Monday, January 20, 2020

Review: INTRIGUE, karya separuh-berani Pasca Malaysia Baharu



Nilai estetika dalam karya seni tari adalah hal yang sangat penting. Dari nilai estetika sebuah karya seni, seorang penonton dapat menikmati hal yang sukar dimengertikan dan memberikan sedikit petunjuk buat penikmatnya. Tari kontemporari termasuk dalam persembahan yang direka secara khusus untuk dinikmati nilai artistiknya. Estetika dalam karya seni tari tidak hanya dilihat dari gerak tari itu sendiri, tetapi boleh dilihat dari bermacam aspek seni yang lain sebagai unsur yang mengangkat konsep persembahan. Tari kontemporari di Malaysia sarat dengan isi kandungan dan juga turut mengangkat pemikiran koreografer. Sedikit atau banyak, pasti terpalit sedikit unsur peribadi dalam gerak yang dicipta.

Semalam saya berkesempatan menonton sebuah tari ‘Intrigue’ yang dipersembahkan oleh Fairul Zahid selaku koreografer dan penari, selain Azmi Zainal Abdden, Muhammad Fadly and penampilan khas, Dr Norzizi Zulkifli.

Saya sering menonton persembahan Fairul sebelum ini. Beliau antara koreografer yang bagi saya sering mengangkat isu-isu semasa dalam koreografi beliau seperti The King & I, AKTAB dan beberapa buah persembahan lagi. Dan seharusnya begitu. Seniman yang baik akan turun ke masyarakat dan merawat kebudayaan setempat. Itulah tugasnya. Akan tetapi, karya Intrigue kali ini seakan hilang arah, tidak masak dan banyak gerak tari yang diulang-ulang tanpa memberi penegasan tertentu. Saya akur, proses pembuatan karya tari sebenarnya tidak semudah membalikkan tapak tangan, ianya perlu pergolakan jiwa yang besar agar karya itu lebih hidup terutamanya karya kontemporari. Sebuah karya akan terasa lebih hidup jika ia berasal dari kejujuran yang dialami dan dirasai oleh pengkaryanya. Kemenangan hakiki bagi seorang pengkarya adalah apabila kita boleh membuat penonton ikut merasakan apa yang kita rasa dan apa yang kita tuangkan di dalam karya.

Fairul ada konsep yang besar namun pencernaan terhadap konsep itu kurang baik. Isu tipu muslihat, membunuh dan dibunuh dalam arena politik Malaysia tidak dikupas dengan jujur. Adakala Fairul seperti ingin melangkah tanpa mempedulikan birokrasi dan sebagainya, tetapi menarik langkah kebelakang semula. Takut barangkali? Bagi saya, jika anda sudah menggunakan suara (Tun M), perkataan, nama (Mazlee) dan isu (Pilihanraya) yang penonton tahu dan kenal orang itu berada di Malaysia, teruskan membongkar isinya. Anda bermain dengan isu politik, teruskan menjadi sebagai seorang redikal!

Berbalik kepada estetika, karya ini punya nilai estetika yang tersendiri. Tidaklah semuanya buruk tentang karya ini. Sebagai pendidik tari, saya yakin Fairul tidaklah semborono dalam melahirkan karya beliau. Dalam karya ini, Fairul menerapkan Teologikal dimana dia membezakan dua tahap pengetahuan iaitu satu berasaskan kepada penelitian fakta, dan satu lagi berasaskan pentafsiran fakta. Disini, seperti kata Socrates, fakta lebih cenderung kepada benda yang khusus manakala pentafsiran fakta lebih kepada idea yang bersifat umum dan universal. Fairul menggabungkan kedua-duanya dimana faktanya adalah Mazlee meletakan jawatannya sebagai Menteri, penafsiran fakta adalah gerak tari Fairul dengan meletakan surat-surat khabar di belakang badannya dan bergerak seperti bebanan yang berat dibahu. Segala gerak ini divisualkan dengan tenaga yang mantap, Fairul seperti masuk dalam dunia Mazlee, bekerja dan bekerja dan bekerja. Menaburkan bakti dan akhirnya apabila surat khabar itu di hempas, bererti dia akur dengan arahan pihak atasan. Dan jika dikaji lebih mendalam, kewujudan fungsi semantik juga telah terkesan dalam pertunjukan ini. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan ‘memaknakan’ sesuatu ‘tindakan’.

Disini juga Fairul menyelitkan pengetahuan beliau tentang performativity di dalam karya Intrigue ini. Performativity merupakan satu bentuk bahasa atau lebih tepatnya bahasa tindakan yang melengkapi eleman lainnya iaitu teks, imaj dan tubuh yang menjadi eleman utama dalam persembahan malam tadi.

Dalam bidang kajian persembahan, performativity mempunyai hubungan yang rapat dengan ideologi pascamoden. Merujuk kepada bentuk persembahan Intrigue, dari segi ‘teks’, Dr Norzizi Zulkifli tampil dengan vokal yang tidak pernah mengecewakan, membawa kita merasai sifat, keadaan dan situasi tekurung didalam penjara dangan tulisan-tulisan di batang besi penjara. Mungkin koreografer bergerak dari ayat ini “we are all clown”. Sifat dan sikap penari di atas pentas seakan bekerja atas arahan pemerintah yang berada dalam penjara. Ini menarik perhatian saya. Bagaimana orang yang diluar, mendengar arahan orang yang berada di dalam penjara. Macam pernah berlaku bukan? Hahaha… Fairul berani mengendalikan isu ini tetapi tidak begitu lantang. Seterusnya ‘imej’ yang dipaparkan melalui gerak bermain mentol lampu merupakan simbol harapan rakyat yang mahukan perubahan, imej gerak kerja berkempen dan selepas menang pilihan raya serta imej kerja-kerja yang tidak dihargai oleh orang atasan di pahat dalam setiap gerak tari Intrigue. Dan terakhir, adalah eleman ‘tubuh’ ini yang pada saya kurang masak. Koreografi Fairul tidak menggunakan kesemua fakta, dari segi teks dan imej yang disebutkan diatas tadi. Ianya ada, tetapi tidak menyeluruh.

