Friday, January 20, 2017

KEPENTINGAN PEMILIHAN ISU/CERITA/DIALOG UNTUK ADEGAN MEJA MAKAN DI DALAM FILEM/TELEMOVIE.


Kebelakangan ini, ramai nitizen menyatakan yang mereka muak dengan adegan-adegan di meja makan yang sering di tampilkan di kebanyakan filem/telemovie tempatan. Saya tidak merasakan itu adalah sesuatu yang perlu dibuang kerana itu adalah keperluan asas seorang manusia. Iaitu makan. Tetapi yang menjadi persoalan atau masalah disitu adalah isu atau isi perbualan di dalam adegan itu sendiri. Boleh dikatakan hampir semua telemovie hari ini pasti ada adegan di meja makan tidak kira di rumah, mahupun di kedai makan/restaurant.


Aspek pemilihan isu serta warna untuk situasi adegan ini sangat mencabar sebenarnya. Bagaimana ingin menggarap suatu babak cliché menjadi suatu babak yang yang mampu diingati atau menguji tahap kesedaran penonton terhadap isu yang ingin diangkat. Isu-isu yang diangkat ketika babak/scne ini menjadi cerminan bahawa filem/skrip kita tidak perlu hanya bercerita mengenai selepas kerja mahu bermain golf, kisah Dato/Datin serta Tan Sri, projek jutaan ringgit sedangkan kos hidup makin mencekik, atau sewaktu dengannya. Berceritalah mengenai realiti hidup, meskipun pahit untuk ditelan. Senarai 3 filem ini telah meninggalkan impak peribadi terhadap saya ketika di adegan meja makan, iaitu Bunohan, AADC1 dan Children Of Haven.


BUNOHAN.

Kebanyakan konflik di dalam Bunohan berlaku di kedai kopi. Orang Melayu dan cerita kedai kopi tidak boleh diasingkan dalam filem ini. Seperti lagu ‘Cerita Kedai Kopi’. Apa yang saya perhatikan, kedai kopi di dalam Filem Bunohan ini ibarat ‘parlimen’ apabila menjadi medan singgahan buat si baju (Pekin Ibrahim) dan hijau (Faizal Hussin). Tetapi harus diingat ‘Adil’ (Zahiril Adzim) tidak pernah muncul di kedai kopi, tetapi diwakili oleh Pok Wah (Namron) yang menuntut ‘keadilan’ tentang bayaran gelanggang dan peninju kerana Jolok (Hushairi Husain) gagal menunaikan janji. Sepatutnya bayaran harus dibuat selepas Awang Sonar (Soffi Jikan) termakan helah Jolok : ‘Jika Awang membuka gelanggang untuk berlawan, maka hutangnya dengan Jolok selesai’. Jika di perhatikan, premis yang dipilih (samaada didalam skrip atau visual pengarah) telah membuktikan ketidak sia-siaan adegan di meja makan ini dalam film ini.


ADA APA DENGAN CINTA 1.


Iya, cerita ini bercerita mengenai cinta. Tetapi skrip yang diselitkan menyedarkan saya sejarah yang benar tidak perlu diselindungkan. Mungkin ramai yang akan mengatakan saya obsess dengan film ini. Terpulang kepada anda, ini pandangan saya dan lihat apa yang skrip film ini cuba buktikan.


Ketika adegan diantara Cinta, Rangga dan Ayah Rangga makan siang, secara jujurnya mereka berbincang mengenai ayah Rangga yang sudah pencen tetapi tidak pernah merasa duit pencen. Tegasnya lagi adalah disebabkan ayahnya menulis tesis (penulisan ilmiah) mengenai korupsi pemerintah ketika itu pada tahun 1996 sedangkan ayahnya bekerja di pemerintahan (kerajaan). Rangga juga menegaskan yang ayahnya dituduh komunis dan lain-lain. Harus di ingat, filem ini dibikin pada tahun 2002, iaitu 4 tahun selepas perang ekonomi/krisis yang Malaysia juga merasa impaknya. Dan ini adalah filem yang di rakam selepas zaman kegelapan filem Indonesia. Zaman itu adalah selepas 36 tahun pemerintahan Presiden Suharto digulingkan oleh golongan mahasiswa, sama juga seperti zaman Soekarno. Masej yang ingin disampaikan jelas bahawa pemerintahan kuku besi, ketidakadilan serta isu kebebasan hak yang kononnya demokrasi terpimpin yang disuarakan Soekarno dan order baru oleh Suharto ternyata tidak serupa bikin. Adegan ini juga sebenarnya menegur dan mengkritik pemimpin dengan penuh santai sekali.


CHILDREN OF HAVEN.


