Thursday, April 6, 2017

Assalammualaikum... Filem Kita Sudah Sampai Dimana?


Ketika penulisan ini masih dalam rangka awal, saya begitu celaru. Samaada saya ingin menulis cara memajukan filem Malaysia atau meningkatkan mutu filem Malaysia. Dalam masa yang sama, saya juga memikirkan kemanakah arah filem Malaysia 5 tahun mendatang? 

Dalam beberapa hal, sememangnya patut kita dipandang tinggi kerana Malaysia antara Negara yang mempunyai kecanggihan dalam aspek keperluan teknikal filem. Dalam banyak hal pula kita di pandang rendah kerana mensia-siakan keperluan yang ada. Digital Mix Stage Studio telah di rasmikan pada 1 Februari 2009. Kompleks audio di FINAS yang tersergam indah itu dilengkapi dengan digital mixing stage lengkap dengan Dolby Premier Studio. Persoalan saya hari ini selepas beberapa tahun diwujudkan, berapa buah filem yang telah menggunakan alat tersebut? Berapa ramai pakar yang kita ada dan boleh mengurus (operate) mesin canggih tersebut? 1? 2? Atau belum pernah ada? Samalah persoalan saya mengenai studio Pinewood di Iskandar, Johor Baharu. Berapa buah filem tempatan kita yang telah melakukan proses pengambaran disana? Kenyataan ini memamng sadis jika difikirkan secara logik. Sudahlah, jagan difikirkan apa yang kita tidak ada dari segi teknologi, tetapi bergeraklah dengan apa yang kita mampu. Tolak ketepi dengan Lembaga penapisan filem, sebagai seniman filem saya kira itu adalah cabaran bagaiman kita mampu membuat sebuah filem yang berlapis-lapis dan membawa simbol serta mengangkat semiotik tertentu. Tulisan ini akan membawa kepada cara meningkatkan mutu filem Malaysia dengan cara semampunya. Selepas kita meningkatkan mutu filem kita, barulah proses bagaimana memaju atau memasarkan filem ke persada dunia. Pengkukuhan 3 aspek ini mungkin akan membuatkan mutu filem kita berubah menurut pandangan saya.



Penceritaan.


Sebenarnya, kita beruntung kerana berada di Asia. Jika dikaji secara mendalam, hanya Negara- Negara di lingkungan Asia sahaja yang mempunyai banyak tradisi serta citra nusantara yang masih dikaji oleh bijak pandai sehingga hari ini. Sebenarnya, kita tidak perlu untuk membuat cerita robot-robot yang beterbangan dan berdiri gagah di kota Kuala Lumpur kerana Amarika atau lebih tepatnya Hollywood tidak mempunyai budaya yang unik untuk di tampilkan dalam filem mereka. Oleh sebab itu mereka mencipta budaya. Memang benar kita amat ketinggalan jauh jika di bandingkan dengan mereka dari segi teknologi serta aspek pembikinan sesebuah filem, tapi dari aspek cerita, kita mampu menang dari mereka. Tahun lalu, sebuah filem pendek dari Indonesia telah menang di Festival Filem Cannes dengan hanya menjual cerita sehari-hari. Saya fikir, kejujuran dalam menghasilkan cerita lebih tinggi nilainya dari aspek teknologi. Sesungguhnya saya tidaklah menolak filem-filem sains fiksi, tetapi untuk meningkatkan mutu filem kita, kita haruslah mencari isi cerita terlebih dahulu.

Malaysia punyai pelbagai tradisi yang belum diketengahkan. Saya masih teringat lagi tema Festival Filem Malaysia ke-22, “Filem Malaysia ke Persada Dunia”. Namun filem-filem yang dipersembah ketika itu dan sehingga hari ini mengandungi jalan cerita dan lawak jenaka yang tidak universal dan sukar difahami oleh penonton antarabangsa. Tidaklah semuanya. Saya bangga baru-baru ini filem Redha dan Interchange berkelana ke merata festival film Antarabangsa. Tahniah! Namun, apakah kita mampu merelakan cerita-cerita lain yang masuk ke pawagam. Hari ini, tidak ada resepi yang khusus untuk membuat sesebuah filem. Jika kita terus bergantung kepada kehendak penonton, kita akan tenggelam dengan permintaan-permintaan yang tidak lansung mendidik malah akan membuatkan mutu filem kita jadi lebih rendah. Mengambil contoh filem aksi ‘Ong Bak’ dari Negara Thailand misalnya, filem ini memenangi anugerah Filem Aksi Asia di Festival Filem Asia di Deauville, Perancis itu turut tercalon sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Catalonia, Sepanyol. Apa yang dijual dalam filem ini? Sudah tentu Ong Bak bukanlah satu filem yang sarat dengan falsafah tetapi ia mampu memenangi hati penonton menerusi plot filem yang amat ringkas dan aksi pertempuran dengan gaya seni mempertahankan diri yang unik di Thailand dikenali sebagai Muay Thai. Saya kira ini lah resepinya. Melihat kejayaan The Journey, nyata resepi ini berhasil. Menjual citra budaya dan lingkungan setempat. Sedar tidak sedar, dari penceritaan ini kita akan temukansebuah lokasi yang sangat asing bagi kita. Bergeraklah dengan sebuah naskah dan cerita yang punya nilai budaya atau lingkungan yang ada di negara kita, kemudian coraklah naratif  atau narasi penceritaaannya.




Pemilihan Pelakon.



Saya beranggapan, sehebat manapun pengarah atau sutradara, jika pelakon tidak boleh membawa watak dan cerita maka ianya menjadi sia-sia. Selain dari itu, selaku pengarah yang merupakan nakhoda sebuah produksi, keputusan adalah ditangan anda dalam aspek pemilihan pelakon bukan produser. Tetaplah dengan keputusan anda jika ingin menjaga mutu dan kualiti filem anda. Pemilihan pelakon haruslah bersesuaian dengan kehendak watak. Sebenarnya, 80 pratus tugas pengarah jadi mudah bila dia berjaya memilih pelakon yang tepat dengan kesesuain watak. Kerana mereka ini yang akan mendayung cerita anda sehingga ke akhir. Saya mengambil contoh sebuah filem Holywood, La La Land misalnya. Kenapa Damien Chazella memilih Emma Stone? dia memilih dua orang pelakon yang bernyanyi pun biasa-biasa sahaja dan menaripun tidaklah mengasyikan sampai kita klimaks sedangkan ini filem Muzikal? Jawapannya adalah, ‘kehendak watak’. Justru watak Emma Stone (Mia) bukanlah seorang pelakon dan penyanyi profesional, maka perwatakanya yang bercita-cita tinggi dan tidak mudah mengenal putus asa itu sangat sesuai dgn Emma. Bukan macam cerita kita yang watak jual cendol pun nak kena badan sado, pipi mulus tanpa sebarang jerawat walau berniaga di tengah panas. Inilah yang saya sebut di atas tadi: berhenti mengikut permintaan penonton yang menjahanamkan mutu film kita. 



