Wednesday, August 3, 2016

Review 8: Structural Plot- Konsep Kaitan dalam Teater Lela Manja.





Teater Lela Manja dibintangi barisan pelakon tekenal seperti Nabila Huda, Shahronizam Noor, Jay Iswazir, Mustaqim Mohamed, Sari Yanti dan ramai lagi teater tersebut adalah adaptasi dari filem 60-an bertajuk sama.

Teater Lela Manja merupakan produk sulung Creative Impact Solutions yang dipertemukan di Istana Budaya. Syabas buat produksi ini kerana berjaya menembus industri teater "berduit" itu dengan membawa satu persekitaran baru di kraton seni yang tersergam indah.

Bagi penonton tegar teater di Istana Budaya yang sudah muak dengan hasil kerja sambil lewa dari produksi CTRA dan Rumah Karya Citra misalnya , satu pujian harus diberikan buat Creative Impact Solutions dan mereka-mereka yang terlibat.


Hal ini kerana, saya merasakan Produksi Teater Lela Manja dianggap produksi paling 'serius' yang dipentaskan di Istana Budaya tahun ini berdasarkan apa yang di pertontonkan kepada khalayak pada sesi kedua pementasan 29hb-31hb Julai 2016. 'Serius' disini adalah berkait rapat dengan persiapan sesebuah produksi. Dari segi Artistiknya (set, tatacahaya, kostum, prop, muzik dll) Teater Lela Manja adalah produksi paling rajin dan menghargai peluang yang ada untuk bertapak di "pentas bertaraf dunia" itu. Menghargai peluang bukanlah persoalanya kerana siapa yang punya duit, peluang mereka untuk mementaskan teater di Istana Budaya adalah cerah. Itu tidak dinafikan. Tetapi bagi produksi ini, kualiti produk amat di titikberatkan. Sebagai contoh, Latar tempat bagi setiap babak di dalam cerita ini amat jelas dan mengagumkan. Tidaklah seperti produksi sebelum ini, yang logo penaja tersusun panjang dan terpampang luas sebelum pementasan, tetapi apabila tirai dibuka hanya seketul batu besar diatas pentas yang besar itu tanpa menyatakan latar yang sebenar.

Memegang tema 'pembalasan dendam', ternyata pengarah dan pereka (busana,set,tatacahaya,musik) betul-betul bergerak atas landasan yang benar. Hal ini kerana pemilihan kostum contohnya bagi watak Ibu tiri kepada Lela dan Manja dipakaikan warna Merah melambang kan keganasan/kebenciab misalnya. Selain itu pemilihan warna lampu pada babak-babak penting sangat menarik contohnya babak di dalam gua serta babak di kawasan perkuburan. Hal ini mungkin tampak kecil, tetapi meninggal kan impak yang besar.


Kita beralih pula kepada cerita mengenai Teater Lela Manja ini.

Saya berminat menyelami konsep kaitan di dalam Teater Lela Manja ini. Melalui kisah yang penuh kesamaran demi mencari kepastian dan ianya dikaitkan dengan isu politik memandangkan cerita ini mempunyai structural plot dimana konsep kaitan adalah apabila tema, plot dan watak mempunyai kaitan dengan sosiobudaya, politik dan agama.

Saya ingin menyentuh kajian ini dengan memilih kaitan watak dengan politik semasa.
Kenapa saya memilih konsep kaitan di dalam Teater Lela Manja ini? Melalui kisah yang penuh ‘kesamaran’ demi mencari kepastian dan ianya dikaitkan dengan isu politik. Sabar, ini adalah 'hint' awal. Teruskan membaca.

