Showing posts with label ArtJog. Show all posts
Showing posts with label ArtJog. Show all posts

Wednesday, June 7, 2017

Review: Setan Jawa- Filem Bisu Yang Menjerit

Sumber foto: https://twitter.com/setanjawamovie

Sinopsis.

Ceritanya mudah, iaitu tentang cinta antara dua darjat. Antara rakyat jelata dengan golongan atasan/bangsawan atau lebih mudahnya antara yang miskin dan yang kaya. Cinta pandang pertama yang berlaku di pasar membuatkan Setio jatuh cinta terhadap Asih, seorang puteri golongan bangsawan. 

Hasrat Setio memperisterikan Asih dibalas dengan tindakan menikam tangan Setio menggunakan sanggul kepala Asih yang tercicir di pasar oleh ibu Asih. Kecewa, marah dan dendam menembusi jiwa Setio. Tindakan Ibu Asih itu akhirnya membawa Setio ke jalan gelap dengan menggunakan ilmu ghaib, ilmu ‘Kandang Bubrah’ (kepercayaan orang Jawa) dengan alasan untuk menjadi kaya dan menjadi orang yang dihormati. Hal ini adalah dengan cara persetujuan dan perjanjian dengan syaitan, syaratnya :- jika dia meninggal dunia Setio akan menjadi tiang rumah. Setio akhirnya setuju dan berjaya menikahi Asih kerana sudah kaya dan dihormati.

Selama menjalani bahtera perkahwinan, pasti ada satu titik rahsia lama ditemukan. Akhirnya Asih tahu jika suaminya, Setio, menggunakan ilmu ‘Kandang Bubrah’ agar dapat berkahwin dengan dirinya. Kerna tidak mahu suaminya tersiksa menjadi tiang rumah, dan kerana cintanya terhadap suaminya, beliau juga telah membuat perjanjian dengan syaitan. Syaitan bersetuju, tetapi dengan syarat bahawa Asih perlu disetubuhi oleh syaitan.



Tayangan filem Setan Jawa di Yokyakarta, 21 Mei2017


Mungkin isu ini bunyi dan kelihatan lapuk bagi sesetengah orang, tambahan pula mengangkat latar kehidupan saat penjajahan Belanda sekitar tahun 1920-an. Kepercayaan terhadap alam mistik telalu tebal dalam kehidupan orang Jawa pada saat itu bahkan sehingga hari ini. Tetapi isu ini sangat sesuai dipaparkan, tambahan pula sentuhan Garin Nugroho untuk filem bisu dan hitam putih ini sangat menakjubkan. 

Saya kira, takaran filem Setan Jawa telah membuatkan pandangan saya yang sebelum ini tengtang "apa yang perlu ada dalam penceritaan sesebuah filem Malaysia" adalah tepat sama sekali. Boleh baca di sini:
(http://naque-ariffin.blogspot.co.id/2017/04/assalammualaikum-filem-kita-sudah.html ) 

Dalam memberi apresiasi terhadap karya ini, saya akan menggunakan pendekatan atau kaedah kritikan berdasarkan sejarah dalam menilai, memahami dan bagaimana pengkarya itu sendiri menghargai seni yang dihasilkan. Dengan cara ini kita dapat melihat kesan filem ini terhadap masyarakat dan pengaruh sejarah terhadap filem. Seterusnya kejelasan ikonografi dalam menjelaskan manifestasi peradapan sesebuah bangsa. Dan terakhir bagaimana Garin Nugroho mendapatkan sumber inspirasi dan budaya kerja berdasarkan sejarah.

Aroma nusantara begitu kuat dalam filem ini. Garin yang saya kenal melalui karya-karya beliau sebelum ini tidak pernah tergelincir dari budaya dan jati diri seorang Jawa. Filem-filem karya beliau:- Opera Jawa, Soegija, Nyai, Guru Bangsa Tjokroaminto dan lain-lain telah menceritakan kebanggan beliau menjadi anak Jawa dengan cara menampilkan estetika budaya setempat di dalam filem. Jawapannya hanya satu. SEJARAH! Saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang gagasan ini dengan terpeinci. Teruskan membaca!