Proses Tidak Pernah Menipu.


Saya adalah orang yang sangat percaya pada proses. Saya juga percaya, sesebuah produksi yang menjalankan proses latihan bersama aktor sebelum masuk ke set pengambaran adalah langkah yang sangat penting untuk meningkatkan mutu filem tersebut. Pada tahun 2010 ketika saya terlibat dalam sebuah produksi teater arahan Fared Ayam, pelakon-pelakon yang lain seperti Nam Ron, Zahiril Adzim dan Ameerul Afendi sering datang lewat ke latihan teater. Mereka menjalankan latihan untuk sebuah filem arahan Dain Said ketika itu, Bunohan. Perasaan teruja untuk menonton filem itu benar-benar saya rasakan bilamana mereka menceritakan proses dimana mereka terpaksa belajar Muay Thai dan kelas bahasa Kelantan. Akhirnya, kita dapat lihat hasil di layar lebar bagaimana proses yang saya katakana tadi tidak pernah menipu. Kejujuran emosi yang keluar oleh semua barisan pelakon memang tidak dapat dinafikan dan ternyata Bunohan menang besar dalam Festival Filem Malaysia tahun berikutnya.

Ketika saya terlibat sebagai Acting Coach untuk sebuah filem yang berjudul Jibam pada tahun lalu, agak janggal bagi saya kerana hanya melatih seorang pelakon. Memandangkan barisan pelakon untuk filem ini semuanya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang lakonan, hanya watak utama yang belum pernah berlakon sahaja di hantar kepada saya untuk mendalami watak, emosi dan cerita. Ini adalah salah pada pandangan saya. Dan ternyata di set pengambaran apa yang saya khuatirkan berlaku. Ada beberapa pelakon yang berpengalaman bertanyakan pada saya ‘apa yang berlaku ketika adegan ini ye?’, “sebelum sceen ini apa yang berlaku’ dan pelbagai lagi soalan yang pada saya mereka dibayar untuk mengkaji itu. Ini lah yang membimbangkan saya. Saya faham benar masalah kekangan masa. Tetapi persefahaman antara rakan lakon tidak mungkin dapat terlajin hanya dalam beberapa minit sebelum pengambaran dimulakan. Proses latihan itu penting. Sebelum pengambaran berlaku dan bukan ketika 2 minit sebelum pengarah berkata ‘and… action!’ 

Sebagai seorang pengarah filem, anda harus percaya kepada tugas seorang guru lakon/acting coach. Mereka dibayar untuk memahami kehendak cerita, mentelaah setiap emosi dan menggerakan pelakon berdasarkan kehendak watak. Memang benar anda akan percayakan seseorang pelakon yang pernah anda arahkan atau anda kenali, tetapi tidak mahukah anda memandang mereka dari sisi lain jika dalam proses latihan bersama guru lakon tadi menemukan sesuatu yang baru dalam diri pelakon yang lama atau berpengalaman?

Jika FFM ke-22 mengangkat tema filem kita ke persada dunia, saya sekadar ingin bertanya. Setelah FFM ke-28, sudah sampai mana filem kita?

'I use cinematic things in a theatrical way on stage, and in film I use theatrical techniques in a cinematic way'' - Julie Taymor


Naque Ariffin, 
Jakarta Pusat.
6 April 2017.

Monday, March 13, 2017

Review: Teater Mati Berdiri- Paparan Realiti Dalam Bentuk Imaginasi.



Selaku pengamat dan pembikin seni, saya akui, pertunjukan/persembahan pantomime bukanlah sesuatu yang moden dan diterima dengan baik oleh penonton walaupun telah wujud sejak 5 abad yang lalu. Di Amerika Syarikat, pantomim gagal menarik ramai penonton walaupun terdapat banyak seniman-seniman yang memperjuangkan seni persembahan pantomime ini, ianya tetap gagal menarik penonton. Bahkan, Nick Thomas: pemilik dan pengasas syarikat penerbitan pantomime terbesar didunia juga mengeluh terhadap penerimaan penonton di Negara seberang laut. Begitu juga di Kanada, Malaysia, Hawaii, China dan Perancis. Di Britain, bagaimanapun, persembahan pantomim masih memainkan peranan penting sejak zaman Victoria dan ia merupakan sebuah acara tahunan yang besar.

Apa yang menariknya disini, kumpulan atau kelompok Sena Didi Mime ini telah merombak semula prinsip-prinsip yang ada dalam Pantomim. Mungkin sikap atau pendekat ini boleh kita namakan sebagai “moden’’- mencuba dan memperbaharui. Ramai penonton teater alaf ini sangat suka akan karya baru dengan persembahan cara baru, sekaligus menjadikan teater zaman ini selalu berubah dan dinamis. 

'Mati Berdiri' berangkat dari salah satu realiti Indonesia hari ini. Pertunjukan ini mengangkat masalah informasi yang menjebak antara benar atau salah, fakta atau bukan fakta dan cara menyingkapinya. Hal ini amat jelas dan ketara melalui tindakan dan aksi-aksinya. Memandangkan ini merupakan teater tubuh (fizikal) segala aksi yang dilakukan membawa makna yang tersirat. Teater ini telah dipentaskan di Teater Salihara, Jakarta Selatan pada 11 March 2017 yang lalu.

Usaha memecahkan "fourth wall" yang diperkenalkan oleh Denis Diderot dalam pertunjukan ini sangat memberi impak dan berjaya menurut saya. Terma 'import pentas' dalam perkembangan teater kontemporari telah berjaya dihadam oleh kumpulan yang ditubuhkan oleh Sena A. Utoyo dan Didi Petet ini. 

Saya begitu tertarik dengan adegan baling bantal untuk memasuki dalam sebuah kotak. Terdapat lima orang yang gagal memasukan bantal ke dalam kotak, tetapi orang terakhir berjaya memasukan bantal ke dalam kotak walaupun matanya ditutup. Sangat kemas adegan ini walaupun bantal itu masuk ke dalam kotak atas ‘bantuan’ rakan yang lain. Harus di ingat untuk memecahkan tembok ke-4 ini bukan perkara yang sewenang-wenangya dilakukan tanpa alasan. Selepas bantal tersebut berjaya dimasukan kedalam kotak, lampu penonton di pasang. Para pemain terus memberikan ‘hadiah’ yang berupa bantal kepada penonton dan beberapa keping pizza. 