Menyelami kisah pembalasan dendam ini, ia seakan berada di medan politik, dimana asasnya adalah 'hukum membunuh dan dibunuh’. Begitu juga di dalam Teater Lela Manja. Watak-watak yang ditonjolkan seakan membawa kaitan dengan isu politik Malaysia ketika ini. Ia dapat dilihat dari aspek watak dan perwatakan. Watak Raja yang memegang teguh pada keadilan bertindak menghukum Megat (bapa kepada Komeng) atas kesalahan yang dilakukan untuk keadilan. Watak Raja ini saya kaitkan denga melambangkan Perdana Menteri ke-2 iaitu Tun Razak yang telah melaksanakan dasar-dasar yang penuh keadilan dan menyamaratakan dimana orang melayu di kampung, orang cina di kampung baru dan orang india di estet. Mankala Raja Muda (anak Raja) yang lari dari masaalah tanpa mahu menghadapi masalah hanya kerana seorang wanita (Watak Lela) tidak mahu berpisah atas dasar kasih kononnya. Disebabkan itu, nyawa rakyat banyak yang terkorban kerana beliau tidak melawan atau menyerah diri.

Raja muda ini dikaitan dengan Perdana Menteri kita sekarang iaitu Dato Seri Najib anak kepada Tun Razak yang tidak pernah menjawab malah lari persoalan-persoalan tentang isu 1MDB (ini lah yang saya sebutkan kesamaran pada perenggan sebelum ini) dan beliau setia diapit oleh Datin Seri Rosmah (walau dimana pun beliau berada, sama seperti watak Lela yang tidak mahu berenggang). Dan akhirnya rakyat tetap rakyat yang tidak punya watak. Rakyat dalam Teater Lela Manja dibunuh kerana kebaculan Raja Muda yang lari, tetapi rakyat Malaysia dibunuh dengan kos sara hidup yang makin meningkat tambahan pula GST yang telah terlaksana. Menarik bukan apabila konsep kaitan dalam teater ini benar-benar berkait dengan Alam realiti? Sekejap, harus di ingat, Raja Muda tidak lari berseorangan kerana bersama dengannya adalah Bendahara dan Temenggong yang sentiasa menyokong dan mengangguk setiap cadangan serta keputusan Raja Muda walaupun negaranya tergadai kepada Komeng dan kuncu-kuncunya. Nah, Sekarang saya memberi anda peluang, Menteri kita mana yang anda mahu pilih untuk dikaitkan dengan watak Bendahara dan Temenggung? Saya yakin terlalu ramai senarai yang berada dalam minda anda bukan? dan salah satu ya adalah Menteri Wilayah Persekutuan kan?

Teater Lela Manja ini tidak hanya berkaitan dengan situasi politik. Ia sebuah teater yang hebat dari aspek visualnya dan pujian harus diberikan kepada pengarah serta tenaga kreatif yang berjaya membuatkan teater ini begitu autentik kerana membawa penonton merasai erti penceritaan sebenar dan bukan sekadar skrip improvisasi dari pelakon atau pelawak. Lakonan pelakon-pelakonnya bukan sahaja hebat. Syabas buat seluruh produksi Teater Lela Manja.

P/s: Mok Cun nak masuk Istana Budaya semula. Bila pula Mak Lampir ke, Cik Kiah ke nak masuk IB? Tak pun pindah je Astro Warna tu bukak office kt IB.😂

Wednesday, May 27, 2015

Review 7 - KONSEP 1 MALAYSIA DALAM PEMENTASAN UDA DAN DARA





Karya agung Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ (Dr) Usman Awang ini adalah sebuah drama muzikal yang pada zahirnya drama ini adalah sebuah kisah cinta antara dua sejoli bernama Uda dan Dara. Idea awalnya daripada sebuah sajak yang beliau tulis pada 1956 bertajuk ‘Gadis Di Kuburan’. Kemudian diolah menjadi sebuah cerpen bertajuk ‘Uda dan Dara’. Pada 1972 cerpen itu dijadikan sebuah drama untuk persembahan TV dan seterusnya dipentaskan sebagai ‘Muzika Uda dan Dara’ – musikal pertama di Malaysia, 1972. Namun cerita sastera klasik Melayu ini sebenarnya memaparkan etika dan moral penghidupan berbeza antara buruk dan baik, kemuliaan dan kejahatan. Ia adalah contoh tauladan dan peringatan untuk manusia sejagat kerana sifat lemah akan nafsu dan pelupa harus disedarkan. Ini lah yang cuba diangkat dalam naskah jiwa dan air mata, Muzikal Uda dan Dara.

