Atau LANGKAU telah menentang estetika teater konvensional sehingga mengizinkan penafsiran yang pelbagai. Dalam hal LANGKAU, semiotik (lapisan-lapisan tanda dalam gerak dan video) bersifat dekonstruktif dengan memberikan peluang kepada penonton membuat pelbagai tafsiran. Jika benar maksud dan tujuan persembahan ini di pentaskan semula, maka LANGKAU telah berjaya mementaskan sebuah persembahan kontemporari yang begitu konseptual.

Cuma ada beberapa hal yang perlu dititik beratkan ketika mementaskan semula sebuah persembahan. Persembahan LANGKAU sebelum ini sudah kompleks menurut saya. Saya faham keghairahan untuk mencari penambah baikan pada show yang sebelum ini. Ada beberapa penambahan untuk persembahan kali ini, ianya seperti meleret sedikit dari yang sebelumnya ( ada energi dari segi vokal tetapi pacing agak perlahan). Saya teringat sebuah peristiwa di sebuah restoran mewah di Jepun pada awal 2015. Saya membawa sambal ikan bilis dari Malaysia. Saya ditegur kerana menurut pelayan restoran itu, makanan yang dihidangkan sudah cukup ramuannya. Saya fikir ini adalah salah satu alasan mengapa ada beberapa restoran melarang membawa makanan dari luar. Untuk mengekalkan rasa yang sudah cukup ramuannya. Bila menambah ramuan lain, mungkin ianya merubah sedikit rasa. Ini hanyalah sebuah analogi. Sama halnya dengan makanan, setiap orang mempunyai cita rasa yang tersendiri. Perbandingan akan sentiasa wujud. Inilah sebenarnya cabaran untuk mementaskan semula sesebuah persembahan yang sudah mencapai par yang tinggi. Tetapi ianya tidaklah merosak kan keseluruhan persembahan LANGKAU yang dipentaskan semula atas permintaan ramai ini. Syabas dan tahniah untuk semua ahli produksi. 

Naque Ariffin,
Parking lot KLPac / Bangsar South 
6 Ogos 2018.