Kewujudan fungsi semantik telah terkesan dalam pertunjukan ini. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan ‘memaknakan’ sesuatu ‘tindakan’. Saya terangkan dengan lebih di bawah:


TANDA :
Melemparkan bantal ke dalam kotak dan siapa masuk diberi kuasa.


MENANDAKAN : 
Hal ini merujuk kepada adegan pilihanraya atau pemilu dalam bahasa Indonesianya. 


TINDAKAN : 
Dan pemimpin yang menang terus memberi habuan kepada penonton yang bersorak disebabkan bantal itu masuk ke dalam kotak. Seolah-olah kita setuju dengan perbuatan itu, walaupun beliau menang dengan cara yang jijik dan kotor. Inilah kehadiran semantic dalam pertunjukan ini.


Persembahan ini sebenarnya tidaklah terbatas kepada falsafah eksistensialisme semata yang telah dipamirkan oleh ‘anjing’ yang telah menang dalam acara pemilu itu tadi. Manusia atau pemain dalam cerita ini digambarkan seperti seekor anjing (berdasarkan gerak, posture dan jidah yang dijulurkan seperti anjing) yang putus asa dan mencari-cari, tetapi mereka tidak putus harapan seratus peratus. Ini tidak dapat dielakan kerana manusia Indonesia tidaklah seratus peratus pesimistik. Walaupun dalam pertunjukan ini mereka mencari sesuatu- samaada kebahagiaan, kekayaan atau mencari diri mereka sendiri, mereka tidak putus asa terus menerus sehingga mereka jumpa tuannya. Pertunjukan ini sebenarnya dimulakan dengan adegan prolog dimana seorang wanita sedang sarat mengeluarkan sesuatu dari perutnya dalam keadaan berdiri dan akhirnya wanita itu juga turut mati berdiri selepas tamat pertunjukan.

Menurut sinopsis yang telah diberikan, cerita ini boleh dikatakan fakta atau bukan fakta. Makanya, pertunjukan ini membuka peluang kepada penonton untuk menanggapi dan menyingkapinya.Yayu A.W. Unru telah berjaya merangkai adegan-adegan serta situasi komedi yang sangat minima tetapi telah menimbulkan kesan katarsis di akhir petunjukan. Beliau dalam tidak sedar telah memberi paparan realiti dalam bentuk imaginasi, dan memupuk atau melatih penonton supaya berfikir tanpa perlu disuap secara bulat-bulat dibalik gelak tawa. Tahniah buat seluruh ahli produksi.


'Only one rule seems to prevail these days. Namely, that theatre has no hard and fast rules." 

- Krishen Jit, April 1979. 


Naque Ariffin,
Jakarta Pusat,
Indonesia.
(13 Maret 2017)

Wednesday, March 8, 2017

Review dan Catatan Ringkas: Teater Terang Malam Dan Teater Melayu Akan Datang - Satu Pandangan Peribadi.


(1) Sebuah Kejujuran.

Ketika menyaksikan pementasan Terang Malam yang baru bermula sekitar 20 minit, saya sudah tidak keruan. Saya teringat perbualan saya bersama seorang guru pengarahan dan lakonan yang amat saya hormati. ‘ Naque, orang datang menonton naskah Shakerspeare selepas kematiannya adalah untuk ‘mendengar’.Dan sememangnya naskah itu ditulis adalah untuk di dengar.’

Entah mengapa saya merasakan teater yang sedang saya tonton ini begitu menyeksakan saya. Blocking atau susun atur pentasnya merimaskan. Saya memilih untuk mendengar sahaja dialog yang dilontarkan oleh Adieyka Zainal dan Hana Mohammed.

Tetapi dalam pementasan yang dipentaskan di Institut Terjemahan Buku Negara (ITBM) ini, mereka seakan hilang punca kemana mereka ingin mendayung pementasan ini. Bukan sebab lakonan mereka, saya tidak ada malasah terhadap mutu lakonan yang ditampilkan tetapi yang saya sedar sehingga minit ke-20 ini, mereka tidak selesa dengan apa yang berlaku diatas panggung dan bergerak seakan tidak pasti. Apakah ini yang cuba pengarah sampaikan? Mungkin inilah gambaran lukisan-lukisan abstrak yang terdapat pada props teater ini yang dihasilkan sendiri oleh Sani Sudin. Mata saya seakan pensil yang bergerek menghasilkan lukisan. Mata saya telah mengikut arah blocking yang disusun oleh K’N Ridzuan, hasilnya adalah sebuah lukisan yang sangat celaru! Mungkin disebabkan letak tempat duduk penonton yang di set-up sebegitu telah menyukarkan penonton apabila disajikan dengan empat penjuru pandangan yang berlainan arah. Walaupun saya suka kepada visual yang sedang berlaku, tetapi ianya sangat mengganggu pementasan ini.


(2) Persoalan keindahan. 

Saya akur dalam perenggan diatas, bunyinya seperti saya amat tidak menyukai persembahan yang berlansung pada 2-5 March 2017 yang lalu. Tidak. Bukan keseluruhanya dalam setandan pisang itu busuk semuanya.

Saya teringat sebuah buku yang pernah saya curi (pinjam melebihi 2 tahun) dan baca sewaktu zaman Diploma dahulu, tetapi saya telah memulangkannya semula apabila saya dikenakan denda oleh perpustakaan dan tidak dibenarkan untuk menghadiri konvokesyen jika tidak membayar denda. Bagi saya ini adalah satu teroris baru ketika zaman itu. Tetapi sekarang saya sudah waras dan ketawa terhadap kejahilan saya dahulu. Walaupun niat saya murni untuk menambahkan ilmu, tetapi caranya salah.

Berbalik kepada topik asal iaitu persoalan keindahan. Buku itu adalah mengenai bangsa Yunani Kuno yang telah menghayati dan mengenal kata keindahan dalam erti estetika yang disebut sebagai ‘symmetria’ untuk keindahan visual dan ‘harmonia' adalah keindahan pendengaran.

Dalam pementasan Terang Malam, kedua-dua elemen yang saya nyatakan diatas wujud. Saya begitu asyik mendengar dialog-dialog yang dilontarkan oleh kedua-dua pelakon ini dan petikan ukulele yang dimainkan oleh Sani Sudin begitu asyik memasuki ruang telinga saya. Persoalan tentang bulan yang dibahaskan oleh kedua-dua aktor ini sangat menggerakan imaginasi saya untuk membayangkan bulan yang mereka sebutkan. Hal ini lagi memudahkan saya kerana saya melihat pementasan ini dalam keadaan mata yang tertutup dan melayaninya dari segi pendengaran sahaja.