Muzikal Uda dan dara di pentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Canter (KLPac) dengan konsep yang begitu manimalis tetapi masih mampu memukau penonton. Diarahkan oleh Dato Faridah Merican, Muzikal Uda dan Dara ini dipentaskan dengan suntikan moden apabila pengarah melakukan adaptasi terhadap naskah asal. Uda Dan Dara versi 2015 ini mengisahkan tentang Uda, seorang pemuda Cina dari kampung. Uda memadu asmara dengan Dara, anak keluarga Melayu kaya dan berpengaruh namun jurang darjat ketara menjadi pemisah.

Melihat hasil garapan pengarahnya, teater yang dipentaskan di Pentas 1 KLPac ini masih sama jalan ceritanya, tetapi kali ini digarap dengan mengambil isu realiti yang dilalui masyarakat zaman ini. Meskipun isu perbezaan darjat antara miskin dan kaya sudah dilalui sejak zaman dahulu lagi, ianya masih relevan untuk diangkat dalam pementasan hari ini.

Selaku penonton, saya merasakan tempo permainan dalam Uda dan Dara bergerak agak baik. Adegan-adegan yang diangkat dalam pementasan ini bergerak cepat untuk di develop. Pacing dialog-dialog juga begitu baik dan kita dapat melihat ada kuasa kimia yang besar diantara watak Uda (Mark Lim) dan watak Dara (Hana Nadira). Dari aspek artistik persembahan, set yang digunakan kurang menyerlah dan begitu manimalis tetapi masih menjelaskan latar untuk sesuatu tempat dan latar masa.

Saya sedikit terganggu dengan adaptasi terhadap naskah jiwa dan air mata ini. Apakah pengarah ingin mengangkat konsep 1 malaysia di dalam persembahan ini dengan meletakan watak peneraju iaitu Uda yang berbangsa Cina? Selain itu, wujud watak yang cuba di ketengahkan seperti watak lelaki berbangsa India untuk menggamatkan suasaan dan cuba untuk memasukan eleman komedi dalam persembahan ini. Ternyata kaedah ini berjaya kerana rata-rata penonton ketawa ketika babak itu. Kembali ke topik asal, saya yakin konsep 1 Malaysia ini diketengahkan dalam pementasan ini.

Untuk melakukan sebuah teater muzikal, nyanyian dan penghayatan ketika menyanyi amatlah dititik berakan. Apa yang saya dapati ketika pementasan ini, watak Uda seolah-olah melepaskan batuk di tangga ketika menyanyi. Saya memang tidak ada masalah dengan kepelatan lidah beliau, tetapi saya menunggu tasmat dari suara beliau ketika menyanyi tetapi malangnya sehingga ke akhir pementasan nyanyian Uda mengecewakan. Saya merasakan, jika muzik dimainkan secara live, mungkin persembahan ini tampak lebih bertenaga.

Konklusinya, Muzikal Uda dan Dara versi 2015 ini akan lebih menyerlah jika kematangan produksi ini diuji sedikit lewat dari tarikh pementasan sebenar. Saya yakin, jika produksi ini sudah benar-benar matang, hasilnya pasti bombastik. Saya juga merasakan Teater Muzikal Uda dan Dara ini boleh memberi penanda aras kepada produksi muzikal ketika ini yang situasinya di ibatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Tuesday, May 26, 2015

Review 6 - MacBath versi Chin San Sooi




Macbeth merupakan sebuah naskah klasik karya penulis agung, William Shakespeare yang ditulis sekitar tahun 1606. Drama ini adalah salah satu tragedi Shakespeare yang terkenal dan juga paling pendek. Teater Macbeth juga sudah banyak dipentaskan di seluruh dunia dalam pelbagai versi. Pengarah terkenal dari Jepun, Akira Kurosawa pernah mengarahkan sebuah filem bertajuk Kumonosu-jo yang merupakan adaptasi dari naskah hebat ini. Selain Akira, Orson Welles dan Roman Polanski juga pernah mengarahkan Macbeth dalam versi filem.