Walaubagaimanapun, usaha berani ini harus dipuji. Tidak ramai seniman atau pengkarya tari sekarang ini berani memainkan isu seperti ini ketika perubahan kerajaan yang mungkin ‘murni’ bagi mereka. Teruskan usaha turun kepada masyarakat ini Fairul. Jangan gentar terhadap birokrasi kerana suara seniman itu harus didengar. Sebagai penutup, saya memetik dialog dalam filem White Night yang di inspirasikan dari buku The Great Russian Dancers:

“No metter what I try to do or explore, my expertise, and my background call me to return to dancing after all, because that’s my real vocation, and I have to serve it”



Naque Ariffin,
Kuala Lumpur.
20/1/2020

Friday, January 25, 2019

Simbol dalam Pementasan Teater Devised In/Out




Karya seni berkomunikasi dengan manusia melalui potensi pancaindera dan sejauh mana penonton memberi apresiasi terhadapnya. Melalui karya-karya yang dihasilkan, kita boleh mengenali bentuk pengalaman, pemikiran dan perasaan seseorang samaada pengarah, pelakon, penari mahupun koreografer. Mungkin ada benarnya kata-kata Claire Holt, “tunjukan bagaimana engkau menari,dan saya boleh tahu dari mana asalmu’.

Semalam, saya berkesempatan menonton sebuah Teater Devised In/Out yang dipersembahkan di Pentas 2, KLPac. Karya ini merupakan arahan Ho Lee Ching.

Saya berminat untuk membaca teater ini dari segi simbol yang ditonjolkan oleh pengarahnya. Seni memang tidak terlepas dari simbol. Dalam mamahami simbol persembahan ini, saya menggunakan pendekatan Suzzane K. Langer iaitu bagaimana simbol menghubungkan keseluruhan penceritaan.



(graf untuk memahami bagaimana struktur penceritaan yang berdasarkan simbol)


Simbol adalah kata-kata, atau gambar atau objek/benda. Simbol terbahagi kepada dua iaitu simbol pertuturan dan simbol persembahan. Kedua-dua simbol ini (dialog dan bunga) jelas ada dalam persembahan ini. Tetapi saya lebih tertarik kepada simbol “bunga” yang ada dalam pementasan ini dan merupakan ‘imej’ yang kuat sekali. Berbalik graf diatas, ‘reference’ adalah sesuatu fakta, pengalaman, denotasi yang bagi saya adalah merupakan pengalaman serta kajian yang dilalui ketika proses devised. Konsep pula adalah konotasi, idea, pikiran dan isu. Dan apresiasi saya adalah persembahan ini mengangkat konsep kesedaran terhadap perbezaan.

Di dalam buku Philosophy in a New Key, Suzzane K. Langer menyatakan bahawa sesuatu simbol tidak mewakili objek, tetapi ianya adalah perantara yang bertujuan mewakilkan objek untuk memahami konsep (menurut pemahaman saya setelah di alih bahasa). Sebagai contoh, dalam persembahan ini ada menggunakan bunga sebagai simbol, tetapi bunga itu bukanlah mewakili penceritaan sebenar persembahan ini. Konsep persembahan ini berkisar tentang kesedaran terhadap sesuatu yang berbeza. Berbalik soal bunga tadi, bunga telah menjadi perantara diantara ensamble-ensamble yang berbaju coklat dan seorang gadis berbaju putih. Hanya dengan menggunakan bunga, gadis berbaju putih dalam persembahan ini dapat diterima oleh ensamble yang berbaju coklet.

Sebenarnya, setelah tamat persembahan ini, barulah saya tahu sebenarnya ia berkait tentang kesedaran dan penerimaan terhadap perbezaan (golongan autism) kerana adanya sesi pembentangan dan soal jawab bersama ahli profesional dari Oasis Place. Ya, sekurang-kurangnya saya dapat lebih awal tentang intipati yang ingin disampaikan dalam karya ini iaitu meraikan berbezaan.

Gerak ensamble dalam bersembahan ini bersifat improvisasi dan dekonstruktif dengan memberikan peluang kepada penonton membuat pelbagai tafsiran. Penggunaan muzik yang kedengaran bercanggah dengan gerak di atas panggung sagat menarik perhatian saya. Inilah yang disebut sebagai conflicting unity atau kesatuan yang bercanggah namun memberikan kesan autentik dalam persembahan ini. Sebenarnya persembahan ini bagi saya telah mencapai estetika paradoks. Hal ini kerana, pengarah telah berjaya mempotraykan:- bagaimana seorang pengidap autis memandang seseorang manusia normal dan sebaliknya. Dalam persembahan ini, gadis berbaju putih tadi adalah seorang autis, dan ensamble berbaju coklat adalah mewakili golongan manusia normal. Tetapi, dari segi gerak dan perlakuan diatas pentas seolah-olah mempotraykan bahawa golongan ensamble seperti pengidap autism. Inilah yang mungkin cuba diangkat dalam persembahan ini berdasarkan kalimat:

“and in the sameness that I’ve always needed, I realised I was different.”

Ho Lee Ching telah berjaya merangkai adegan-adegan serta situasi komedi yang sangat minima tetapi telah menimbulkan kesan katarsis di akhir petunjukan. Beliau dalam tidak sedar telah memberi paparan realiti dalam bentuk imaginasi, dan memupuk atau melatih penonton supaya berfikir tanpa perlu disuap secara bulat-bulat dibalik gelak tawa. 
Tahniah buat seluruh ahli produksi.

Naque Ariffin,
KLIA, 
25 JAN 2019 

Thursday, April 12, 2018

Sedang dalam proses penyucian. will be back soon!

Salam.
Disini saya nyatakan bahawa blog ini akan ditutup sementara atas sebab-sebab tertentu.


Jakarta,
12 April 2018.

Tuesday, April 3, 2018

Teater Matte Love: Perangkap, Terperangkap dan Memerangkap.