Ternyata ‘symmetria’ atau keindahan visual wujud dalam pementasan ini. Kirin yang saya kenal memang tidak pernah kalah dalam merialisasikan kehendak pengarah atau pementasan bilamana beliau bertindak sebagai seorang sinografer. Saya suka idea atau konsep installation yang digunakan untuk pencahayaan. Jika dalam teater, pencahayaan yang digunakan seperti yang direka oleh Kirin disebut practical light, tetapi dalam pementasan ini beliau menyatukan pengalaman yang beliau punya sehingga wujudnya installation yang sangat menarik dari segi visual dan memberi sedikit mood dimana latar tempat cerita ini berada.

Saya memandang Terang Malam sebagai sebuah kesenian Moden memandangkan ini sebuah karya baru. Seni moden tidak terikat oleh ruang dan waktu. Kedua-dua eleman ini memang ada pada pementasan ini. Contoh-contoh karya seni moden sebenarnya lebih tertumpu kepada karya-karya yang berupa seni lukis atau seni rupa. Sebagai contoh lukisan-lukisan karya Van Gogh, Syed Ahmad Jamal (kini Allayarham) dan patung karya G. Sidharta. Walaupun pementasan ini berlaku diruang yang bukan konvensional, sebenarnya: pengarah, penulis dan sinografer telah berjaya mengangkat konsep eksperimen sebenarnya. Eksperimen yang saya maksudkan disini adalah terhadap kerja masing-masing. Bukanlah tentang istilah teater eksperimen. Penulis naskah, Afiza Asram telah berjaya mengalih wahana dari catatan/puisi Sani Sudin kepada naskah pentas (berjaya atau tidak hanya Sani Sudin sahaja yang tahu) tetapi beliau telah berjaya memindahkan puisi ke naskah dengan plot yang baik bagi saya, Kirin telah mengeksperimenkan pencahayaan dari idea installation dan Pengarahnya Saudara K’N telah mecorakan bloking dan jelas tidak realism dan tidak konvensional. Kesatuan ini jarang berlaku dalam teater-teater marhaen seperti ini. Tahniah buat semua ahli produksi yang terlibat.


(3) Teater Melayu Akan Datang- Satu Pandangan Peribadi.


Penggiat-penggiat teater Melayu masih bertaraf amatur dan terdiri dari kelompok orang yang berpendapatan rendah pula. Tidak seperti teater amatur Inggeris atau Cina di Malaysia, ahli-ahlinya terdiri daripada kumpulan profesional dan cerdik pandai dalam kalangan mereka. Teater amatur Melayu digerakan oleh pelajar-pelajar Universiti dan lepasan seni persembahan kebanyakannya. Berbanding dengan kelompok teater Inggeris, mereka hanya menjadikan bidang ini sebagai hobi sahaja. 

Secara umumnya, teater dibahagikan kepada 3 cabang iaitu amatur, komersial dan profesional. Sehingga ke hari ini, sejak penubuhan Panggung Negara/ Istana Budaya, kita masih gagal menjadi sebuah negara yang punya golongan-golongan pelopor teater profesional seperti di negara seberang laut. Hal ini amat sadis sekali. Gerakan teater amatur semakin kencang di Lembah Klang ketika ini. Revolution Stage yang di usahakn oleh Khairunazwan Rodzy telah menempatkan golongan-golongan pembikin marhain di dalam satu ruang dinamakan Projek Bilik Sempit. Dengan adanya tempat sebegitu, gerakan teater amatur melayu semakin mendapat perhatian walaupun ada diantara persembahan yang dihidangkan agak kurang bermutu. Kita boleh melihat teater-teater komersial di Istana Budaya. Teater Komersial ini berfungsi sebagai bisnes, untuk membuat duit dan mencari keuntungan. Sebagai contoh beberapa buah produksi seperti CTRA Production (Rohaya Atan), Rumah Karya Citra (Erma Fatimah), Tall Order Production (Hans Isac) dan banyak lagi. Tetapi teater profesional, masih belum wujud.

Teater Melayu amatur pada 5 tahun mendatang tetap akan sama bagi pendapat saya. Kita hanya akan mendekatkan diri atau mampu pergi sejauh apa yang di sebut oleh Jezy Grotowski iaitu menuju teater Miskin (Toward Poor Theater).

Teater Melayu kelahiran generasi 2K17 ini tidak lagi memandang kebutuhan budaya. Penonton yang datang adalah mereka yang setuju akan pembohongan ini. Sama seperti yang disebut oleh Grotowsky ketika di wawancara oleh Eugenio Barba, "Kami tidak melayani orang yang datang ke teater untuk bersantai-santai setelah penat bekerja seharian. Kami hanya menaruh perhatian pada penonton yang memiliki batin atau rohani murni yang benar-benar mahu menganalisis dirinya lewat konfrontasi dengan pertunjukan." Kenyataan ini disebabkan beberapa buah teater yang saya tonton ketika pulang ke Malaysia bulan kelmarin. 

Teater Melayu sebenarnya punya conten yang bagus tetapi kurang kreatif dari segi pembentukan idea dan penceritaan dalam naskah. Kreatif di sini bermaksud kebolehan men­cipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli: harus mengerah seluruh tenaga utk menghasilkan karya seni yg benar-benar bermutu tinggi. Kelompok-kelompok teater di Malaysia tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Dinsman ada menulis sebuah buku cara-cara memajukan teater di Malaysia. Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau mengenai Matlamat Nasional. Matlamat nasional adalah menjadikan penulis drama sebagai pilihan iaitu mewujudkan penulis bertaraf Shakespeare dimana karya-karya beliau mampu bertahan sehingga kini. Persoalan sekarang ini, berapa ramai penggiat-penggiat teater melayu generasi kini yang sudah membaca tulisan ringkas ini? Kebanyakan naskah-naskah yang wujud tidak sehebat takaran naskah nukilan Usman Awang. Ada pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan dan NGO. Sebagai contoh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Kaki Seni telah mengeluarkan dana untuk pembanggunan seni persembahan dasar industri kreatif negara . Dan ada sebahagian dana dari program yang gah itu diberikan untuk penulisan skrip. Cara ini telah dilakukan oleh negara-negara barat untuk melahirkan penulis bertaraf Shakerspeare atau hasil penulisannya mampu diingati. Tetapi malangnya bagi negara kita, sehingga kehari ini, naskah-naskah penulis yang diberi grand belum dilihat hasilnya. Itu berlaku beberapa tahun lepas. Apakah 5 tahun lagi kita akan menyaksikan pendustaan yang sama? Tepuk dada tanya selera

Adakah teater melayu akan menuju ke arah teater miskin 5 tahun mendatang? Sama-sama kita saksikan.

"Teater Malayu tidak akan berkembang maju selagi belum adanya pembaharuan."- Ahmad Yatim


Naque Ariffin,
Jakarta Pusat.