Naskah tragedi ini dipentaskan pada 4hb sehingga 12bh April di Pentas 1 Damansara Performing Arts Center (Dpac). Diarahkan oleh Chin San Sooi, Mac Beth kali ini membawa konsep Opera China untuk memberi  kelainan.

Berlatarkan set dan pencahayaan yang begitu sederhana tetepi menitik beratkan pada kostum dan tatarias, pujian harus diberikan kepada produksi ini kerena menurut informasi rata-rata daripada mereka semuanya sekadar membantu tanpa sebarang bayaran kerana ingin menyampaikan hasrat pengarahnya.

Tidak dinafikan, teater ini berjaya membuatkan kita terpesona dengan rekaan kostum dan tatariasnya. Penampilan pertama pelakon di atas pentas dengan kostum yang gah membuatkan penonton terpukau dan memberikan tepukan. Sayangnya, para pelakon tidak bijak bermain dengan kostum dan mensiakan satu-satunya unsur tasmat yang ada dalam persembahan ini begitu sahaja. Penggunaan muzik latar yang tidak memberikan sebarang impak juga mencacatkan sedikit persembahan ini. Ini kerana kebanyakan muzik tidak kena dengan situasi yang sedang di pamerkan.

Saya begitu tertarik dengan idea pengarah apabila memilih 3 watak ‘witch’ dimainkan oleh seorang pelakon sahaja. Ini berbeza dengan pementasan Macbeth yang pernah saya tonton sebelum ini. Watak ini dimainkan oleh Pearlly  Chua Poh Choo dengan baik dan berkesan ditambah pula dengan vokalnya yang mantap. Selain itu, watak Porter (dilakonkan oleh K.Pasupathy) juga harus diberikan pujian apabila kemunculannya membuatkan penonton terbangun dari lena sementara.

Sayangnya disini, pelakon-pelakon yang lain tertutup oleh kostum yang besar apabila lakonan mereka ibarat melepaskan batuk di tangga. Satu konklusi yang tepat adalah rata-rata dari mereka kurang bertenaga dan tidak dapat mengawal tempo persembahan memandangkan naskah ini dipentaskan hampir memakan masa dua jam lima belas minit.

Walaubagaimanapun, persembahan ini bukanlah  terlalu teruk. Pujian harus diberikan kepada Chin San Sooi kerana berani membawakan naskah tragedi klasik disaat penonton di Malaysia ketika ini kemaruk dengan teater Muzikal. Tahniah kepada seluruh ahli produksi.

Thursday, September 12, 2013

Review 4 - Instrument Pemikiran dalam Teater Pokok Kelapa Sayang



Tidak tahu apa percaturan  Revolution Stage kali ini apabila mementaskan persembahan #ProjekTu di luar gelanggang mereka. Mungkin ingin menukar angin barangkali. #ProjekTu menampilkan 2 buah ceita iaitu Interview dan Pokok Kelapa Sayang.

Aku tertanya-tanya, apa pula kelainan yang akan di bawa oleh pengarah terhadap naskah rasa dan air mata "Pokok Kelapa Sayang" kerana ianya pernah beberapa kali di pentaskan. Tambah pula persembahan ini pernah aku tonton beberapa tahun dulu.

Ternyata naskah karya Khairunazwan yang di dalangi oleh Ghadafi kali ini tampak berbeza. Sebuah simbol adalah “sebuah instrument pemikiran”. Aku tertarik dengan simbol yg diaplikasikan dari teori semiotik di dalam persembahan ini. 

Simbol digunakan dengan cara yang lebih kompleks dengan membuat seseorang untuk berfikir tentang sesuatu yang terpisah dari kehadirannya yakni susunan pelakon di atas pentas atau "blocking" yang digunakan mempunyai makna-makna yg menarik bagi aku.