Setan Jawa merupakan filem bisu yang diiringi muzik gamelan secara lansung (live), dengan visual hitam putih selama 73 minit. Kelihatan sangat minimal bukan? Tetapi apa yang membuatkan filem ini begitu elegan dan mewah dimata saya adalah kekayaan budaya yang ada di dalam filem ini. Filem ini banyak memainkan simbol-simbol Jawa yang membuat filem ini berada di kelasnya tersendiri. Walaupun plot penceritaan ini biasa dan mudah diteka (seperti yang saya terangkan diatas) , tetapi kelemahan itu ditutup dengan iringan muzik gamelan yang ditampilkan didepan layar, gabungan hasil sinematografi yang cantik untuk ditatap dan keasyikan tarian dan lakonan. Walaupun ini sebuah filem bisu, saya seakan mendengar jeritan batin yang membingit keluar dari ekspresi wajah Asik, lakonan mantap Asmara Abigail. Tanpa kata-kata, cukup dengan iringan gamelan yang begitu dramatik, kita akan mendengar jeritan seorang perempuan yang dihukum oleh takdir dari sebuah filem bisu ini. Kudos!

Seorang Garin Nugroho telah membuatkan Setan Jawa berada pada kelas well-made-play. Saya tahu ini merupakan istilah yang keluar dari tokoh teater moden, Henric Ibsen. Tetapi bagaimana ianya terkait dalam filem ini? Dan saya kira ini merupakan ramuan yang berhasil bilamana Julie Taymor menggunakan kaedah ini dalam penghasilan filem-filem karya beliau. 


Garin Dan Unsur Sejarah Dalam Filem Setan Jawa.


Menonton Setan Jawa seperti merasai sensasi menonton wayang kulit. Tidak hairan kerana wayang kulit adalah bahagian dari sejarah estetika sejarah filem. Dan sudah tentu cerita-cerita didalam pertunjukan wayang kulit tidak kira dari Hikayat Ramayana dan Mahabrata, Raden Inu Kertapati atau Putra Raja Kahuripan, semua penceritaanya berakhir dengan well-made-play (plot yang komplek yang menimbulkan peripety dan recognition, klimaks dan semua masalah diatasi) dan terhasilah poitic justice (Baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat). Bila adegan dramatic, Dalang akan menggerakkan patung wayang dekat dengan kelir (Close-up dalam istilah filem) dan berada jauh dari kelir (wide shot) bilamana adegan santai. Seterusnya dengan iringan muzik secara lansung oleh pemuzik wayang kulit di belakang kelir. Inilah rujukan buat Garing barangkali dalam menghasilkan suasana baru dalam arena perfileman. Menggabungkan sejarah dan beradaptasi dengan cara lain.

Mari belajar sejarah lagi. Mengapa Garin mengangkat cerita ini di era 1920-an? Beliau terinspirasi dengan filem bisu hitam putih klasik berjudul Nosferatu (1922) dan Metropolis (1927), yang juga diiringi langsung oleh musik orkestra. Justeru apa kaitannya dengan Jawa? Jawapannya adalah 1920 ketika industri perfileman bangun di Negara luar, penjajah masih bermaharajalela di tanah Jawa. Pada waktu itu terjadi kolonialisasi di Indonesia maka lahirnya tahap kemiskinan yang sangat parah di tanah Jawa. Adegan ini dipaparkan pada minit-minit awal filem ini. Penjajah mengikat kaki warga setempat dengan besi dan batu dan dipaksa bekerja dan amalan mistik mula diamalkan kembali dengan kepercayaan mereka akan menjadi kaya. Garin berjaya menggabungkan dua sejarah sekaligus di dalam satu filem iaitu sejarah perfileman dan sejarah rakyat Jawa di era 20-an. 