(7/3/2017)

Wednesday, March 1, 2017

Review: KEGILAAN SANG SUTRADARA LA LA LAND.


Filem ini bermula dengan adegan kesesakan jalanraya di Los Angeles yang kemudian diikuti dengan nyanyi dan tari di jalanan dan di atas kereta dengan koreografi yang mengingatkan kita pada filem muzikal Fame (Alan Parker, 1980). Dan seperti biasa kalau kita menghadam graf 3 act structure pasti kalian tahu kenapa hero dan heroin ditemukan di situ.

Pertemuan-pertemuan berikutnya mereka masih sombong diantara satu sama lain. Memang ada detik-dekit dimana pertemuan mereka yang jual mahal diantara satu sama lain. Dan kononnya kita boleh meneka pasangan ini akan menjadi pasangan yang sempurna. Bagi mereka yang dah menyaksikan mereka dalam filem Crazy Stupid Love dan Gangster Squad tentu saja sudah menyaksikan kedua-dua pelakon ini memang mempunyai apa yang disebut 'onscreen chemistry', keserasian antara dua pemain di skrin yang terasa semulajadi dan tidak dibuat-buat.

Cerita filem ini biasa sebenarnya. Mia Dolan dan Sebastian Wilder adalah para artis yang menjaja bakat di Los Angeles yang bertindak sebagai Industri Pusat Hiburan. Mia (Emma Stone) rajin pergi dari satu ujibakat ke ujibakat selain bekerja mencari duit di kedai kopi, manakala Sebastian (Ryan Gosling) pemain piano yang sangan fanatic dengan muzik jazz, terpaksa mencari duit dengan bermain lagu-lagu pop yang bukan minat beliau. Cita-cita Mia tentu saja menjadi pelakon sedangkan impian Sebastian adalah memiliki Sebuah Kelab Jazz.

Biasa kan? Justeru apa yang membuatkan filem ini menjadi sebutan dan mampu memecahkan rekod dengan membawa pulang tujuh trofi Golden Globes dan menang besar di Oscar tadi? Jawapannya adalah kerana ‘kegilaan’ pengarahnya.

Hal ini kerana, selaku pengarah dan penulis skrip, Damien Shazella telah memberi kita petunjuk awal di dalam liriknya:

‘’A bit of madness is key, to give us to color to see”

Kenapa saya mengatakan pengarahnya seorang yang gila? Jom lihat kenyataan ini. Jika kita melihat sejarah, Filem Muzikal selama ini lazimnya mengangkat pertunjukan/show yang dipentaskan di Broadway ke medium filem. Alasanya sudah pasti mudah untuk menarik pelabur untuk memberi dana untuk sesebuah filem kerana mereka yakin akan mendapat pulangan modal. Selain penonton sudah mengenal cerita dan musik yang digunakan, contohnya Les Miserables dan Mamma Mia. Peminat-peminat filem musical tentu sudah menghafal cerita dan lagunya. Kalau kita tidak mahu pandang produk dari Broadway, kita ambil contoh Filem Muzikal seperti Across The Universe (Julie Taymor, 2008) yang buat cerita berdasarkan lagu-lagu The Beatles. Siapa tidak kenal The Beatles kan? Jadi, kegilaan mamat berumur 31 ni, dia cuba melawan arus kerana Filem La La Land adalah sebuah filem muzikal dengan cerita baru dan musik/lagu yang diciptakan khusus untuk filem ini. Tanpa ada pengaruh dan pengikut yang tersendiri. Gila! Berani mati! Siapa tak takut rugi kan? Tapi dia dah membuktikan bahawa kegilaan adalah kunci kejayaan. Mungkin masa dia tulis skrip ni dalam hati dia ada sebut “ kita perlukan pembaharuan!’’. Sikap inilah yang perlu ada dalam setiap penulis di slot Akasi TV3.

Kegilaan seterusnya adalah pemilihan pelakon oleh pengarah ini. Sebenarnya, 80 pratus tugas pengarah jadi mudah bila dia berjaya memilih pelakon yang tepat dengan kesesuain watak. Kenapa dia memilih dua orang pelakon yang nyanyi pun biasa-biasa dan menaripun tak lah mengasyikan sampai kita klimaks. Jawapannya adalah, ‘kehendak watak’. Bukan macam cerita kita yang watak jual cendol pun nak kena badan sado, pipi mulus tanpa sebarang jerawat walau berniaga di tengah panas. Justru watak Mia bukanlah seorang pelakon dan penyanyi profesional, maka perwatakanya yang bercita-cita tinggi dan tidak mudah mengenal putus asa itu sangat sesuai dgn Emma. Sebastian? Kau tak tahu gilanya pengarah ini pergi hantar si Ryan Gosling belajar main piano sampai nampak pro. Boleh pergi usha kat youtube.

Sebenarnya pengarahnya percaya pada proses. Bukan minggu ni bagi skrip, minggu depan shooting. Kalau tak sia-sia ada buku persiapan seorang aktor. Baik ambil model yang menag dewi/hero remaja dari Los Angeles je berlakon. Tahniah Damien Chazella!

Monday, February 27, 2017

REVIEW: JAMU 2017- Meninjau Seni Tari Dalam Aspek Kontemporari




Saya telah berkesempatan menyaksikan pertunjukan JAMU 2017 yang dibawakan oleh Fakulti Tari ASWARA pada pementasan terakhir semalam. Kali ini saya datang dengan satu misi. Saya akan cuba membaca gerak tari tanpa membaca sinopsis sebelum pementasan dimulakan. Selain itu, selaku orang yang kerap melakukan kerja-kerja teknikal di panggung persembahan, saya sengaja mengalihkan perhatian pada lampu-lampu yang digantung di atas kepala supaya tidak mendengar sinopsis yang dibaca oleh pengacara majlis. Sebenarnya, saya mencabar diri saya: adakah saya mampu membaca karya ini sama seperti membaca sebuah filem tanpa suara. Seperti filem, ianya adalah sebuah gambar yang bercerita. Kita mampu memahami sebuah filem walau filem itu tidak ada dialog sama sekali. Kekuatannya adalah cerita. Dalam seni tari kontemporari juga, sama menurut pandangan saya. Iaitu kekuatanya adalah ‘cerita’. Bergeraklah seasyik dan seindah mana, jika tidak ada penceritaan ianya sama seperti menjentik angin. Sebenarnya, pada pandangan saya, dalam semua aspek kesenian tidak kira teater, tari, filem, penulisan, dan lain-lain, tunjangnya adalah cerita. Tahniah buat semua koreografer Jamu 2017 atas pemilihan cerita dalam gerak karya yang di pentaskan di Studio Blackbox, ASWARA.