Sebagai contoh, dua org pelakon iaitu watak Nur Ain (Nisa) dan watak Penjaga (Sherry) berdiri bertentangan ketika Hashim (Ejat) sedang berdialog. Aku membaca simbol itu sebagai kubur Nur Ain melalui dialog-dialog yg dilontarkan. Formasi ini diulang beberapa kali mungkin untuk menjelaskan sesuatu atau mungkin secara tidak sengaja, tetapi ianya menarik di samping teknik "quick change" pada baju yang dipakai dan dibuka untuk membezakan latar masa sangat membantu dalam pementasan ini.

Selain itu, ketika pertengkaran Hashim dengan watak Nur Ain yang saling mengangkat baju sesama mereka sangat berbeza untuk menunjukan aksi ranjang. Ini menarik perhatian aku..Sudah semakin jelik melihat aksi ranjang yg digunakan oleh pementasan-pementasan lain sebelum ini .Teknik yg digukankan adalah bayangan atau bunyi di belakang tirai. Tetapi didalam persembahan ini TIDAK! 

Seterusnya, simbolik kekecewaan, kehampaan,kerinduan Hashim terhadap NurAin ditunjukan melalui persembahan ini adalah dengan membaling semua barang atau hadiah kesayanganya..Ini juga di ulang beberap kali..mungkin ingin memberitahu penonton bahawa sakitnya menjadi seorang perindu..Barangkali..

Aku sedikit terganggu dengan aksi2 romantis antaranya ketika Hashim memakaikan pakaian kepada Nur Ain. Akan lebih terasa kemanisan nya jika "moment" diberikan ketika aksi ini dan jangan terlalu serabut. Mungkin watak Nur Ain tidak perlu bergerak ketika itu, hanya Hashim sahaja yg menunjukan kasihnya atau romantiknya seorang lelaki ketika aksi itu.

Akhirnya, mungkin bagi aku persembahan ini adalah sebuah proses yang mengaplikasikan secara detail dalam mamahami objek, peristiwa, atau situasi melalui gerak, susun atur pelakon (blocking) melalui pendekatan teori semiotik.

Persembahan ini berlansung sehingga Ahad (15/9/2013) di Stor Teater DBP Kuala Lumpur

Saturday, February 16, 2013

Review 3 - Teater SeNaPas




Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi medan percaturan gelora jiwa anak muda yang semakin matang dan bersemangat dalam aspek kesenian.Baru-baru ini Revolution Stage kembali dengan sebuahlagi karya  iaitu Teater Senapas selepas kejayaan besarnya mementaskan teater Tycoon di Auditorium Dewan Bahasa. Membuat percaturan baru, kali ini Khairunazwan Rodzy memberi kuasa kepada Kirin Mohammad untuk meluahkan rasa baru terhadap naskah yang sudah di pentaskan beberapa kali ini.

Teater Senapas membawa anda menyelami isu-isu yang malar segar pada masa kini. Saban hari, kes pembuangan bayi terpampang di dada-dada akhbar tempatan.Lantaran itu Khairunazwan Rodzy, penulis selaku pengarah artistik teater ini mengambil langkah inisiatif untuk membawa isu ini ke medan teater bagi menyapaikan masej kepada orang ramai betapa besarnya impak kes tersebut.

Dari aspek pengarahan, pengarah bijak menyeimbangkan kesan teknikal (projector) dengan pelakon. Tiada siapa menelan siapa. Cuma jika pelakon di berikan lebih banyak gerak aksi,mungkin ia lebih menarik. Bagi pandangan saya.

Senapas menceritakan percintaan  berlainan darjat diantara seorang guru perempuan dan seorang murid lelaki yang mempunyai satu masaalah iaitu penentangan keluarga sehingga terpaksa lari dari keluarga dan memulakan hidup baru tanpa pertalian yang sah dan bersekedudukan.Beberapa konflik berlaku sehinggalah guru wanita itu mengandung dan melahirkan anak.Persoalan akhir yang timbul adalah sama ada mereka ingin membuang bayi itu atau terus membelanya.