Children Of Heaven sebuah filem yang sensitif, lembut dan humoris daripada cebisan kehidupan yang bukan seharusnya diratapi tetapi dinilai pengertiannya. Pengarah filem tersebut, Majid Majidi membuktikan bagaimana sebuah filem boleh bercerita tentang permasalahan keluarga yang kecil dengan impak sosialnya yang begitu universal. Benar, didalam film ini berlatarkan masalah kemiskinan dalam sebuah kehidupan harian di Iran. Bertitik tolak meengenai kehidup Ali dan adiknya Zahra yang dibesarkan dalam keluarga miskin di Iran. Memang tiada adegan di meja makan kerana semua aktiviti berlaku dalam ruang itu. Itulah ruang tamu, disitulah katil, disitulah ayahnya bekerja dan disitulah mereka makan dan minum. Ketika Zahra memberi air kepada ayahnya yang sedang membuat kerja, isu yang diangkat ketika babak itu cukup dramatik. Dia mempersoalkan isu kasut. Zahra meminta kasut sedangkan ibunya sedang sarat,ayahnya sedang bekerja, dan keadaan rumah yang begitu naif. Beliau masih menyoalkan tentang kasut! Sebenarnya kasut itu sendiri membawa suatu simbol yang begitu besar dalam filem ini. Ianya lebih kepada harapan atau destinasi untuk menuju kejayaan kerana kasut itu digunakan untuk ke sekolah. Filem ini menggambarkan golongan kelas ke-3 untuk meneruskan hidup mereka. Kasut itu menjadi simbolik kepada ‘kemiskinan’ kerana di jahit berkali-kali kerana itu sahaja harta yang mereka ada. Kasut menjadi titik-tolak kepada serangkaian peristiwa. Apa yang tergambar adalah sebuah drama kehidupan yang mengenalkan kita erti ketabahan dan kesungguhan yang digambarkan dengan lembut di sebalik kemesraan dan kebahagiaan antara keluarga. Di sebalik kegetiran hidup yang dilalui oleh kedua beradik ini, terpancul momen-momen komedi yang mampu melucukan, kerana bagi saya walau bagaimana susah sekalipun pasti punya saat tersenyum dan juga saat-saat indah.


Info: Filem Pendek dari Indonesia yang telah memenangi filem pendek terbaik di Festival Film Cannes tahun ini juga berlaku dimeja makan dan hampir keseluruhan film pendek ini berada di meja makan!



Naque Ariffin (15/12/2016),
Taman Ismail Marzuki,
Indonesia.

Friday, January 6, 2017

Sadisnya Sebuah Pengabdian.

Ramai mutahir ini bertanya kepada aku mengapa mahu sambung belajar hingga peringkat Sarjana. 'Apa lagi yang hendak dicari. Kau bukan nak jadi pensyarah pun.' Pertama, bagi aku ilmu itu tak pernah habis. Lagi pula itu adalah sebahagian dari hidup:  mendalami ilmu samaada duniawi mahupun akhirat. Bergerak seiring dan seimbang.  Tetapi alasan yang tidak pernah aku berani untuk memberitahu semua orang mengapa aku mahu sambung belajar dalam bidang Sarjana adalah aku memikirkan generasi mendatang. Ya! Bunyi macam Mahathir, sikit-sikit generasi mendatang. Aku tahu bunyinya agak poyo. Dan pasti, itulah yang ramai dari kalian fikirkan. Oleh sebab itu aku tidak pernah berbicara tentang itu. Sekarang tidak tahu mengapa, aku ingin benar meluahkan.

Tidak mahu ada segolongan orang digelar ‘Pemilik Kebenaran’ dan memikirkan Generasi Mendatang.

Mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak direkodkan, saban tahun banyak graduan-graduan seni pulang/selesai menuntut dari dalam dan luar Negara. Sebenarnya ada diantara mereka yang tidak dapat meneruskan jurusan dari Matrikulasi/Tingkatan 6 dan di campak ke dalam bidang kesenian. Ini paling sakit. Mungkin aku jenis orang yang tidak punya plan B. Ini kerana jika aku ada plan B, aku tidak akan berusaha sepenuhnya untuk plan A aku. Maka, mereka ini mungkin orang yang banyak plan dan redha di campak kan ke bidang kesenian (walaupun aku kurang setuju dalam hal ini dan tak perlu dibahaskan disini). Aku akui, anak-anak ini sangat cardas dan mampu menghafal dan menghadam segala teori. Tetapi seni ini bukan sekadar teori. Teater adalah kehidupan sehari-hari. Untuk melihat sejarah lepas, aku pernah dipanggil oleh Ahmad Yatim dan dikenalkan kepada seorang Graduan Seni Persembahan (Teater) yang baru pulang dari Kepulauan Inggeris. Aku diminta menjadi subjek kajian beliau. Ini merupakan bengkel lakonan yang Graduan itu lakukan berdasarkan hasil Thesis Sarjana beliau mengenai teknik lakon Stanislavsky. Aku belum bersetuju ketika itu tetapi perasaan teruja itu ada kerana aku adalah bahan eksperimen beliau. Macam biasa, aku seorang yang sangat haus dan dahaga dengan ilmu terutamanya kesenian, teater khususnya. Maka berlakulah diskusi mengenai hal ini. Aku bertanya pernah atau tidak beliau berlakon sebelum ini? Mungkin aku terlepas pandang dengan kehadirannya dalam industri samaada mainstream mahupun alternative/indie. Jawapannya tidak. Aku terkedu ketika itu tetapi masih berfikiran waras. Aku pulang selepas itu. Bukan untuk bersikap fasis. Tetapi ini aku tidak boleh relakan. Secara peribadi, aku kagum dengan hasih kajian beliau mengenai teknik atau gaya lakon Stanislavsky itu. Tetapi ianya hanya teori semata. Kesenian itu harus dirasai. Tubuh itu harus dikerjakan. Bukan cuma jari yang mengetik dan otak yang menghafal. Mana mungkin kau berbicara mengenai enaknya masak lemak cili api, sedangkan kau tidak pernah merasainya. Pedas, masin, kuning kunyit, pedas, lemak dan lain-lain rasa yang ada. Kau ingin bercakap mengenai lakonan, tetapi kau tidak pernah berlakon. Ini yang bermain di fikiran aku. Kau mengkaji mengenai observasi dan imaginasi tetapi hanya secara aksara dan lisan tetapi tidak pernah dihasil uji. Lalu apa teori itu? Teori itu dibuat selepas ada hasil yang teruji dan di tuliskan dalam bentuk teori oleh pengkaji-pengkajinya. Ini yang aku fikirkan. Mungkin mereka pulang dan besar harapan mereka untuk duduk di belakang meja sebagai tenaga pengajar. Lalu mereka memegang atau masyarakat meletakkan mereka pemilik kebenaran itu.