Jamu merupakan hasil karya baru bergenre kontemporari oleh pensyarah Fakulti Tari, ASWARA. Istilah ‘kontemporari’ adalah sebuah genre yang menggunakan sistem dan kaedah yang ditemui di era kesenian moden dan pascamoden. Kebanyakan persembahan kontemporari burhubung dengan bentuk persembahan yang lebih segar serta falsafah yang lebih luas dan baru. Kebanyakanya mengupas tentang moden dan pascamoden. Harus di ingat, istilah kontemporari itu wujud atas kemuakan serta pemberontakan pengkarya zaman neo-klasik terhadap persembahan yang telah di strukturkan. Mungkin saya tidak arif dalam bidang tari, tetapi saya membaca JAMU 2017 sebagai performance kerana menurut Richard Schecner, semua aktiviti sosial yang dilakukan seorang individu atau sekelompok orang tertentu boleh dilihat ‘sebagai’ performance. Jadi, saya bebas mengutarakan pandangan saya mengenai JAMU sebagai sebuah persembahan, bukan tertumpu kepada skop kajian tari sahaja.

Dalam pertunjukan JAMU 2017, dua persembahan ini telah menari perhatian saya untuk di diskusikan.

Karya AKTAB oleh Fairul Zahid telah mendominasi pemilihan saya sebagai seorang yang menitik beratkan penceritaan dalam sebuah penciptaan karya seni. Karya ini telah mengangkat aspek kehidupan manusia pascamoden dalam era globalisasi masa kini. Peka terhadap kesengsaraan yang dialami oleh Negara lain adalah isu ‘kemanusiaan’ yang paling jelas dalam karya terakhir JAMU yang di pentaskan pada 24 hingga 27 Februari yang lalu. Isu kemanusiaan dan pemindasan dalam performance ini dikupas secara ekstrinsik dan intrinsik dengan melihat kesannya terhadap kewujudan manusia melalui perspektif performativity. Mungkin istilah ekstrinsik dan intrinsik ini wujud dalam karya sastera tulis, tetapi saya percaya bahawa idea AKTAB ini bergerak melalui penceritaan yang di tulis kerana plot persembahan ini bergerak begitu baik. Malah dunia kesenian pascamoden telah mengangkat elektronik sebagai sastera, tidak keterlaluan jika tari diletakan sebagai sastera lisan atau sastera gerak. Atau istilah sastera gerak sudah disebut sebelum ini saya tidak tahu.

Menurut Baz Kershaw didalam tulisan beliau Drama of the Performative Society, ‘performative socities in the contemporary world are found particularly whare democracy and capitalism meet’. Jelas dalam persembahan ini mengangkat ideologi dan falsafah pertembungan dua buah negara iaitu Palestin dan Israil (walau Negara-negara Islam menidakan kewujudannya). Dalam bidang kajian persembahan, performativity mempunyai hubungan yang rapat dengan ideologi pascamoden itu sendiri. Merujuk kepada bentuk persembahan AKTAB ini, sifat performativity merupakan satu bentuk bahasa atau lebih tepatnya bahasa tindakan yang melengkapi eleman lainnya iaitu teks, imaj dan tubuh yang menjadi eleman utama dalam persembahan ini. Dari segi ‘teks’, memandangkan dalam pertunjukan ini tidak ada naskah, mungkin koreografer bergerak dari sinopsis iaitu tembok yang memisahkan antara Palestin dan Israil. Seterusnya ‘imaj’ yang dipaparkan melalui tembok yang di lakar menggukan cat sembur oleh penari dengan menggunakan warna bendera Palestin dan kostum yang terkoyak jelas menunjukan latar geografi dimana cerita ini berada, terakhir ‘tubuh’ adalah kekuatan cerita ini untuk menyampaikan masej yang tersirat dalam persembahan ini apabila gerak penari:- merangkak, jalan dalam ketakutan dan bergerak secara sembunyi-sembunyi telah membawa penonton dimana peristiwa sebenar berlaku dan perasaan emosi atau fizikal yang dialami oleh rakyat Palestin walaupun tidak berada di sana. Pada akhir persembahan ini, penari melemparkan seakan 'bom' sebagai tanda kemarahan dan mungkin ini kisah ter-fAKTAB dalam sejarah hidup mereka yang cuba digambarkan oleh Fairul sebagai koreografer.

BACKBITING adalah karya kedua yang mendominasi pilihan saya. Walaupun karya ini tampak harmoni dan humoris, tetapi cerita dan masej yang ingin di sampaikan jelas. Saya tertarik menyelami fungsi semantik di dalam cabang teori semiotik. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan memaknakan sesuatu tindakan. Dalam pertunjukan ini, gerak para penari adalah 'tanda' memandangkan dalam pertunjukan ini tidak ada naskah atau teks, maka interteksual mereka adalah dari ‘gerak’. Gerak para penari ini merupakan tenunan atau anyaman tanda-tanda yang membawa 'makna'.

Sebenarnya, melihat persembahan ini, ianya begitu theatrical dan seakan sebuah persembahan Pantomim. Pada permulaan persembahan, terdapat dua orang penari merespon percakapan seorang wanita melalui audio secara berlebih-lebihan dan unsur ini telah tercipta pada abad ke-16 lagi di Itali yang dinamakan Commedia dell’ Arte. Inilah yang saya sebutkan wujudnya unsur theatrical tadi. Tidak terhenti setakat itu, aksi ini diteruskan lagi sehingga ke tamat. Jelas koreografer bergerak dan berpegang teguh pada konsep yang dipilih. Walaupun Pantomim adalah seni yang menggabungkan unsur muzik, kelenturan tubuh dan ekspresi mimik muka sehingga menghasilkan suatu cerita yang dapat difahami oleh penontonnya ianya tetap berbeza dengan gerak tari. Dan Pantomim bukanlah persembahan kontemporari kerana pertunjukan pentomim telah wujud sejak zaman Mesir Kuno lagi. Maka BACKBITING telah berdiri sendiri atau mungkin hanya meminjam eleman pantomime sedikit atau tidak sama sekali.

Saya merasakan karya Failul Adam ini telah merespon terhadap ‘sign language’ rakyat Malaysia. Apabila kita terlalu kenyang, kita pasti akan menggosok perut. Bila keadaan panas disebabkan oleh cuaca pasti kita akan mengipaskan tangan. Ini adalah common bagi rakyat kita. Sama seperti persembahan ini, mungkin ceritanya berkisar tentang orang-orang yang suka bercakap belakang. Apabila ‘tanda’ (tangan yang bergerak tutup buka seperti mulut) telah menjadi ‘petanda’ (sikap orang yang bercakap belakang). Telah nampak kewujudan semiotik disitu. Dan karya ini mengajar kita bagaimana untuk berhadapan dengan orang yang suka bercakap di belakang kita dan bermuka-muka. Saya terhibur.