Apa yang dapat dilihat di dalam cerita dan naskah  ini, ia mempunyai konsep kaitan di dalam teori strukturalisme dari aspek pembinaan plot,tema dan watak yang membawa  kepada isu-isu semasa.Sebagai contoh kes pembuangan bayi yang semakin popular pada masa kini.Pengarah cuba merungkai apakah puncanya perkara ini boleh berlaku dan mendapat konklusinya iaitu cinta yang terhalang boleh membawa kepada kerosakan akhlak iaitu melakukan hubungan terlarang sehingga melahirkan anak supaya keluarga dapat menerima perkara tersebut.Kes ini berkaitan juga dengan agama.Jika dilihat dan di kaji,agama rasmi di negara ini adalah agama islam dan agama islam ini sendiri mengharamkan perkara tersebut.Cerita ini bukan sahaja merungkai apakah impaknya pembuangan bayi tetapi menerapkan tuntutan agama dalam sesebuah hubungan.

Plot dalam cerita ini juga mempunyai kaitan dengan sosiobudaya.Sebagai contoh pergaulan diantara remaja-remaja pada masa kini yang semakin bebas tanpa memikirkan cara hidup dan adat istiadat.Dalam cerita ini guru perempuan tersebut mengajar di sebuah kampong dan bercinta dengan anak muridnya.

Dalam satu babak di dalam cerita ini, anak murid tersebut datang ke rumah cikgu permpuan itu dan masuk ke rumah tanpa memikirkan budaya dan adat melayu iaitu tidak elok seorang lelaki masuk kedalam rumah seorang perempuan tanpa ada seorang pun yang menjadi peneman atau saksi yang boleh mengakibatkan fitnah dan dalam agama sendiri menyebut apabila berdua-duaan itu adalah zina.

Disini jelaslah bahawa Teater  Senapas ini menerapkan aspek strukturalisme serta konsepnya yang terang dalam persembahan ini apabila struktur drama ini mempunyai kaitatan-kaitan dengan agama,sosiobudaya,politik dan lain-lain.

Tahniah juga buat pelakonya Bulat dan Aznah Mohammed kerana berjaya membawa saya ke alam percintaan mereka yang penuh dengan emosi.

p/s : Kirin x abis2 lagu org putih..tp pilihan yg tepat hampir kesemua lagu. aha








Sunday, August 5, 2012

Review 2- Kaitan Semiotik di dalam filem ‘Children Of Heaven’ oleh Majid Majidi


‘Children Of Heaven’ mengisahkan kepayahan hidup Ali dan adiknya Zahra yang dibesarkan dalam keluarga miskin di Iran. Kisah bermula apabila Ali lakonan (Amir Farrokh Hashemian) secara tidak sengaja kehilangan kasut adiknya yang diambil dari tukang kasut. Ali berpakat dengan Zahra lakonan (Bahare Seddiqi) untuk merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan ibu bapa mereka dengan membuat perancangan yang akhirnya merumitkan mereka. Ali dan Zahra sedar ibu bapa mereka sedang dihimpit masalah kewangan dan tidak mampu membelikan sepasang kasut baru untuk Zahra sebagai ganti kasutnya yang hilang. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Ali memasuki satu pertandingan dengan harapan memenangi hadiah sepasang kasut.