Pengalaman kedua apabila aku pernah membuat pertunjukan/persembahan di Selatan tanah air. Rata-rata mereka yang hadir adalah pelajar-pelajar dari sekolah seni. Sebenarnya, bukan itu pertama kali. Aku orangnya yang suka berbual. Ketika sedang melunaskan Ijazah, ada juga alumni dari sekolah seni ini menjelaskan kebingungan mereka.  Kecelaruan mereka dan nyatanya mereka tidak mendapat pendidikan yang benar di sekolah seni dan masih keliru dari segi genre/konsep/stail-bentuk setelah berada di alam kampus. Sedangkan bagi aku ini adalah asas sebenarnya dalam teater. Inilah yang aku risaukan. Guru mereka ini diiktiraf sebagai pemilik kebenaran. Apa yang dicakap atau dibahas oleh mereka harus dikata benar. Sadis!

Aku melihat diri aku dan bukan untuk bermegah. Jujurnya bukan itu yang ingin dicoretkan.
Dari kecil sebenarnya teater adalah padang permainan aku di taman budaya. Setelahnya, zaman Diploma dan Ijazah, semua bidang dalam teater telah aku terokai samaada dari segi teori mahupun praktial. Dari atas pentas sehingga belakang pentas. Dari pereka kreatif sehingga pembikin dan tukang. Bisa berbahas mengenai teori dan praktikal. Jatuh bangun orang yang mengabdikan teater aku lihat dengan mata. Aku rasai dengan hati. Namun aku terus berguru bersama seniman-seniaman hebat dan paling penting mereka adalah PEMAIN INDUSTRI/ PEMBIKIN. Bukan hanya jaguh kampung di tempat selesa. Sebentar, seniman disini aku maksudkan adalah orang yang bekerja dalam bidang seni. Mereka tidak perlu mendapat gelar seniman Negara dari pemerintah. Senang cerita, mereka ini wujud dalam industri (mainstream/indie) dan bukan hanya di belakang meja, pergi dan pulang kerja lalu berbicara mengenai kesenian semasa konon nya. Dan bercakap mengenai lakonan benar atau tidak. Teater adalah tentang buat/bikin bukan cakap atau sekadar kritik. Oh Tidak! Seni bukanlah bersifat diskursif kawan ku, tetapi bahasa yang berkembang. Mereka ini bernafas, makan, dan hidup dalam dunia ini dengan menyerahkan hidupnya kepada industri dan sebagai pembikin. Walau dia seorang guru sekolah seni/pensyarah/guru lakon dll, dia tetap terus berkarya di luar. Atau pernah meninggalkan sesuatu untuk di refrensi. Walau mereka tidak punya Sarjana mahupun Doktor gelar akademik, tetapi ilmu jalanan dari mereka aku kutip dan lebih aku hargai. Boleh duduk dan berbual dimana-mana dan bukan di cafe mewah semata. Resah. Keresahan ini selalu hadir. Ramai rakan-rakan yang bermati matian mengabdikan diri untuk menjadi seniman seumur hidup dengan merasai dan meraikan kesenian dalam bidang teater. Lalu ada segelintir mengaku sebagai pengarah teater, guru lakon, pensyarah teater dan seni persembahan, pelakon teater semata-mata mereka adalah lulusan teater dalam bidang/pengkhususan tadi. Sedangkan sejauh mana eksplorasi mereka terhadap dunia teater/lakon ini selepas tamat kuliah? Maka mereka inilah pemilik kebenaran bagi generasi baru kelak. Sadis.