Menurut pengamatan saya beberapa bulan terakhir ini, sebenarnya ramai peminat-peminat kesenian kreatif tumbuh di Kuala Lumpur/Lembah Klang. Akan tetapi satu hal yang kita lihat bahawa kenyataan perkembangan kehidupan dunia teater ini tidak secepat seperti apa yang kita harapkan. Masih banyak panggung pementasan yang tidak penuh dengan kehadiran penonton. Kehidupan kelompok-kelompok teater di Kuala Limpur/Lembah Klang pula dari dahulu bagaikan sampan di tengah gelombang:- sebentar muncul, sebentar tenggelam atau bagaikan pelita di tengah padang:- sebentar redup, sebentar terang kembali. Tetapi aneh bahawa ia tidak pernah tenggelam sama sekali atau mati.

Foote Samuel boleh dikira sebagai individu atau tokoh awal yang menggerakan persembahan monolog:- ‘The Diversion Of The Morning’ dan terkenal selepas menulis buku ‘The Rehearsal’. Di Malaysia pula, tidak banyak catatan atau naskah monolog yang berdiri sendiri dan yang diangkat untuk perkembangan teaterikal ini. Yang ada kebanyakannya adalah naskah-naskah monodrama. Universiti Sain Malaysia (USM) pernah mencatat rekod Malaysia dengan mementaskan Teater Monolog terpanjang dengan durasi selama enam jam dilakonkan oleh Azhar Abd. Jalil pada tahun 2010. Khalid Salleh juga pernah mementaskan Teater Monolog Jual Ubat di lapan stesen kereta api di Malaysia. Pada mulanya, monolog hanya berdiri di dalam sebuah adegan yang ada dalam drama pentas:- dialog yang panjang. Monolog lebih kepada kata-kata yang dilontarkan oleh seorang pelakon yang mungkin ditujukan kepada orang lain. Kata-kata ini lahir dari hati dan diceritakan kepada penonton. Kepanjangan monolog bergantung kepada situasi dan ia bersifat tidak lengkap. 

Beberapa hari lalu saya sempat menonton sebuah pertunjukan seni. Pesta Monolog. Ya! Gabungan dari satu monolog ke monolong yang lain. Sekitar 6 orang pelakon dan 6 orang pengarah menjayakan pertunjukan ini. Yang menarik perhatian saya adalah: ini adalah naskah monolog, tidak ada interaksi sesama pelakon lain tetapi ada jalinan yang dikaitkan oleh penulis sehingga ia menjadi satu cerita yang penuh dan menarik. 

Matte Love merupakan naskah terbaru Khairuznazwan Rodzy. Matte Love diterjemahkan oleh saya sendiri sebagai “cinta yang pelbagai warna” memandangkan didalam kamus urban telah meletakan perkataan “matte” ini sebagai ‘warna’ kepada tatarias. Hal ini bukanlah teatang terjemahan yang secara terus atau harfiah. Ianya berkaiatan dengan kisah cerita yang ada pada setiap watak dalam naskah ini. Matte Love benar-benar bercerita mengenai cinta pelbagai warna dan permasalahan dalam cinta. Jika anda membaca atau menonton naskah-naskah tulisan Khairunazwan Rodzy, beliau bukanlah asing dalam isu ini. Pelbagai naskah cinta telah dihasilkan dan kesemua kisah cinta yang berlainan seperti Perempuan-Perempuan Seorang Wali, Pokok Kelapa Sayang, Senapas, Ratna Kadhal dll. Matte Love dipentaskan dibawah program Projek Bilik Sempit pada 29 March sehingga 1 April 2018, di Revolution Stage. 

Sebenarnya tidak banyak yang boleh dikupas dalam persembahan ini. Ianya sebuah persembahan yang kemas. Bermain di peringkat selamat. Tidak cuba untuk memandai-mandai dan tidak pula berlebihan atau berkurangan. Memandangkan semua ahli produksi terlibat dibawah kelas lakonan dan pengarahan yang dikelolakan oleh Revolution Stage, saya kira mereka mendapat pendedahan yang khusus dalam dunia kesenian, teater terutamanya. Cuma terdapat beberapa komentar jujur yang perlu saya huraikan terhadap persembahan ini melalui tontonan saya minggu kelmarin. 

Pengarahan dan Lakonan.

Pentas disajikan dengan set dan prop yang begitu minimalis. Terdapat kerusi dan bongkah kayu tetapi ianya tidak dimanfaatkan secara efektif dan total oleh pengarah. Pengarah juga kurang memaparkan aksi-aksi pentas yang memberikan siginifikasi terhadap aksi dramatik. 

Lakonan monolog amat mengutamakan watak utama monolog tersebut untuk menggerakkan cerita. Pelakon banyak dibantu oleh elemen artistik seperti lighting, audio, setting dan props memandangkan tiada rakan lakon. Kita sering dengar dengan kalimat ‘play with your costum’, ‘feel the lighting’ dan lain-lain. Sebenarnya inilah yang membantu imaginasi pelakon untuk membantunya menterjemahkan watak yang dimainkan. Dalam pementasan ini, aspek-aspek yang saya sebutkan diatas kurang diterapkan dalam pengarahan. Jika ada, hanyalah dalam 2 pengarahan dari 5 pengarahan itu. Oh ya, kami di beritahu pada malam pementasan (1 April), seorang pengarah dan seorang pelakon tidak dapat beraksi kerana ada masalah yang tidak boleh dielakan, tetapi hal itu tidak mengganggu penceritaan dan persembahan. Jadi pementasan ini dipentaskan dengan 5 pelakon dan 5 pengarah sahaja.

