Monday, March 26, 2012

Review 1 Bunohan : Politik Yang Seimbang Pada Mata Dasar







Pembikin filem BUNOHAN ini boleh dikategorikan sebagai ‘rebel’ kerana melawan arus pemikiran pengkarya-pengkarya lain. Jika dilihat pada sejarah, Aristotle pernah membangkang gurunya iaitu Plato dalam menyatakan falsafah yang berlainan.

Begitu juga Dain Said. Tidak memegang kepada perkembangan-perkembangan plot kronologi yang digunakan oleh pengarah-pengarah ketika ini yang membikin film ‘hot cup maggi’ dimana mudah, cepat dan murah supaya laku di panggung-panggung, sebaliknya beliau memilih untuk mengembangkan ceritanya menggunakan plot kompleks yang menimbulkan peripety dan recognition iaitu berlawanan apa yang penonton mahukan serta dilengkapkan oleh pathos (melengkapkan semua konflik sesebuah cerita) dan menyebabkan tak peduli, jadi peduli dan tak tahu, jadi tahu. Inilah membuatkan filem ini begitu autentik. Menarik bukan?

Selain plotnya yang kompleks, Bunohan mempunyai structural plot yang mempunyai konsep kaitan dimana tema, plot dan watak mempunyai kaitan dengan sosiobudaya, politik dan agama.

Saya berminat menyelami konsep kaitan di dalam Bunohan ini. Melalui tema yang mungkin bagi saya adalah ‘penindasan’ dan dikaitkan dengan isu politik. Menyelami kisah Bunohan ini, ia seakan berada di medan politik, dimana ‘dalam gerak politik umpama perang ganas hukum membunuh dan dibunuh’. Begitu juga di dalam Bunohan. Watak-watak yang ditonjolkan oleh Dain Said seakan membawa haluan politik masing-masing. Ia dapat dilihat dari aspek visual dan kostumnya. Watak Bakar (Pekin) tidak habis-habis dengan baju biru dan merahnya, Ilham (Faizal) pula setia pada baju hijaunya sehingga ke mati tanpa mahu ‘perubahan’ pada bajunya dan Adil (Zahiril) tetap pada ‘namanya’. Dan akhirnya baju biru dan merah itu berjaya menindas yang lain. Tidak habis disitu, tekapan situasi politik di Negara ketika ini juga disumbat muat di dalam Bunohan iaitu bertukar atau lompat parti. Ia direalisasikan pada watak Muski (Amerul) yang pada mulanya merupakan rakan baik Adil dan bertukar menjadi musuhnya di akhir cerita. Segala-galanya kerana duit.

Politik tidak habis pada watak itu, sebaliknya politik terus menyerang Bunohan dari aspek politik filem sekarang. Di dalam filem ini, kelir wayang kulit telah dikoyak dan dicarik dimana membawa simbolik/metafora kepada kemusnahan layar perak oleh segelintir pembikin yang membikin filem ‘hot cup maggi’ : murah, mudah dan senang, tanpa mereka fikir bahawa merekalah yang menjahanamkan estetika perfileman itu sendiri.

Mengapa Si Baju Biru mengoyakkan kelir? Mungkin ia berbalik kepada sejarah karya Dain sebelum ini. Mungkin!!!

Dialog-dialog yang dilontarkan oleh pelakon-pelakon di dalam filem ini juga berbaur politik. Antaranya adalah situasi Cina Burung (Ho Yuhang) mengajar burungnya bertutur dalam bahasa Inggeris dan dibidas oleh Ilham dalam dialognya “tu burung Melayu, bukan burung mat saleh”. Ia mungkin ada kaitan dengan sistem pendidikan Negara ini yang mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Selain itu dialog Pok Wah (Nam Ron) yang diganggu dengan kehadiran Muski (menyatakan Adil cedera) yang berbunyi “mu ingat aku orang politik, nak ceramah-ceramah?”. Ia berbalik kepada sesetengah, saya ulang ‘sesetengah’ pemimpin yang hanya berhujah/ceramah tanpa sebarang tindakan. Tidak kira ia di sebelah kiri atau kanan.

Selain itu, segala konflik di dalam Bunohan berlaku di kedai kopi. Orang Melayu dan cerita kedai kopi tidak boleh diasingkan dalam filem ini. Seperti lagu ‘Cerita Kedai Kopi’. Jika tidak salah pada pemerhatian saya selepas menonton buat kali kedua, kedai kopi itu ibarat ‘parlimen’ apabila menjadi medan singgahan buat si baju biru dan hijau. Tetapi harus diingat Adil tidak pernah muncul di kedai kopi, tetapi diwakili oleh Pok Wah yang menuntut ‘keadilan’ tentang bayaran gelanggang dan peninju kerana Jolok (dilakonkan dengan cemerlang oleh Hushairi Husain) gagal menunaikan janji. Sepatutnya bayaran harus dibuat selepas Awang Sonar (Soffi Jikan) termakan helah Jolok : ‘Jika Awang membuka gelanggang untuk berlawan, maka hutangnya dengan Jolok selesai’.

Filem ini tidak semuanya berunsurkan politik. Ia sebuah filem yang hebat dari aspek visualnya dan pujian harus diberikan kepada pengarah sinematografi yang berjaya membuatkan filem ini begitu autentik kerana membawa penonton merasai erti penceritaan sebenar. Lakonan pelakon-pelakonnya bukan sahaja hebat malah membuatkan anda berkata ‘masih wujud pelakon-pelakon yang ikhlas memberikan emosi’. Syabas!

Konklusinya, filem ini dalam isyarat ‘wajib tayang’ di pawagam sekarang, dan kita penonton harus membawa isyarat bahawa filem ini adalah ‘WAJIB TONTON’. Tidak keterlaluan jika saya katakan filem ini sepatutnya menjadi contoh buat sebuah ‘kilang filem’ seperti (dot..dot..dot) yang selalu mengeluarkan filem ‘bertih jagung’.