Apakah aku hanya sensatif dan emosi? Ahh.. Menyedarkan pemilik kebenaran ini bukan tugas yang mudah. Sebab itu aku memilih bersaing. Kerana aku tidak boleh menerima itu. Bawah ini adalah orang-orang yang aku fikir sepatutnya ada dalam industri samaada pembikin atau pendidik untuk generasi mendatang. Mereka merupakan pengajar aku diluar bilik kuliah. Aku sering bersama mereka. Setiap hasil kerja aku pasti akan ada mereka dari segi visual ataupun spiritual. Bukan hanya tentang kerja, mereka mengerti makna kehidupan seni.


Guru sinografi/rekaan aku.

Guru Pengarahan aku

Guru lakonan/rujukan penulisan aku

 Guru pembentukan idea/ kreativiti/penulisan kritikan aku


Wednesday, December 7, 2016

Review 14: Teater Class Room- Tidak Punya Naratif, Hanya Perlu Otak Kreatif.





Teater Class Room merupakan Sayap Tamu (Pementasan Jemputan) untuk Festival Teater Jakarta 2016. Teater yang diarahkan oleh Yayu Untu ini merupakan sebuah persembahan pantomim.

Class Room (bilik kuliah/darjah/dll) mengangkat sebuah persoalan tentang kentut. Mungkin dari segi penceritaannya nampak ringan dan mudah ditebak, tetapi teater ini cukup membawa kita menggali sedalam mungkin rongga kewarasan kita untuk dikaitkan isu semasa. Persoalan fitnah terus bermain di fikiran saya ketika menonton teater ini. Bagaimana fitnah boleh tersebar ibarat kentut.Tetapi ketika sesi soal jawab bersama pengarahnya, mereka hanya tersenyum dengan pandangan saya dan mengatakan ianya adalah tentang kentut semata. Sekerasnya dia menidakkan hujahan saya... Ahhhh! dia membiarkan saya terus bertanya2. 

Memandangkan persembahan ini berbentuk pantomim, penontot terus terbuai dengan aksi-aksi yang membawa makna. Ceritanya sengaja tidak dirangkai secara naratif. Karekter-karekter antagonis pada saat tertentu boleh sahaja berubah menjadi protagonis ataupun sebaliknya. Mengambil bilik darjah sebagai modus operandi untuk menyebarkan wahana yang besar, penonton tidak kering gusi melihat gelagat pemain di atas panggung. Tetapi saya terkesan ada isu besar yang ingin diangkat dengan menggunakan latar bilik darjah yg kecil ini. 

Berbalik kepada isu yang ingin diangkat, iaitu isu kentut, mereka terus-terusan mempersoalkan tentang kentut. Mengapa kentut tidak boleh di hitung sedangkan ianya boleh menjelma di setiap ruang. Kentut jika kita biar dan tidak di persoalkan akan lenyap begitu sahaja setelah baunya hilang. Mereka terus menuduh setiap pemain. Begitu juga fitnah pada pandangan saya. Dalam pementasan ini, Surat Khabar dijadikn props. Ini menguatkan lagi hujahan saya memandangkan itu adalah medium terbesar fitnah disebarkan. Mereka juga memainkan emosi (suka,marah,sedih dll) dalam pelbagai ragam untuk setiap berita di dada-dada akhbar yang mereka baca. Selain itu, mereka juga bermain 'teng-teng' di atas pentas sambil melontar batu. Mereka hanya melontar batu kemudian tertawa. Lontar lagi dan ketawa. Hal ini diulang beberapa kali. Terpanggil saya untuk mengaitkannya dengan simpulan bahasa 'baling batu sembunyi tangan'. Begitulah orang yang menyebarkan fitnah. Ianya sangat berkait rapat dengan lingkungan budaya dan sosial masyarakat Indonesia masa kini. Kita boleh lihat dalam demonstrasi jalanan yang terbesar baru-baru ini. Penyebaran fitnah mengenai kes pemerintah Jakarta kini iaitu Ahok yang dikatakan menghina Al-Quran. Golongan Mahasiswa dan pelajar-pelajar digunakan untuk membentuk satu gelombang besar fitnah ini untuk menjatuhkan beliau di jalan. Saya sudah menghadam ucapan Ahok itu dan telah menulis sebuah artikal tentang kes itu. Tidak ada baur-baur beliau menghina Al-Quran, hal ini hanya permainan politik semata. Inilah yang dikatakan kaitan. Situasi seperti berdemo juga di tampilkan dalam pementasan ini. Semua terkait. Inilah lingkungan budaya yang saya maksudkan tadi. 