Secara keseluruhan, semua persembahan JAMU 2017 menarik dan asyik di tonton. Tulisan ini adalah hasil tinjauan saya mengenai seni tari dalam aspek kontemporari. Ianya tidak menyeluruh terhadap semua persembahan yang telah dipamerkan rata-ratanya amat menarik sebagai bahan tontonan. Cuma saya terdapat satu cadangan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak penganjur. Wujudkan sebuah ‘tema’ yang kukuh dalam karya JAMU akan datang. Sebagai contoh, mengangkat tema penindasan misalnya. Jadi kita dapat melihat pelbagai aspek penindasan terhadap wanita, penindasan terhadap pekerja bawahan, penindasan terhadap Negara kelas ke-3 dan pelbagai lagi tetapi ianya masih berpegang kepada tari kontemporari. Mungkin persembahan JAMU yang akan datang akan lebih konseptual dan lebih fokus kepada istilah kontemporari itu sendiri. Apabila meletakkan tema sahaja tanpa memberi sinopsis sebelum persembahan, mungkin akan memupuk atau melatih penonton supaya berfikir tanpa perlu disuap. Subsidi minyak pun makin ditarik dan kita terpaksa mencari duit lebih. Jadi kita tarik subsidi sinopsis untuk melahirkan golongan pemikir yang lebih kritis. hahah :) 


Naque Ariffin,
Seremban, Negeri Sembilan.

27 Feb 2017.

Tuesday, February 21, 2017

REVIEW 15: NORMA ABBAS- KEMBARA MENUJU JANJI



'Kembara menuju janji merupakan sebuah pameran lukisan hasil kerja seni Norma Abbas. Pameran ini memberi tumpuan kepada ikatan perhubungan: yang berwarna-warni dengan keluarga, teman rapat, alam semula jadi dan juga perjalanan rohani seorang wanita yang cukup harmoni dan humoris ini.


Menghayati setiap lukisan yang dihasilkan oleh seniman wanita ini, jelas halwa feminis sangat kuat dalam setiap hasil karya beliau. Kesempurnaan sosok wanita (dari segi fizikal) dalam setiap lukisan beliau sangat jelas berbanding lelaki. Terdapat satu lukisan yang memaparkan 3 tokoh wanita yang sedang duduk sambil diperhatikan oleh seorang lelaki. Tetapi tokoh lelaki itu tidak punya mata berbanding 3 tokoh wanita yang kelihatan "sempurna" pada bahagian muka, seperti gambar (1) dibawah.

Mungkin beliau terpengaruh dengan hubungan teori ''male gaze" ataupun bahasa mudahnya persoalan tatapan iaitu teori yg diasaskn oleh Laura Mulvey: bagaimana seharusnya lelaki memandang seorang wanita. Mungkin juga beliau khatam apa yang Freud sebut sebagai 'scopophilia'  iaitu menggunakan orang lain sebagai objek rangsangan seksual melalui pandangan mata. Abad ini, terlalu ramai yang mengaitkan diri mereka yang kononnya pejuang feminis, 'woman power' dan lain-lain terma yang kononnya merekalah pejuang wanita tetapi bila berhadapan dengan karya mereka, yang dipaparkan adalah lekuk tubuh wanita yang seksi, gambar kemaluan wanita, buah dada dan segala simbol yang kononnya wanita yang sebenarnya  telah menjatuhkan 'rasa' wanita itu sendiri. Seorang pejuang feminis tidak mahu dilihat dan tidak seharusnya dipandang sebegitu. Ini tidak terhad kepada seni lukis/rupa semata. Ia menyeluruh kepada semua cabang seni: teater, filem, penulisan dan lain-lain. Tetapi tidak bagi Norma Abbas, beliau memandang wanita dari sudut bagaimana sepatutnya wanita dipandang. Inilah semangat perjuangan seorang feminis.

Seterusnya, dalam satu karya beliau, "The Love Story of Rama and Sita'' (gambar 2), hanya memaparkan sosok Sita sahaja sedangkan ini merupakan kisah cinta agung dua tokoh dalam hikayat itu. Mana mungkin seorang Sita berdiri tegap tanpa Rama, tetapi dalam karya wanita yang membesar dengan berus di mulut dan cat ditangan ini, segalanya mungkin. Inilah unik dan setianya Norma Abbas, di era kesenian yang semakin urban ini, beliau masih setia dengan permainan berus dengan gaya dan teknik lukisan yang jelas setanding artis kontemporari yang mencipta nama pada era 80-an.





      Gambar (1)                             Gambar (2)
                       
  
Saya amat tertarik dengan pameran yang begitu konseptual ini. Tajuk pameran ini punyai sistem tanda dan penanda atau apa yang disebut semiotic. 'Kembara Pelangi Menuju Janji'. Norma Abbas menggambarkan perjalanan/kembara seharian beliau dalam lukisan menggunakan warna-warna yang sangat lembut/terang yang berlapis lapis. Mungkin inilah yang disebut 'Pelangi'. Dan beliau juga tidak ketinggalan mengucapkan syukur menerusi karya beliau dengan melahirkan karya 99 Nama-Nama Allah yang dipamerkan di ruang terakhir paling hujung selepas anda melewati semua lukisan.

"setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati'' - Surah Ali Imran: Ayat 185.

Sudah tentu JANJI Allah s.w.t itu pasti. Inilah yang disebut 'Menuju Janji' pada tajuk pameran ini. Maka, terciptalah KEMBARA PELANGI MENUJU JANJI. Karya sentuhan Norma Abbas boleh dihayati Galeri Seni Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma sehingga 18 April 2017. Tahniah Puan Sri Norma Abbas.


Naque Ariffin,
Warung Tugu Negara,
Kuala Lumpur.
21/2/2017.

Tuesday, February 7, 2017

MAHASISWA SEBAGAI "AGENTS OF CHANGE" ADALAH MITOS.


**Bacalah dengan nada sinis yang paling agung (termasuk tajuk di atas) dan anda akan temui titik inzal (kepuasan tidak terkata) ketika saya menulis tulisan ini.**

Entah mengapa, setiap kali pulang ke Malaysia pasti saya akan ambil tahu tentang isu-isu politik atau masalah negara yang saya terlepas pandang. Kali ini yang bermain di fikiran saya adalah isu mahasiswa Universiti Malaya yang ditahan dan dibicara/diambil tindakan kerana melanggar peraturan atau akta Universiti.