Kemampuan barisan pelakon untuk menjaga tempo permainan, kesedaran terhadap prop memuaskan sebenarnya. Kita melihat par lakonan masing-masing dalam graf yang sama. Tidak ada yang terlalu baik dan tidak pula gagal. Tetapi untuk pengarahan, terdapat beberapa perbezaan. Pelakon biasanya mempunyai teknik dan pendekatan tersendiri untuk mejayakan sesuatu watak. Namun pelakon juga terpaksa akur akan kehendak pengarah bagi mencorakkan watak tersebut. Dari persembahan pertama hingga ke empat, pengarah menggunakan apa yang melekat di tubuh pelakon sebagai props atau alat bantu. Tetapi tidak untuk arahan yang ke -5. Pelakon yang kelima masuk ke pentas dengan bantuan props yang lain. Samaada pengarah tidak percaya pada kemampuan imaginasi pelakon, atau pelakon tidak mampu meyakinkan pengarah dengan lakonannya sehingga menggunakan props bantuan yang lain. Harus di ingat, ini adalah sebuah kerja kolaborasi untuk menjadikan ianya satu persembahan. Saya kira jika ianya berjalan dalan satu konsep, sudah tentu persembahan ini menjadi sangat konseptual.Samaada pengarah yang ke-5 ini terlalu kreatif atau pengarah yang lain tidak memikirkan hal itu. Apapun kembali kepada yang saya katakana diatas, kerja kolaborasi adalah satu kesatuan. 

Tidak cukup hanya naskah yang bagus, pembawakan pelakon seperti gesture, cara watak bercakap, dan detail-detail lain juga harus diperhatikan agar apa yang ingin disampaikan oleh naskah itu sampai kepada sasaran. Pelakon yang bermain dalam naskah ini boleh dikatakan amatur tetapi mempunyai potensi yang besar dalam bidang lakonan. Tidak dinafikan, ada diantara mereka yang ada masalah pada penyebutan, fokus, pernafasan dan sebagainya. Tetapi untuk berada di tahap kelmarin, saya fikir mereka sudah cukup berani memandangkan ianya sebuah naskah monolog yang memerlukan semua eleman yang saya sebutkan diatas.

Hal ini kerana, dari poster juga ianya sudah memberi gambaran sangkar. Saya rasa ianya adalah sebagai perlambangan perangkap/terperangkap. Beralih ke ruang pementasan pula, setnya juga dalam sebuah kotak yang punya halangan seolah-olah perangkap. Setiap watakyang ada dalam naskah ini, mereka sebenarnya telah terperangkap. Adik perempuan yang terperangkap dalam imaginasi dan angan-angan, seorang kakak yang terperangkap dalam dunia glamor, abang yang terperangkap dalam kehendak sosial, adik lelaki yang terperangkap dalam Hypersexuality Disorder, dan seorang kawan lelaki yang terperangkap dalam nafsu sonsang. Saya lanjutkan lagi, kita dapat melihat bagaimana media sosial sebenarnya adalah perangkap bagi watak (akak) yang terlalu khusyuk hingga (abang) terperangkap kerana terkenalnya watak si akak itu di media sosial dan bagaimana watak (kawan)  memerangkap abang yang sedang bermasalah dan perlukan bantuan tetapi punya agenda yang lain. Jika semua pengarah dan pelakon sedar dan faham hal ini, mungkin mereka mampu menolak kreativiti masing-masing dalam membaca sub-teks dan hal-hal yang lain dalam naskah yang punya plot yang begitu kompleks ini untuk menjadikan persembahan malam itu mampu diingati. 

Form atau pementasan seperti ini akan diadakan lagi dengan naskah yang berbeza iaitu “Silent Killer” juga tulisan Khairunazwan Rodzy pada 4-8 April 2018 di Revolution Stage. Kita lihat apa pula tawaran yang diberikan oleh beliau dalam naskah terbaru ini. Tahniah Revolution Stage kerana masih dan terus mewarnai industri teater tanah air. 


Monday, February 12, 2018

Teater Normcore: Sebuah Percubaan...?



Teater Normcore hadir dengan dua naskah baru: Tiada Cinta Selama Muda dan Matinya Seorang Birokrat. Tidak saya pungkiri bahawa kedua-dua naskhah yang di pentaskan di RAW Art Space, 8.30mlm tadi agak baik. Gaya tulisan yang sangat analatikal, pendekatan gaya bahasa yang direct, tepat dan witty. Jarang kita dihidangkn dengan naskah-naskah yang punya cerita dan penyampaian yang begitu sebati/realistik di era ini. Mungkin ini adalah forte Ridhwan Saidi memandangkan beliau seorang penulis, tetapi tidak sebagai seorang pengarah pada pandangan saya.

Pengarah adalah pemimpin para pemimpi. Pemimpi di sini adalah pelakon itu sendiri. Dalam kedua naskhah ini, pemain tidak mampu menggapai mimpi-mimpi Ridhwan di dalam tulisannya. Masalah terbesar dalam pementasan ini adalah susun atur (blocking), eksplorasi ruang dan arahan pentas (pengarahan). Stanislavski pernah bilang, tidak ada apa pun, atau seorang pun yang boleh mencipta seorang pengarah, kerana pengarah itu “dilahirkan”. Saya di fahamkan ini merupakan pengarahan pertama beliau dalam mengarah/mementaskan teater dan beliau mengarahkan naskhah tulisan sendiri. Ianya sebuah permulaan yang harus! Kerana ianya sebuah percubaan yang...?

Sebenarnya mudah bila seseorang pengarah mementaskan naskhah sendiri kerana beliau dapat membaca pemikiran penulis, dalam kes ini diri beliau sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan Ridhwan Saidi adalah seorang pengarah yang “dihasilkan”. Pengarah yang dihasilkan di sini adalah mereka yang sekadar memiliki bakat menulis, dan menampilkan dirinya sebagai pengarah kolektif, umum dan membawa pemikiran sendiri dan dipilih komiti menurut Stanislavski. Pengarah yang dihasilkan tidak mampu mencipta sejumlah pemain (pelakon) dan sekaligus menyatukan naskhah dan pementasan mengikut pemikiran si pengarah. Yang dilakukan hanyalah mengadakan sebuah pertunjukan. Itu sahaja. Sama seperti Rohaya Atan, naskhah-naskhah penulisan beliau seperti Pelayaran Nur Athma merupakan naskhah yang membawa halwa feminis yang baik. Tetapi ketika beliau mementaskan naskhah tulisannya, hilang dan kabur semua pemikiran naskhah itu. Mungkin sebab itu beliau fokus kepada kerja-kerja penerbitan teater. 