Peluang kehadiran semiotik dicerna oleh indra visual saya patut dipertanyakan. Hal ini berorentasikan kepada sistem, tanda-tanda dan setiap maknanya tanpa mengabaikan konteks dan penonton dalam persembahan ini. Saya tidak boleh memandang enteng dengan kehadiran tanda-tanda tadi kerana pementasan ini membawa saya ketahap ragu-ragu dengan pilihan saya yang pertama. Sama ada isunya tentang kentut sahaja atau ada sebaliknya. Jika sebaliknya ianya tentang fitnah dan khabar angin. Kita bermain tarik tali dengan diri sendiri sebenarnya sepanjang pementasan ini. 

Teater Class Rooms ini sebenarnya terinspirasi dari naskah Waiting For Godot menurut pengarahnya. Ianya sebuah kerja kolektif bersama aktor-aktor beliau. Jadi sebenarnya saya mencari yang tak pasti kata sutradaranya. Sama seperti menanti Godot ujar beliau. Jadi sebenarnya pementasan ini tidak bermaksud memaksa penonton untuk mengerti, tetapi teater ini perlu dinikmati dengan hening dan gelak tawa. Saya pulang sambil senyum dan berkata dalam hati, 'ahhh! acah2 art berat pula.. nyampah lah, balik nnt nk makan meggi samyang." 


oleh: Naque Ariffin, 

Taman Ismail Marzuki, 
sambil menunggu teksi,
dan di tangan secangkir kopi. 

6 Disember 2016.

Monday, October 17, 2016

Review 13: Kehadiran Semantic Dalam Gerak Tari 'PRAEAMBULUM'



Berkesempatan menonton hasil kerja kreatif dari Norway iaitu PRAEAMBULUM semperna Salihara International Performing Arts Festival (SIPFest) di Komunitas Salihara Jakarta Selatan. Sepintas lalu, SIPFest ini merupakan tahun kedua diadakan dengan tujuan mengumpulkan kelompok-kelompok seni dari Indonesia dan luar Negara. SIPFest mengumpulkan karyawan atau pembikin seni dari bidang musik, teater, dan tari.

Berbalik kepada ‘PRAEAMBULUM’, ianya merupakan sebuah persembahan tari kontemporari. Persembahan ini pada saya menarik dan lembut untuk dikunyah walaupun isinya keras untuk dihadam. Saya akan bercerita lanjut mengenai analogi ini. Persembahan sepanjang 1jam ini ditingkahi ramuan muzik Barok dan disumbat sedikit eleman kontemporari. Tunjang ceritanya bertitik tolak dari kesunyian, kesepian serta kesangapan seorang isteri yang ditinggalkan suami untuk tempoh masa yang panjang untuk mencari rezeki memandangkan sang suami bekerja sebagai buruh bangunan.

Setiap gerakan memenuhi ruangan pentas. Mereka duduk, tidur bahkan bertengkar dalam masa yang sama. Dengan keunikan koreografi yang dihasilkan oleh Ingun Bjornsagaard, hasil kerja beliau begitu kompleks, cermat dan padat untuk menginvestigasi perbezaan gender dan isu-isu kekuasaan untuk menyingkap bahagian-bahagian paling menyeluruh dalam diri manusia. Oh sedikit info,  Ingun Bjornsagaard merupakansatu-satunya seniman (koreografer) yang menerima anugerah Norwegian Critique Prize sebanyak dua kali.

Saya berminat menyelami fungi semantik di dalam cabang teori semiotik. Semantik adalah kaitan dari satu ‘tanda’ dengan memaknakan sesuatu tindakan. Dalam persembahan ini, gerak penari ini adalah tanda memandangkan dalam persembahan ini tiada teks, maka interteksual mereka adalah dari gerak. Gerak para penari ini merupakan tenunan ataupun anyaman tanda-tanda yang membawa makna. Gerak-gerak ballet klasik dieksplorasi sejauh mungkin untuk menghantar emosi mereka kepada penonton. Maka wujudlah kemarahan, cemburu, pertikaian, kemurungan, kesedihan dan seksualiti. Semua emosi ini dihantar melalui gerak yang memaknai. Tidak saya nafikan, ianya benar-benar sampai. Ternyata saya mengalami katarsis sewaktu lampu akhir ingin dipadankan. Seorang wanita duduk di tepi kayu rumah menanti suami pulang, dengan mengeluarkan suara halus, tetapi sakit. Inilah imej atau aksi keseluruhan pementasan ini. Dari aksi/imej ini saya membaca kehadiran semantik. Menarik dan terkesan! 

Bukan hanya gerak penari yang menekankan kehadiran semantik dalam persembahan ini. Aspek pencahayaan begitu memainkan peranan yang baik dalam pementasan ini. Tidak menggunakan sebarang warna dalam pencahayaan, namum masih mampu menyokong konsep yang dibawakan oleh koreografer. 