Children Of Heaven sebuah filem yang sensitif, lembut dan humoris daripada cebisan kehidupan yang bukan seharusnya diratapi tetapi dinilai pengertiannya. Pengarah filem tersebut, Majid Majidi membuktikan bagaimana sebuah filem boleh bercerita tentang permasalahan keluarga yang kecil dengan impak sosialnya yang begitu universal.
Penulis berminat mendekati teori semiotik didalam filem yang berlatarkan masalah kemiskinan dalam sebuah kehidupan harian di Iran. Kita dihidangkan dengan babak menjahit kasut pada permulaan cerita ini. Kasut itu sendiri membawa suatu simbol yang begitu besar dalam filem ini. Ianya lebih kepada harapan atau destinasi untuk menuju kejayaan kerana kasut itu digunakan untuk ke sekolah. Filem ini menggambarkan golongan kelas ke-3 untuk meneruskan hidup mereka. Kasut itu menjadi simbolik kepada ‘kemiskinan’ kerana di jahit berkali-kali kerana itu sahaja harta yang mereka ada.
Kasut menjadi titik-tolak kepada serangkaian peristiwa. Apa yang tergambar adalah sebuah drama kehidupan yang mengenalkan kita erti ketabahan dan kesungguhan yang digambarkan dengan lembut di sebalik kemesraan dan kebahagiaan antara keluarga. Di sebalik kegetiran hidup yang dilalui oleh kedua beradik ini, terpancul momen-momen komedi yang mampu melucukan, kerana bagi saya walau bagaimana susah sekalipun pasti punya saat tersenyum dan juga saat-saat indah. Bayangkan, mereka perlu berlari selepas dan ketika mahu pergi ke sekolah supaya si abang dapat sampai ke sekolah pada waktunya. Kesukaran ini rupanya menjadi latihan yang baik untuk Ali menyertai pertandingan larian jarak jauh yang disertainya semata-mata untuk mendapatkan tempat ketiga yang akan menawarkan hadiah sepasang kasut.
Visual kemiskinan cuba digambarkan seterperinci mungkin, daripada keperluan keluarga Ali yang terpaksa membeli kentang yang kurang baik. Ketika Ali sampai di sebuah kedai untuk membeli kentang, dia terus ke bakul yang menyediakan kualiti kentang yang baik, tetapi terpaksa akur dengan perintah pemilik kedai runcit itu supaya dia mengambil kentang yang berada di bawah yakni kualitinya kurang baik. Disini jelaslah unsur  semiotik iaitu ikonik dimana dari visual yang dipaparkan, Ali memang tidak mampu untuk membeli barang itu. Seterusnya, bagaimana keluarga itu perlu menggunakan semula benang daripada kain yang sudah tidak digunakan untuk dijadikan pakaian lain.Disini, jelas unsur mystical speech yang memberi gambaran kepada maksud yang ingin disampaikan.


Selain itu, gambaran pensil kayu yang pada mulanya pendek dan digantikan dengan pensil yang panjang yang dipegang oleh Zahra iaitu adik Ali. Bagi saya, maksud visual itu adalah harapan dan kehidupan harus diteruskan. Ini merupakan sebuah filem yang mengajar erti kehidupan dan erti bersyukur 

Monday, March 26, 2012

Review 1 Bunohan : Politik Yang Seimbang Pada Mata Dasar







Pembikin filem BUNOHAN ini boleh dikategorikan sebagai ‘rebel’ kerana melawan arus pemikiran pengkarya-pengkarya lain. Jika dilihat pada sejarah, Aristotle pernah membangkang gurunya iaitu Plato dalam menyatakan falsafah yang berlainan.

Begitu juga Dain Said. Tidak memegang kepada perkembangan-perkembangan plot kronologi yang digunakan oleh pengarah-pengarah ketika ini yang membikin film ‘hot cup maggi’ dimana mudah, cepat dan murah supaya laku di panggung-panggung, sebaliknya beliau memilih untuk mengembangkan ceritanya menggunakan plot kompleks yang menimbulkan peripety dan recognition iaitu berlawanan apa yang penonton mahukan serta dilengkapkan oleh pathos (melengkapkan semua konflik sesebuah cerita) dan menyebabkan tak peduli, jadi peduli dan tak tahu, jadi tahu. Inilah membuatkan filem ini begitu autentik. Menarik bukan?

Selain plotnya yang kompleks, Bunohan mempunyai structural plot yang mempunyai konsep kaitan dimana tema, plot dan watak mempunyai kaitan dengan sosiobudaya, politik dan agama.