Sebenarnya, jika kita melihat filem ini dari aspek yang meluas, ianya seakan memapar realiti masyarakat sekarang juga. Tidak hanya cinta, terkadang politik juga akan menghambat kita ke jalan yang dipaparkan ini samaada dalam sedar atau tidak. Sedikit informasi, filem ini hanya ditayangkan di beberapa Negara sahaja: Indonesia (September 2016, Yokjakarta Mei 2017), Melbourne (Februari 2017), Amsterdam , Singapura dan London. Mungkin yang berada di Malaysia boleh ke Singapura pada 21 Jun 2017 untuk menonton filem Setan Jawa.

Naque Ariffin,
Jakarta Pusat,
7 Jun 2017.

Saturday, May 27, 2017

Review: Sebuah Karya Kritik Sosial Karya Najib Ahmad Bamadhaj





Jogja Art Festival atau ART|JOG|10 dibuka pada 19 Mei 2017 telah mengangkat tema ‘Changing Perspective'. ART|JOG|10 tidak hanya memayungi perkembangan seni rupa, tapi juga menjadi festival untuk merayakan keberagaman media seni serta pelaku kreatif. Terdapat seni film, seni pertunjukan, seni tari dan pelbagai lagi diangkat dalam ART|JOG|10 di Yokyakarta, Indonesia.

Pada pandangan saya, ‘Changing Perspective' diangkat bertujuan untuk mengubah sudut pandang individu saat ini. Mengangkat tema pandangan Barat (iaitu ejaan bahasa inggris) yang melakukan pendekatan sains dan teknologi agar dapat mewakili pengetahuan masyarakat modern yang berada di Timur. Paradoks dua perspektif itulah yang coba direspon oleh para seniman ARTJOG, melalui pendekatan – pendekatan tersebut termasuk kemajuan teknologi (berdasarkan hasil karya-karya yang dipamerkan) . Dalam banyak karya kreatif yang di pamerkan di ART|JOG|10 ini, saya tertarik dengan hasil karya Najib Ahmad Bamadhaj yang bertajuk ‘Hairy Ears' yang di pamerkan di lantai 2 galeri.


'Hairy Ears' oleh Najib Ahmad Bamadhaj



Karya 'Hairy Ears' ini adalah representasi visual dari ungkapan bahasa Melayu, yang diterjemahkan harfiah dari bahasa Inggeris berarti 'telinga berbulu'. Penjelasan paling baik dari ungkapan ini adalah perasaan kesal akan sesuatu atau seseorang. Definisi lainnya adalah kemuakan terhadap semua kebohongan yang diceritakan. Kalian pasti pernah mendengar orang melontarkan ayat sebegini: 'bebulu betul lah aku dengan dia ni..". Sebenarnya ini adalah gabungan idiom (ungkapan) gabungan antara telinga dan bulu. Seniman menggunakan cable ties pada bingkai besi untuk menggambarkan sepasang telinga.

Saya cuba menggunakan pendekatan logikal untuk merespon karya ini. Pendekatan ini mungkin dianggap tradisional tetapi ianya akan dirungkai secara logik dan intelektual. Saya tidak menggunakan pendekatan psikologi mahupun sejarah kerana kedua-dua kaedah ini mengambil masa untuk mendekati karya seni diatas.Dengan menggunakan kaedah logik, maka ianya akan sekaligus mengaitkan dengan maklumat, pemerhatian dan penghasilan produk karya.

Seniman berusaha untuk mengungkapkan ketidaksenangan dan ketidakpuasannya terhadap politikus lokal yang tidak dapat dipercaya, yang tidak dapat membantu orang-orang dahulu yang memilih mereka. Karya ini boleh dianggap sebuah bentuk kritik terhadap ahli politik yang tidak jujur dan berusaha sehabis mungkin untuk mengabaikan rakyatnya. Untuk menutupi kesalahan, mereka memanipulasi rakyatnya dengan jawaban yang sama sekali tidak terkait dan tidak relevan untuk persoalan-persoalan bangsa. Pada akhirnya rakyat hanya inginkan kebenaran. Maka dengan itu, ungkapan telinga berbulu adalah ungkapan seniman terhadap skenario politik lokal.