Menurut Jonathan Culler dalam memahami intertekstual, setiap teks semestinya berkaitan dengan teks-teks lain yang dianggap "sudah dari azali". Mungkin koreografernya bergerak dari sini. Intertekstualiti dalam pengertian yang lebih spesifik: setiap teks mengambil teks-teks lain sebagai titik tolak sesuatu karya. Budaya meninggalkan isteri dan anak-anak dirumah untuk suami keluar merantau mencari rezeki sudah terbiasa di Norway(banyak contoh di dalam film-film antaranya The Wave). Maka persembahan ini sebenarnya membawa kita menyelami isi hati seorang isteri yang ditinggalkan. Sebenarnya sang suami juga berat untuk meninggalkan isteri tetapi mereka juga perlu untuk memenuhi tuntutan kerjaya dan hidup. Inilah yang saya katakana tadi, 'menarik dan lembut untuk dikunyah walaupun isinya keras untuk dihadam'. 

Kudos untuk semua ahli produksi!


“How much easier it is to be critical than to be correct.” 
- Benjamin Dasraeli

oleh- Naque Ariffin (17 Oktober 2016)
Jakarta Pusat,
Indonesia.

Sunday, October 16, 2016

Surat Terbuka Buat Razak Mohaideen

Entri ini di tulis pada 11 Julai 2016 di ruangan facebook saya. Boleh rujuk link dibawah.
( https://www.facebook.com/naque.ariffin/posts/1097170173638755 )


Ini merupakan pandangan peribadi saya. Jika anda tidak bersetuju, itu hak anda. Jika anda setuju, maka hebahkanlah supaya ia sampai kepada mereka yang terbabit serta akan mendapat kebaikan bersama khususnya industri perfileman Malaysia.

Saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya Dato’ Razak Mohaideen (RM) menyerahkan kerusi pengarah filem kepada generasi muda untuk filem-filem terbitan UiTM. Saya difahamkan filem Anak Mami Nasi Kandaq merupakan projek mahasiswa tahun akhir UiTM dan saya yakin tidaklah semua mahasiswa tahun akhir ini bersetuju sepenuhnya (termasuk yang mereka bincangkan di kedai kopi) dengan pembikinan filem ini sebagai projek akhir mereka memandangkan kualiti penceritaannya teramatlah ortodoks. Saya tidak mahu diskusikan mengenai filem ini atau plot penceritaannya yang telah saya tonton. Ia seperti menyimbah minyak petrol pada api yang sedang marak.

Wahai Dato’ RM yang budiman lagi cendekiawan, percayalah pada kuasa anak muda Dato’. Saya yakin dengan dana/bajet yang ada untuk membikin filem ini, golongan mahasiswa dari UiTM boleh menghasilkan sebuah karya yang lebih berkualiti dari segi naratif sesebuah filem. Saya akur dan dapat merasakan 'kesangapan' pengarah untuk membikin sesebuah filem. Tetapi, kita juga harus akur dengan perubahan zaman. Jika dicampakkan ke slot telemovie sekalipun, ianya tidak setaraf dengan kualiti isi kandung dari aspek penciptaan (tidak termasuk lakonan) yang disiarkan di stesyen tv sekarang.

Sebagai seorang pemerhati, saya pernah menonton hasil karya mahasiswa dari UiTM (khususnya Fakulti Filem dan Teater). Ya! Mereka punyai potensi tinggi untuk diketengahkan. Inilah ruang serta lapangan untuk mereka melangkah ke industri perfileman di masa akan datang. Akur dengan keperitan untuk mendapatkan dana/bajet untuk membikin sesebuah filem, penilaian pelajar inilah yang akan menjadi penanda aras kepada syarikat produksi tempatan yang akan melaburkan duit mereka untuk menerbitkan filem. Jika hasilnya seperti ini, saya rasa dengan menjadikan filem ini sebagai penanda aras untuk mereka masuk ke dalam industri perfileman, taukeh balak yang mahu lari dari cukai pun takut hendak melabur.

Cuba bayangkan sejenak, jika mahasiswa ini diberi peluang mengendalikan produksi ini dengan cerita mereka yang lain, jika hasilnya baik maka siapa yang harus bangga punyai pelapis pembikin filem anak tempatan? Sudah tentu UiTM sendiri. Tetapi jika hasilnya kurang memberi impak, masyarakat boleh menerimanya atas sebab ianya merupakan penilaian pelajar dan akan menjadi penanda aras untuk mereka melangkah ke lapangan sebenar industri perfileman yang penuh pancaroba ini. Yang menjadi bala serta malapetaka sekarang, adakah mereka bangga dan tersenyum serta memberi tepukan sambil berdiri terhadap Ketua Program/Pensyarah mereka dengan penghasilan filem seperti ini? Jika jawapannya adalah “Ya!” maka saya tidak menafikan yang industri perfileman kita kini semakin nazak.

Melihat pendekatan oleh pihak Astro lakukan sekarang di bawah program Karya 12, ini boleh dijadikan contoh paling hampir. Generasi muda diberi peluang dan otai sekadar memberi tunjuk ajar juga nasihat dan bukannya sebagai ‘diktator’. Dengan pengalaman yang Dato’ RM ada sebelum ini boleh dijadikan tempat rujukan mereka sama ada dari sudut baik atau buruk dalam membikin filem atau mungkin lebih elok kalau Dato’ RM terlibat sebagai penyelia projek sahaja.
Akhir kata dari saya, percayalah akan kuasa anak muda dan lihatlah magisnya akan muncul. InsyaAllah. Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin.

oleh- Naque Ariffin (Julai 2016)
Seremban.