Hal ini terlalu berbeza dengan terma pengarah yang ‘’dilahirkan”. Contoh yang mudah adalah Grotowski dengan teater miskinnya, Boal dengan teater tertindasnya atau Antonin Artaud dengan teater kejamnya. Ini tidak perlu di bahas lagi. Jelas dan nyata. Di Malaysia, kita melihat bagaimana Nam Ron dilahirkan dalam gelombang teater eksperimen melalui karya Tanda dan Arifwaran dengan teater fizikal Meta-M. Kita melihat bagaimana dua pengarah ini tidak sekadar mementaskan naskhah, tetapi mencipta sejumlah pemain (pelakon) dan dengan sendirinya naskhah dan pementasan akan mengikutnya. Bagi saya, tiada apa yg ditawarkan dalam pementasan ini selain naskhah yang baru dan agak bermutu. 

Untuk karya pertama, saya merasakan seperti berada diruang ‘reading play’. Sekadar membaca dialog. Pada awalnya kelihatan seperti aktor memegang konsep stillness dalam lakonan. Tetapi tidak konsisten. Mungkin beliau memegang konsep minimalis, tetapi kehilangan kesan teaterikal. Tidak banyak yang boleh dibincangkan dalam pementasan pertama.

Untuk karya kedua, saya lebih memandang kepada imej. Berbicara tentang imej, imej yang dipilih Ridwan tidak memberi peluang kepada penonton untuk berfikir apabila semua aksi divisualkan. Pemilihan imej tidak boleh lari dari kewujudan semeotik dan semantik. Untuk lebih mendalam, aksi/imej ini saya cuba membaca kehadiran semantik. Kewujudan fungsi semantik hadir, tetapi tidak berkesan sepenuhnya dalam pertunjukan ini. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan ‘memaknakan’ sesuatu ‘tindakan’. 

Contoh dalam pementasan ini adalah bilamana wujudnya ‘bunga’ (imej) tetapi tidak memberikan ‘makna’. Bila pelakon mengalihkan bunga itu ke tepi pentas, ianya tidak memberikan makna pada sesuatu ‘tindakan.’ Alangkah baiknya jika imej itu dipaparkan seperti: pelakon membawa bunga ke tepi mayat tadi dan keluar pentas tanpa melakon kan aksi dibunuh. Untuk babak pembunuhan, jika sekadar suara halus yang terkeluar dari belakang tirai lebih meninggalkan kesan dari pancutan warna merah ke tirai. Bagi saya imej atau aksi ini lebih berkesan. Saya sudah boleh mengagak pelakon yang itu akan mati dari awal cerita lagi memandangkan kostum recycle putihnya sudah ada kesan darah dari awal cerita. Inilah yang dikatakan kekuatan imej yang membawa kesan dan memberi penonton berfikir. Memandangkan pertunjukan ini begitu minimalis, saya kira kaedah sebegitu lebih sesuai. Imej tidak sekadar dipotraykan sahaja di atas pentas tetapi harus memaknai sesuatu tindakan. Aksi pelakon di tampar juga boleh dikira sebagai imej. Imej yang meninggalkan kesan pada memori (memory images). Imej bukan sekadar prop dan pencahayaan sahaja. 

Sebenarnya, corak permainan double bill ini bukanlah sesuatu yang baru. Isu yang diangkat pun biasa. Tahun 2010-2013 konsep sebegini setiap minggu dipentaskan di Stor Teater DBP. Kita melihat bagaimana kelompok teater di Kuala Lumpur tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Kirin Mohamad dan Amar Asyraf adalah orang yang begitu tegar mementaskan isu-isu dan corak permainan seperti malam ini. Jika bercakap tentang sistem feudalisme. Fasyali Fadzly pernah hadir dengan karya Juta-Juta di Stor DBP. Mungkin ianya baru bagi mereka yang baru berjinak meminati dunia teater, tetapi saya menjangkakan lebih dari itu kerana nama Ridhwan ini begitu kuat limelight lewat media eletronik dan media sosial ketika saya berada di Jakarta tahun lalu. Baru hari ini saya sempat menonton karya beliau. Ternyata saya yang normcore (peka terhadap benda yang biasa). 

Seterusnya, lakonan malam ini tidak meyakinkan. Harus diingat, 80% kejayaan seorang pengarah terjamin sekiranya pemilihan aktor yang tepat. Mungkin saya yang terlepas pandang, tetapi barisan para pelakon dalam teater arahan beliau terlalu diatur. Tidak memegang kepada rasa. Lakonan yang sangat rigid. Terikat. Sebab itu saya menanyakan soalan, sejauh mana beliau mengawal pelakon dalam konteks sebagai seorang pengarah? Ini kerana ada diantara pelakon beliau saya pernah tonton permainan mereka dan agak memuaskan. Tetapi tidak dalam karya ini.

Ketika menonton, saya terfikir tentang Brecht. Epic theatre. Tentang bagaimana lakonan itu tidak perlu ada “the 4 walls”. Beliau suka terhadap the chinese opera. Bagaimana pelakon lepak di tepi panggung dan bila giliran pelakon bangun dan masuk ruangan lakon. Transisi dari duduk minum teh dan merokok di tepi panggung dan masuk ke ruangan lakon. Mungkin ini yang ingin di sampikan oleh Ridhwan bila memilih tirai yang transparent. Ini ada dalam bentuk persembahan beliau. Membenarkan pelakon dilihat walau berada diluar ruang lakon. Mungkin Ridhwan boleh mengaplikasi teknik sebegitu terhadap pelakonnya dari meminta pelakonnya ‘berlakon’. 

Pelakon ini boleh dikatakan seperti sepotong tanah liat, sepatutnya harus merasa dan mengikut tekanan jari pengarahnya ketika mengukir sebiji labu sayung. Bagi pengarah pula, tidak semua tanah liat sesuai untuk di buat labu sayung. Kira-kira begitulah analoginya. Ini bukanlah sebuah pementasan penilaian pelajar. Ianya sudah melangkah ke alam profesional. Saya kira Ridhwan selaku pengarah perlu memikirkan juga tentang pemilihan barisan pelakon sekiranya ingin mementaskan lagi teater. Dan saya masih ingin membaca naskah tulisan beliau kerana senang dengan penyampaian yang begini. 