Anda pasti berbulu dengan jawapan menteri-menteri yang dipilih oleh rakyat bila mana mereka mengeluarkan kenyataan seperti ini: " Kalau ayam mahal, jangan makan ayam' atau 'kalau tol naik harga, jangan guna tol'. Berbulu bukan? Ini lah yang cuba saya rungkai dan analisa berdasarkan karya ini. Ini adalah pandangan peribadi saya memandangkan karya ini hanya meletakan judul Telinga Berbulu dan saya rasa inilah kritikan sosial buat sesetengah jemaah menteri kita.



Analisis Formal
Pada karya ini background atau latarnya merupakan logam besi. Selain unsur logam, pada karya seni ini juga terdapat unsur garis dan tekstur. Terkstur pada karya ini adalah tekstur dimana seniman menggunakan cable ties dan visualnya tampak serta timbul, yakni tekstur kasar/tak rata pada background dan tektur halus pada subject matter. Dan mungkin dengan penghasilan karya ini seniman bakal dilontarkan ke dalam jeriji besi seperti aktivis dan kartunis sebelumnya.

Interpretasi
Dalam karya ini seniman berusaha menampilkan rasa ‘berbulunya’ pada pemerintah. Seperti yang saya nyatakan diatas, berbulu disini bermaksud telinga mereka sudah capek/penat mendengar alasan serta omongan pemerintah. Background pada karya yang bergaris-garis seperti penjara bermaksud seniman cuba keluar dari ‘penjara’ atau lingkungan normal dengan menghasilkan karya ini. Ini adalah cara beliau berekspresi dan tidak mahu terkurung didalam sistem pemerintahan. Walaupun pelbagai halangan (garis-garis logam), dendam yang selama ini tersimpan telah melimpah keluar (bulu-bulu dari telinga) yang dapat dilihat pada karya ini. 

Penilaian
Karya Najib Ahmad yang berjudul “Telinga Berbulu” menggambarkan suasana kejelikan dan maknanya dapat ditangkap oleh orang yang melihatnya. Karya ini juga mampu menyampaikan pesan yang ingin diungkapkan oleh seniman kepada penonton atau publik. Selain itu karya ini memiliki karakteristik yang berbeda dengan seniman lain yaitu menggabungkan idea instalasi yang dari jauh ia kelihatan seperti sebuah lukisan, tetapi bila didekati, nyata karya ini timbul. Falsafahnya di sini adalah, seperti beberapa orang pemimpin, dari jauh ia kelihatan baik di media-media masa, tetapi bila di dekati ianya tidak seindah seperti yang dikabarkan media. Tidak semua pemimpin begitu, oleh sebab itu seniman ini memilih warna hitam dan putih. 


Penilaian sebuah karya seni bukan berbicara tentang baik atau buruk, salah atau benar melainkan tentang pemaknaan tersebut meyakinkan atau tidak. Karya seni dapat dinilai dengan berbagai kriteria dan aspek, Bill Barret (seorang seniman seni rupa dari Amarika) menyederhanakan penilaian karya seni ke dalam 4 kategori iaitu realisme, ekspresionisme, formalism, dan instrumentalisme. Jadi terserah kepada kita untuk menilai karya iani berada di takok yang mana. Secara keseluruhan karya ini dapat dibilang sebagai karya yang luar biasa dan banyak penggemar serta menjadi salah satu karya yang paling unik di Art Jog 10 pada pandangan peribadi saya.

p/s: Oh ya, Najib Ahmad Bamadhaj merupakan seniman dari Malaysia, dan saya merasakan hujah serta pandangan saya sejajar dengan maksud yang beliau mahu ungkapkan.Tetapi beliau mungkin lebih halus. Saya memilih pendekatan secara logik kerana apa?Jika difikirkan secara logik, seniman yang berasal dari Malaysia ini berbulu telingnya pada siapa? Sudah tentu dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri dari Negara kita seperti yang saya nyatakan diatas. Saya cuba membuat analisa yang terpeinci terhadap karya ini memandangkan seniman ini berasal dari Malaysia, dan menariknya situasi politik di Malaysia pada masa ini amat tenat. Sekarang, kalian berbulu ke tidak?

Naque Ariffin,
Yokyakarta (Jogja),
25/5/2017.