Friday, October 14, 2016

Catatan Kecil Buat NamRon





Salam Bang, apa khabar? Apa jadi sebenarnya? Ramai betul orang tertanya-tanya apa yang jadi sebenarnya sehingga tersungkur begitu emosi abang. Benar abang bukan 20an mahupun 30an, tetapi semangat yang abang pernah ada, buat kami terus ingin meraikan kesenian. Kenapa dulu abang mampu melawan dan mengendahkan kata-kata serta tindakan sundal mereka. Bikin semua ikut mahu abang. Pulanglah ke zaman sebelum abang masuk ke industri mainstream. Ternyata mereka tidak benar-benar menghargai di mana abang sekarang. Raikan semula zaman abang berkarya dan bekerja dengan naskah-naskah dan karya Julius Caesar, Gadoh, Tanda dan sedengannya. Ketika itu, lihatlah kelompok abang. Orang-orang yang menyokong abang. Semuanya bergerak atas satu jiwa. Jiwa yang ingin bebes dari penipuan dan pembohongan karya-karya yang tidak ingin menipu warga penonton bahawa realiti kehidupan ini tidak seindah mimpi.

Saya mula mengenali abang sekitar tahun 2009. Kita bersama menjayakan produksi Teater Short Eyes dan berlakon satu pentas dengan abang serta rakan-rakan dari Rumah Anak Teater adalah kenangan indah bang. 3 bulan bekerja dan memahami cara kerja abang. Banyak kerja-kerja saya dalam pengarahan terinspirasi dari kerja dan karya-karya abang. Nasionalistik Plastik, Tandas 2.0, Tandas 3.0  adalah tulisan saya dimana ianya bergerak dari gagasan kerja-kerja abang sebelum ini yang saya tonton dan baca. Semangat abang juga saya curi. Saya masih ingat, abang bagi nama saya untuk di casting oleh Jo Kukathas. Disitulah saya mengenali beliau. Dan dari saat itulah saya mula mengambil tahu dan bergaul dari golongan luar teater melayu yg kerja-kerja mereka lebih dari sekadar cerita..Terima kasih! Bang, saya pernah di pinggirkan di sekolah kerana ‘kononya’ saya terpengaruh dengan ideology abang, kak Mislina dan Ayam yang kononya menentang. Pada dasarnya mereka tak faham yang kita cuba untuk telus dan berterus terang dengan cara kita. Saya suka yang jujur. Dan saya merasakan kejujuran dalam hasil kerja abang. Masa pementasan akhir Ijazah saya, abang banyak menasihati saya selepas tamat viva di parkir kereta. Antaranya, abang ckp ‘..jangan terasa apa aku ckp tadi Que, kat luar lebih sakit!’
Mungkin inilah kesakitan yang abang rasakan sekarang. Sabar bang!

Merasakan kedukaan dan ketakutan dalam konteks estetik, seperti dalam teater, adalah sebuah proses pembersihan diri. Begitu kira-kira Aristoteles. Saya kira itu normal bila abang merasa duka dan sakit dalam kesenian. Siapalah saya untuk menasihati abang. Saya juga yakin abang ada alasan sendiri kenapa dan mengapa. Abang NamRon, bukan saya sahaja, malah ramai yang masih dahaga akan kerja berbisa dan berisi dari tangan dan garapan abang. Berehatlah sebentar bang. Tapi jangan berhenti! Kami masih mahu menonton hasil-hasil magis dari karya abang. Salam Jumaat dan semoga kita semua dalam pelukan dan rahmatNya.


When the poet dies- his book remain
when the artist dies- his picture live on
But what is left after the director and actor?
Only memories.

oleh- Naque Ariffin (14Oktober 2016)
Institut Kesenian Jakarta, 
Indonesia.


Friday, October 7, 2016

Review 12 - Kehadiran Lingkungan Budaya dalam Film Athirah


Saya coretkan bermula dengan sedikit info mengenai filem ini. Filem "ATHIRAH" menceritakan perjalanan hidup seorang wanita bernama Athirah, yang merupakan Ibu kepada Timbalan Perdana Menteri (di Indonesia dikenali sebagai Wakil Presiden) iaitu Jusuf Kalla. Film ini melihat bagaimana Athirah mampu menyelesaikan pelbagai masalah dan sentiasa berpikiran positif. Filem Athirah merupakan filem Indonesia yang dibawakan oleh Miles Film dan di arahkan oleh Riri Riza. Filem ini merupakan sebuah filem drama yang diadaptasi dari novel berjudul sama iaitu ‘Athirah’ karya Alberthiene Endah.