Konklusinya, saya memutuskan untuk kembali kepada poster, iaitu teater ‘normcore’. Mungkin Ridhwan melanggar semua terma yang saya sebutkan diatas, mengakibatkan pementasan ini anti-genre. Jika ini benar, beliau telah berjaya mementaskan teater yang anti-genre. Usaha berterusan Ridhwan ini harus dipandang serius dan dipuji. Beliau secara konsisten menyemarakan lagi pementasan di Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia am-nya melalui Teater Modular 1&2 dan Teater Normcore. Kita memerlukan penggiat-penggiat seperti ini untuk terus meraikan industri teater di Malaysia. 


Tahniah kepada seluruh ahli produksi.


Naque Ariffin,
Restoran Pelita Bangsar (2.30 am),
12 Februari 2018.

Thursday, October 19, 2017

Nota Kaki Untuk Filem Tombiruo: Penunggu Rimba.






(Ini bukanlah sebuah review ilmiah untuk sbuah filem besar seperti Tombiruo. Ianya hanyalah seperti penulisan nota kaki, santai, tetapi penting.)

Sebelum penulisan ini pergi secara terperinci mengenai filem Tombiruo: Penunggu Rimba, saya ingin memberi sedikit penjelasan mengenai sebuah filem adaptasi dari novel. Biarlah tulisan ini nanti membuka minda dan memberi sedikit gambaran bahwa melakukan kerja-kerja adaptasi dari novel ke filem bukanlah sesuatu yang mudah. Memandangkan pengkarya filem dan penonton hari ini terlalu ghairah membuat dan menonton hasil kerja adaptasi dari novel ke filem, saya ada sedikit pencerahan apabila penonton mengatakan bahwa “tidak sama seperti yang terdapat dalam sebuah novel.”

Hal ini amat mustahak untuk mendidik penonton dan pembaca novel, malah mungkin buat pengarah filem yang ingin membuat proses adaptasi dari novel ke filem. Saya anggap pencerahan ini satu fardhu kifayah buat saya. hahaha. Saya teruskan.

Filem adalah sejenis seni yang masih muda jika dibandingkan dengan sastera. Filem tidak boleh diukur dan dinilai seperti apa yang diterapkan di dalam novel atau satera. Inilah perkara awal dari kekeliruan penilaian terhadap filem. Berbeza dengan novel, filem tidak boleh hanya dinilai dari analisa formal seperti pelakon, latar dan plot tetapi harus dipertimbangkan berdasarkan ciri-cirinya sebagai gambar yang bergerak,bukan seperti rangkaian huruf di dalam novel. Huruf-huruf atau perkataan yang ada di dalam novel akan menyarankan gambar-gambar tertentu yang hanya ada dalam fikiran kita, sedangkan gambar bergerak yang ada di layar menyarankan ‘pemikiran’ yang ada dibalik gambar itu. Disini lah letaknya perbezaan yang dalam antara sastera dan filem. Disini jelaslah setelah novel menjadi filem, kedua jenis seni ini bertentangan. Saya harap sesudah ini tidak ada lagi pengkarya menjawab soalan penontonbahawa ‘jika dibuat satu novel tidak cukup masa”, “kami memilih babak-babak yang penting” dan sebagainya. Sesudah melalui proses alih wahana, saya tegaskan disini sekali lagi kedua-dua kesenian ini adalah berbeza. Apabila dipindahkan ke medium filem, pengarah mempunyai ‘artistic license’ untuk mencorak kayra yang sudah di adaptasi.


-----------------------------------------------------


Sinopsis: 


“Filem ini mengisahkan tentang Tombiruo iaitu mahkluk yang dikatakan memiliki kesaktian untuk menguasai hutan. Tombiruo adalah pemuda yang jiwanya memberontak, lelaki yang tidak berwajah manusia namun sekaligus seorang yang bertanggungjawab dan dibebani kesaktian yang tidak dapat dikawalnya sentiasa memakai topeng untuk menyembunyikan kemelut dan kesepian di kalbunya.”

Ada beberapa perkara yang mungkin dianggap kecil oleh produksi, tetapi besar bagi mata seorang pengkritik mahupun penonton. Saya akur bukanlah mudah untuk membuatkan sebuah filem, tambahan pula filem epik dan aksi seperti ini, tetapi ini bukanlah alasan untuk tidak pergi lebih terperinci memandangkan pihak produksi telah melabur dan memerah keringat untuk menjayakan filem ini. Sayang jika finishing dilakukam dengan kesalahan remeh atau tidak sepatutnya.

1) Latar

i. Tempat: 

Saya tidak percaya bahawa ianya berlaku di dalam sebuah hutan yang tebal, dan Tombiruo bukanlah Penunggu Rimba jika dilihat dari sudut latar cerita ini. Walaupun beberapa kali kelihatan ‘establish shot’ yang memaparkan Gunung Kinabalu, saya tetap mengatakan ianya seperti Hutan Simpan Bukit Nenas dek kerana atmosphere yang dipamerkan didalam filem ini.


ii. Masyarakat

Populasi masyarakat yang tinggal di Sabah melebihi 3 Juta orang, mempunyai 25 buah daerah, dan terdapat lebih daripada 20 etnik. Persoalan saya mengapa ketika babak di perkuburan, ianya tidak memaparkan sebuah pengkebumian? Harus diingat, seorang adik kehilangan abang, 2 orang anak kehilangan ayah, seorang suami kehilangan isteri, seorang isteri kehilangan suami. Mereka ini tidak punya kaum keluarga dan sahabat handai kah? Apa yang boleh saya rumuskan, masyarakat dalam drama Tanah Kubur lebih ramai berbanding latar sebuah negeri antara yang terbesar di Malaysia ini. Inilah yang dikatakan merosakkan unsur-unsur keindahan estetika (appearance, content, substance dan presentation).

Terdapat satu lagi masalah besar apabila kita bermain dengan nombor. Menurut dialog yang di lontarkan oleh Tan Sri Berham, terdapat 10 ribu orang yang harus dipindahkan jika projek empangan itu di laksanakan. Tetapi masyarakat yang hadir untuk merusuh, tidak melebihi 100 orang. Dan shot tidak membantu menegangkan situasi. Terlintas di fikiran saya bahwa pernah berlaku bantahan besar-besaran dan sekurang-kurangnya 500 orang warga Baram, Sarawak yang hadir ketika membantah pembinaan Empangan Baram dihadapan Tan Sri Adenan Satem 2015.