Tulisan ini bukanlah bermaksud untuk menentang sistem dan undang-undang yang telah termaktub walaupun ianya boleh ditukar secara drastik - tidak seperti nasib yang sudah tertulis di 'lauh mahfuz'. Maknanya masih boleh ditukar. Tetapi tulisan ini lebih kepada cadangan dan mencari solusi untuk menemukan benang merah ataupun titik tengah. Wahai pihak yang berkenaan, jangan takut dengan kuasa Mahasiswa. Jangan. Jangan . Jangan! Kerana mutahir ini mahasiswa kita bukan seperti mahasiwa zaman dulu yang perlu ditakuti. Para mahasiswa generasi kini, mereka lebih senang dan bangga jadi juru tepuk tangan di acara-acara TV (pergi ber bus-bus atas undangan stesen tv) atau duduk di pusat membeli belah atau di kedai kopi hipster ditemani komputer riba jenama buah dan mereka mahu jauh dari kesulitan hidup rakyat marhain tambahan pula mereka diberi PTPTN. Di sana (tempat yang saya senaraikan diatas), mereka dapat berbicara tentang artis idola, filem pecah panggung serta trend atau pakaian terbaru artis korea, dan marah apabila setiap kali ada demo yang membuatkan jalan-jalan di sekitar lembah klang di tutup kerana tuntutan rakyat 'dewasa' yang mahukan perubahan. Jadi jangan takut memberikan mereka kebebasan berpolitik. Jangan wahai tuan yang berhormat.

Jika kita bercakap mengenai cikgu yang berpolitik di sekolah rendah ataupun menengah, ianya masih relevan dan masuk akal kerana usia mereka masih tidak layak untuk mendaftar sebagai pengundi, tetapi jika akta Universiti sendiri meletakkan akta dan syarat sebegitu, apakah selepas ini syarat untuk daftar sebagai pengundi ialah berumur 25 (pukul rata usia tamat diploma/ijazah) kerana masih menggunakan alasan mereka tidak matang dalam politik. Saya cuba memandang hal ini secara positif. Jika dibenarkan mahasiwa berpolitik, hal ini merupakan satu bentuk pendedahan kepada kematangan dalam berpolitik dalam diri mahasiswa itu sendiri disamping membina idealisme mahasiswa untuk menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara.

Selain dari itu, ianya akan memberikan lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia. Kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia akan menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia. Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi? Jika telinga saya tidak pekak dan mata saya tidak buta, itulah yang saya dengar dan lihat setiap kali melihat ibu dan ayah saya ketika berkempen untuk Parlimen Rasah 20 tahun yang lalu. Wakil rakyat akan melaungkan perkataan keramat itu. D.E.M.O.K.R.A.S.I.
Atau Negara kita sudah menghapuskan sistem demokrasi selepas pemimpin bertukar tangan? Maafkan atas ketidak sedaran saya itu. Mari kita teruskan.

Jangan takut wahai Universiti-universiti yang bertapak di Malaysia. Ayuh lihat sejarah. Jika anda tidak mahu contoh Dato Sri Anuar Ibrahim (kerana beliau berdiri di barisan pembangkang walau pernah duduk di bahagian kerajaan pusat), saya senaraikan mereka-mereka yang mempersetujui dana-dana buat Universiti anda untuk setiap kali pembentangan bajet Negara. Ini lah dia barisan nya: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pemimpin lain semuanya bermula sebagai pemimpin pelajar yang condong kepada pembangkang. Tetapi hari ini mereka juga lah yang menjadi orang penting terhadap pembanggunan Negara. Tidakkah anda berbangga kelak ada dari Alumni Universiti anda berada dalam barisan kabinet Negara kita?

Mungkin kebimbangan yang amat sangat kerana anda semua melihat sejarah Indonesia dimana Presiden Suharto yang di gulingkan oleh Mahasiswa selepas menjadi pemimpin selama 32 tahun. Jangan risau. Tolong jangan risau. 32 tahun Presiden Suharto memimpin Negara Indonesia tidak banyak perubah dari segi ekonomi mahupun pembanggunan negara. Pemimpin kita paling lama pun 22 tahun iaitu Tun Mahathir Mohammad. Apa? Tak kenal? Biar betul?Macam ni, pada tahun Presiden Suharto digulingkan 1998, walaupun Malaysia dirundung kejatuhan ekonomi dan ramai ckp kita sombong tak mahu pinjam IMF, pak cik ni selamba je bawa Malaysia ikut rentak dia dan ternyata tidak ada masalah kronik pada ekonomi dan pembanggunan negara kita malah semakin maju ketika itu. Beliau sendiri pun tidak perlu di gulingkan, kerana beliau menjadi pemimpin sebelum lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Dan sekarang nampaknya ada orang membuatkan dia 'lapar' semula selepas 'lauk pauk' yang dia jaga dan beli untuk anak, cucu dan cicit -habis 'dibedal' oleh 'penyamun'.
Sebab tu saya ckp, jangan risau. Mitos mahasiswa sebagai 'agent of change' dah tak boleh di guna pakai. Tenang. Pasti tidak ada pemimpin yang akan memerintah dalam masa yang 32 tahun seperti Presiden Suharto. Jadi tenang, gerakan mahasiswa tidak akan berjaya menggulingkan Pemimpin. Jadi, sudah tiba masanya syarat dan akta 'Pelajar Dilarang terlibat dalam Politik" di setiap buku-buku peraturan Universiti dihapuskan. Jangan takut. Tolong jangan takut. Dana untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) setiap tahun meningkat. Jadi universiti anda pasti akan menerima dana itu. Atau saya tidak tahu yang dana dari Kerajaan hanya akan diberikan kepada Universiti yang hanya ada akta "pelajar tidak dibenarkan terlibat dalam politik'' dalam buku tata tertib dan hal ehwal pelajar mereka. Oh tuhan, maafkan sekali lagi keterlepasan pandang saya jika itu adalah syarat wajib untuk mendapatkan dana dari KPT.

Sebanarnya satu sahaja cadangan saya: sudah tiba masanya Mahasiswa didedahkan kepada makna/maksud 'demokrasi' sebenar dan berpeluang merasai medan politik sebenar yang bukan hanya mengundi mencari calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Sekian,
Naque Ariffin,
Bekas Johan Bahas Ala Parlimen (Piala Menteri Besar) Daerah Seremban (1) 2006 dan 2007.

Fakta: Tahun 2008 saya kalah dengan Kolej Tunku Kursyiah iaitu bekas sekolah Datin Sri Rosmah Mansur. Sekolah ni lagi kuat pusing dari saya. haha.Selamat Pagi Semua.

p/s: "sahaja saya gunakan sedikit perkataan-perkataan arab supaya kalian tahu ramai pemimpin sekarang turut menggunakan nya" - Hitelor