‘Perempuan diuji ketika pasangannya tidak punya apa-apa, lelaki diuji bila dia punya segalanya.’ Kata-kata ini terngiang di telinga saya saat keluar dari panggung. Entah apa sebabnya saya meyakinkan diri saya bahawa ayat ini benar-benar hidup dan tidak punya kadaluarsa. Athirah menampakkan sosok tubuh seorang isteri yang setia berada disisi suami walaupun sang suami dari awalnya miskin sehinggalah menjadi seorang yang berpengaruh dan beristeri dua.


Perjuangan Athirah (lakonan hebat Cut Mini) dalam mempertahankan haknya sebagai seorang isteri dilakukan sepenuh hati. Cut Mini mampu berbicara melalui raut wajah (ekspresi) tanpa harus banyak berbicara, dan inilah kekuatan empathy yang dimiliki hampir kesemua pelakon dalam filem ini. Sungguh saya mengagumi bakat Cut Mini terutama ketika menonton filem Laskar Pelangi dan Arisan. ‘Athirah’ benar-benar membawa dia ke paras seterusnya.


Athirah pada awalnya hanya redha menjalani hidup sehari-hari sebagai isteri yang dimadukan. Entah dari mana semangatnya datang, Athirah bangkit dari terus dibuai kesedihan walaupun dalam perjuangan ada yang terkorban. Disini, Athirah mengorbankan kepedihan jiwa demi anak-anak. Dia tidak terus meratapi nasib. Mungkin ini juga adalah hasil perbualan Athirah bersama ibunya iaitu Mak Kerah (Jajang C. Noer) yang menghadiahkan Athirah dengan kain pemberian mertuanya. Saat itu Mak Kerah pun bercerita bahwa dirinya pun dahulu adalah isteri ke-empat ayah Athirah.


Bagi saya, filem ini kuat berbaur feminis dari kacamata penonton, tetapi bukan pada Athirah. Hal ini kerana, kita dapat merasai perjuangan Athirah dan pengorbanannya: berniaga kain sutera tanpa bantuan suami tambahan pula berulang alik dari Bone ke Makasar, menjadi pemimpin keluarga ketika suaminya tiada (berada dirumah isteri kedua), mencari rezeki untuk anak-anak, melahirkan anak tanpa suami disisi bahkan pada akhirnya dia yang membantu suaminya menyelesaikan hutang piutang disaat kegawatan ekonomi yang melanda Indonesia ketika itu hasil dari titik peluhnya berniaga. Tetapi bagi diri Athirah sendiri, ianya adalah tanggungjawab seorang isteri. Mungkin ini adalah cara bagaimana kebanyakan wanita menghargai suami dan berpegang bahawa syurga isteri dibawah telapak kaki suami. Dia masih menyediakan pakaian, makanan suaminya, meskipun mereka tidak berbual. Athirah hanya menjawab salam suaminya, itupun selepas suaminya keluar dari rumah.


Saya begitu tertarik dengan adegan-adegan yang non-verbal dalam filem ini. Antaranya, perubahan pada watak Puang Ajji (Arman Dewarti) yang dari awal pakai songkok, sudah mula menyikat rambut dan menyalitkan minyak. Ianya diulang beberapa kali sehingga kita sendiri mendapat maksudnya. Saya kira ini adalah repetition yang ingin menyatakan sesuatu. Nyata ianya berhasil apabila tekaan saya tepat bahawa Puang Ajji sudah mula ada niat menduakan Athirah. Seterusnya watak Athirah yang bersiap-siap dengan anting-anting sebelum waktu makan dan memegang telinganya menunjukan kegairahan seorang isteri sekian lama ditinggalkan. Disusuli pula dengan hujan yang renyai-renyai, maka adegan ‘tutup pintu bilik’ sudah cukup membuatkan kita mampu berfikir apa yang jadi selepas itu. Banyak lagi adegan non-verbal yang menarik dalam filem ini.


Plot Athirah disusun begitu menarik oleh Riri Riza kali ini: kompleks yang menimbulkan peripety dan recognition dan dilengkapkan oleh pathos (melengkapkan semua konflik sesebuah cerita) dan menyebabkan tak peduli, jadi peduli dan tak tahu, mejadi tahu. Naratif penceritaan dan bahasa visualnya benar-benar hidup. Riri Riza juga berjaya menjelmakan sosio-budaya nusantara secara sederhana, dan yang paling utama ianya tidak narsis. Riri Riza dengan kreatif memainkan otoritasnya sebagai penulis skenario karna berhasil membawa lingkungan budaya Makassar yakni menapilkan keindahan kain sutera dan cara pembuatannya menggunakan kaedah tenunan.


Athirah mengajar kita tentang perjuangan tidak perlu mengangkat tangan seperti yang terjadi baru-baru ini apabila dua orang wanita bergaduh merebutkan seorang lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan. Athirah menang dengan caranya sendiri. Kudos buat team produksinya!


p/s: saya rasa kalau Malaysia nk bikin filem biography tentang Rosmah Mansor, pelakon selayaknya adalah Marlia Musa .


oleh- Naque Ariffin, Jakarta (2016)