Sebentar! Ini sesuatu yang menarik! Terdapat satu kaitan yang boleh dijalinkan di dalam novel tulisan Ramlee Awang Murshid ini. Memandangkan beliau sendiri merupakan warga kepulauan Borneo, mungkin situasi dan keadaan sekeliling telah membawa kita menyelami permasalahan yang cuba di sembunyikan media massa kini dan isunya Masih relevan untuk masa kini walaupun novel asalnya sudah ditulis 20 tahun yang lalu.


Realiti dan Fiksi.

Empangan Baram : Realiti
Empangan di Keningau: Fiksi

Tan Sri Adenan Satem: Realiti
Tan Sri Berham: Fiksi


2) Kekemasan

Persoalan saya hanya satu. Bagaimana kumpulan tatarias mendefinasikan “lelaki yang tidak berwajah manusia” untuk watak Ejim? Terdapat banyak kebocoran dari aspek kamera ketika mengambil shot wajah Ejim ini. Walaupun bertopeng, saya masih boleh melihat Ejim mempunyai biji mata, kawasan bawah mata yang sempurna, dahi yang sempurna tanpa sebarang cela, dagu seperti manusia. Tidak mungkin pada bahagian tulang pipi terdapat Jin yang bertenggek memandangkan topeng yang dipakai Ejim sangat rata permukaannya. Atau mungkin ada pada bahagian bibirnya yang ada emas 24 karat yang penuh. Ini kerana lontaran suara Ejim dan penggunaan vocal atau sebutannya tidak jelas. Itu sahaja bahagian yang saya rasa logik jika dikatakan dia tidak berwajah manusia. Persoalan saya, apakah terjemahan “lelaki yang tidak berwajah manusia” itu bagi krew tatarias? Ejim adalah Penunggu Rimba dan mempunyai kuku jari yang licin? Apakah? Mengapa tidak dicalitkan sekurang-kurangnya ‘kryolan negro 2’ pada permukaan muka Ejim sebelum dipakaikan topeng. Inilah perincian yang saya sebut dan di atas tadi.





Pemilihan Novel Yang Tepat Untuk Diangkat Ke Layar Perak.

Sebenarnya, kita beruntung kerana berada di Asia. Jika dikaji secara mendalam, hanya Negara- Negara di lingkungan Asia sahaja yang mempunyai banyak tradisi serta citra nusantara yang masih dikaji oleh bijak pandai sehingga hari ini. Sebenarnya, kita tidak perlu untuk membuat cerita robot-robot yang beterbangan dan berdiri gagah di kota Kuala Lumpur kerana Amarika atau lebih tepatnya Hollywood tidak mempunyai budaya yang unik untuk di tampilkan dalam filem mereka. Oleh sebab itu mereka mencipta budaya. Memang benar kita amat ketinggalan jauh jika di bandingkan dengan mereka dari segi teknologi serta aspek pembikinan sesebuah filem, tapi dari aspek cerita, kita mampu menang dari mereka. Tahniah Tombiruo, sebuah citra nusantara tercurah didalam filem ini. Kisah penyatuan uri didalam satu bekas, kuasa alam semulajadi, perebutan harta, percaya kepada kuasa dukun dll adalah citra nusantara yang terdapat dalam filem ini. Walaupun kini kita muntah dengan adaptasi novel cinta ke layar perak dan kaca, ternyata Tombiruo adalah pemilihan yang berani. Syabas!

Permasalahan terbesar bagi saya adalah: untuk kes ini saya menyokong slogan ‘asia untuk asia’ yang digunakan Jepun semasa menjajah tanah melayu. Bagi saya, emosi cerita ini lebih mengalir lebih indah jika “rasa” itu dibawa oleh seorang pengarah dari nusantara. Harus di ingat, sebab buah di kenal pohonnya. Saya tidak menafikan hasil kerja pengarahan Seth Larney sebelum ini, tetapi apalah ertinya keindahan jika tidak dapat dirasai. Tombiruo sebuah filem yang indah. Ini tidak dinafikan. Tetapi penggunaan high speed shot yang berlebihan dan menjengkelkan, kesan khas CGI yang tidak kemas, tidak ada moment ketika babak-babak sedih dan yang paling terang, kemana plot Tombiruo ini ingin pergi? Pasal hutan atau mencari saudara kembar? Ini sedikit sebanyak memberi kesan yang mendalam terhadap filem ini.

Namun tidaklah semua aspek dalam filem ini teruk. Pujian harus diberikan pada pemilihan barisan pelakon-pelakon yang berada di papan ke dua ketika nama pelakon ditampilkan seperti Farah Ahmad, Faizal Hussin, Datin Marlia Musa malah pelakon pembantu ketika babak rusuhan di kampung yang melihat kejadian Tombiruo melibas parangnya pada Wong juga bermain amat baik.

Farah Ahmad menampilkan the beauty of imperfection dalam watak lakonannya. Cara beliau mempotraykan Monsiroi/Bobolian sangat kemas dan membuatkan penonton percaya dan saya tertanya-tanya, siapakah Penunggu hutan sebenar di dalam filem ini? Monsiroi atau Tombiruo? Ini kerana, semangat hutannya lebih jelas.

Faizal Hussin tidak perlu diuji. Saya pernah menonton seorang aktor melayu melakonkan watak pemuda tamil dalam sebuah teater. Walaupun beliau tidak mengerti atau perkataan itu lansung tidak wujud, beliau membuat penonton percaya. Begitu juga Faizal, saya tidak pasti loghat Sabah beliau kena atau tidak, tetapi lakonannya telah menutup kecatatan loghat beliau jika ada penonton dari Sabah mengatakan ianya tidak kena.