Saya berminat menyelami konsep kaitan di dalam Bunohan ini. Melalui tema yang mungkin bagi saya adalah ‘penindasan’ dan dikaitkan dengan isu politik. Menyelami kisah Bunohan ini, ia seakan berada di medan politik, dimana ‘dalam gerak politik umpama perang ganas hukum membunuh dan dibunuh’. Begitu juga di dalam Bunohan. Watak-watak yang ditonjolkan oleh Dain Said seakan membawa haluan politik masing-masing. Ia dapat dilihat dari aspek visual dan kostumnya. Watak Bakar (Pekin) tidak habis-habis dengan baju biru dan merahnya, Ilham (Faizal) pula setia pada baju hijaunya sehingga ke mati tanpa mahu ‘perubahan’ pada bajunya dan Adil (Zahiril) tetap pada ‘namanya’. Dan akhirnya baju biru dan merah itu berjaya menindas yang lain. Tidak habis disitu, tekapan situasi politik di Negara ketika ini juga disumbat muat di dalam Bunohan iaitu bertukar atau lompat parti. Ia direalisasikan pada watak Muski (Amerul) yang pada mulanya merupakan rakan baik Adil dan bertukar menjadi musuhnya di akhir cerita. Segala-galanya kerana duit.

Politik tidak habis pada watak itu, sebaliknya politik terus menyerang Bunohan dari aspek politik filem sekarang. Di dalam filem ini, kelir wayang kulit telah dikoyak dan dicarik dimana membawa simbolik/metafora kepada kemusnahan layar perak oleh segelintir pembikin yang membikin filem ‘hot cup maggi’ : murah, mudah dan senang, tanpa mereka fikir bahawa merekalah yang menjahanamkan estetika perfileman itu sendiri.

Mengapa Si Baju Biru mengoyakkan kelir? Mungkin ia berbalik kepada sejarah karya Dain sebelum ini. Mungkin!!!

Dialog-dialog yang dilontarkan oleh pelakon-pelakon di dalam filem ini juga berbaur politik. Antaranya adalah situasi Cina Burung (Ho Yuhang) mengajar burungnya bertutur dalam bahasa Inggeris dan dibidas oleh Ilham dalam dialognya “tu burung Melayu, bukan burung mat saleh”. Ia mungkin ada kaitan dengan sistem pendidikan Negara ini yang mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Selain itu dialog Pok Wah (Nam Ron) yang diganggu dengan kehadiran Muski (menyatakan Adil cedera) yang berbunyi “mu ingat aku orang politik, nak ceramah-ceramah?”. Ia berbalik kepada sesetengah, saya ulang ‘sesetengah’ pemimpin yang hanya berhujah/ceramah tanpa sebarang tindakan. Tidak kira ia di sebelah kiri atau kanan.

Selain itu, segala konflik di dalam Bunohan berlaku di kedai kopi. Orang Melayu dan cerita kedai kopi tidak boleh diasingkan dalam filem ini. Seperti lagu ‘Cerita Kedai Kopi’. Jika tidak salah pada pemerhatian saya selepas menonton buat kali kedua, kedai kopi itu ibarat ‘parlimen’ apabila menjadi medan singgahan buat si baju biru dan hijau. Tetapi harus diingat Adil tidak pernah muncul di kedai kopi, tetapi diwakili oleh Pok Wah yang menuntut ‘keadilan’ tentang bayaran gelanggang dan peninju kerana Jolok (dilakonkan dengan cemerlang oleh Hushairi Husain) gagal menunaikan janji. Sepatutnya bayaran harus dibuat selepas Awang Sonar (Soffi Jikan) termakan helah Jolok : ‘Jika Awang membuka gelanggang untuk berlawan, maka hutangnya dengan Jolok selesai’.

Filem ini tidak semuanya berunsurkan politik. Ia sebuah filem yang hebat dari aspek visualnya dan pujian harus diberikan kepada pengarah sinematografi yang berjaya membuatkan filem ini begitu autentik kerana membawa penonton merasai erti penceritaan sebenar. Lakonan pelakon-pelakonnya bukan sahaja hebat malah membuatkan anda berkata ‘masih wujud pelakon-pelakon yang ikhlas memberikan emosi’. Syabas!

Konklusinya, filem ini dalam isyarat ‘wajib tayang’ di pawagam sekarang, dan kita penonton harus membawa isyarat bahawa filem ini adalah ‘WAJIB TONTON’. Tidak keterlaluan jika saya katakan filem ini sepatutnya menjadi contoh buat sebuah ‘kilang filem’ seperti (dot..dot..dot) yang selalu mengeluarkan filem ‘bertih jagung’.