Datin Marlia Musa membawa peranan Bonda sungguh subtle dan tidak berlebihan walaupun beliau seorang terpangkat Puan Sri dalam filem ini. Kita sering dihidangkan dengan lakonan Datin, Puan Sri, Toh Puan yang berlebih-lebihan dalam filem dan tv, tetapi tidak dalam filem ini. Babak terakhir ketika beliau dan anak perempuannya akan membuatkan anda rindu terhadap ibu anda. Apakah ini petanda awal beliau akan kembali memeriahkan industri lakonan setelah Ranjau Sepanjang Jalan?

Tahniah Untuk semua Ahli Produksi Tombiruo. Ada nafas baru dalam industri perfileman Malaysia. 


Bintang: 4/5 

Naque Ariffin,
TTDI,
19 Oktober 2017.

Sunday, August 6, 2017

Review: Jelmaan Robert Wilson dan Martha Graham Dalam LANGKAU 2017


Dalam jagat teater di Malaysia, istilah teater rupa (theatre of visuals) adalah sangat asing bagi penonton mahupun pembikin-pembikin teater era postmodern abad ini. Bukan sahaja asing, malah belum ada kesedaran untuk menjadikan ianya semacam gaya atau aliran teater yang wajib ditonton. 

Review kali ini akan lebih menjerumus terhadap konsep persembahan dan tidak pergi secara terperinci terhadap lakonan mahupun teknikal.

"LANGKAU- An evening contemporary performance" amat mendekati aliran teater yang dipopularkan oleh Robert Wilson yang sering hadir dengan "theatre of visuals" atau "theatre of image" sekitar awal 1970-an. 

Dalam bidang tari pula, awal-awal pembabitan Martha Graham lebih kepada gerak yang signifikan, dan bukan liuk lentok atau lemah gemulai. Martha cenderung dan sukakan gerak yang penuh dengan makna batin dan keghairahan yang mengejutkan dari segi emosi dan spiritual.

Dua gabungan tokoh kontemporari ini bagi saya mungkin telah memberi ilham terhadap proses pembikinan LANGKAU, memandangkan ianya sebuah karya kolaborasi antara pensyarah teater dan tari dari ASWARA.

LANGKAU 'hidup' di atas pentas 2, KLPac dengan gestur rupa tubuh yang dikoreografikan, gerak yang punya simbolik, tekstur suara/muzik yang di komposisikan dan lighting (pencahayaan) sebagai tata rupa paling penting dalam konsepsi teater visual dengan tujuan utama untuk menggapai puncak estetika bagi penonton. Selain itu, LANGKAU telah menyatukan drama non-naratif (membuang rangkaian plot linear) dengan aspek sinografi bilamana menghasilkan visual, suara, musik dan kesuyian dalam diri dengan berkomunikasi melalui bahasa tubuh.

Gerak yang dipamerkan dalam LANGKAU pada Ahad, jam 3.00ptg tadi telah menggenggam sebuah ritma dan strukturnya sendiri. Gerakan yang dipamerkan tidak mengikut teks (apa yang diucapkan) dan gerak yang dicipta telah memperkukuhkan lagi teks tanpa menjadi penghias bagi teks tersebut. Dalam kata mudah, gerak yang dicipta tidaklah sebagai gerak tari yang mengikut tempo muzik, sehingga menjadikan apa yang didengar dan apa yang dilihat adalah dua lapisan yang berbeza. Ketika dua eleman ini disatukan, maka inilah yang disebut kontemporari bagi pendapat saya.

Sebenarnya ini merupakan pengalaman kedua saya menonton LANGKAU. Ianya pernah dipentaskan tahun lalu di Blackbox, Aswara. Apa yang memanggil saya untuk menontonnya sekali lagi adalah 'An evening contemporary performance' yang dipamerkan di ruangan jemputan muka buku (facebook). Kontemporari merupakan cabang dari era Postmodernisme. Postmodernisme itu sendiri khususnya dalam dunia teater sangat bergantung kepada pemahaman serta persepsi individual kerana sehingga kini belum memiliki definisi yang pasti. Mungkin dalam persembahan LANGKAU, mereka telah menjauhi hal-hal yang tradisional dalam teater, baik dalam bentuk format mahupun presentasinya di atas panggung. Atau LANGKAU telah menentang estetika teater konvensional sehingga mengizinkan penafsiran yang pelbagai. Dalam hal LANGKAU, semiotik (lapisan-lapisan tanda dalam gerak dan video) bersifat dekonstruktif dengan memberikan peluang kepada penonton membuat pelbagai tafsiran. Jika benar maksud dan tujuan persembahan ini di pentaskan semula, maka LANGKAU telah berjaya mementaskan sebuah persembahan kontemporari yang begitu konseptual.

Cuma ada beberapa hal yang perlu dititik beratkan ketika mementaskan semula sebuah persembahan. Persembahan LANGKAU sebelum ini sudah kompleks menurut saya. Saya faham keghairahan untuk mencari penambah baikan pada show yang sebelum ini. Ada beberapa penambahan untuk persembahan kali ini, ianya seperti meleret sedikit dari yang sebelumnya ( ada energi dari segi vokal tetapi pacing agak perlahan). Saya teringat sebuah peristiwa di sebuah restoran mewah di Jepun pada awal 2015. Saya membawa sambal ikan bilis dari Malaysia. Saya ditegur kerana menurut pelayan restoran itu, makanan yang dihidangkan sudah cukup ramuannya. Saya fikir ini adalah salah satu alasan mengapa ada beberapa restoran melarang membawa makanan dari luar. Untuk mengekalkan rasa yang sudah cukup ramuannya. Bila menambah ramuan lain, mungkin ianya merubah sedikit rasa. Ini hanyalah sebuah analogi. Sama halnya dengan makanan, setiap orang mempunyai cita rasa yang tersendiri. Perbandingan akan sentiasa wujud. Inilah sebenarnya cabaran untuk mementaskan semula sesebuah persembahan yang sudah mencapai par yang tinggi. Tetapi ianya tidaklah merosak kan keseluruhan persembahan LANGKAU yang dipentaskan semula atas permintaan ramai ini. Syabas dan tahniah untuk semua ahli produksi. 

Naque Ariffin,
Parking lot KLPac / Bangsar South 
6 Ogos 2018.