Wednesday, November 16, 2022

Ulasan Video Tugu Atas Bukit karya Saiful Razman - Tergabungnya Garis Antara Protagonis dan Femme Fatale.

 


Sinopsis karya ''Tugu Atas Bukit'' dari pamphlet.

 


 Lakonan: Nadia Aqilah dan Meor Hashim Manap

Lakonan Suara: Ameera Ramlee, Fathil Dhani, NamRon dan Firdaus Karim.


Refleksi selepas tontonan.

 


Apa yang menarik tentang karya interdisiplin Tugu Atas Bukit (TAB) ini adalah gabungan gambaran memori silam Saiful  Razman ketika kecil, sastera lisan (oral history) dan alih wahana  iaitu terinspirasi dari novel Rentung karya  Sasterawan Negara, Dato’ Hj Shahnon Ahmad.

Berkesempatan menonton tayangan karya TAB di Balai Seni Negara, Saiful Razman telah membawa penikmat seni untuk meneroka pelbagai kemungkinan dan terserah kepada penikmat seni itu sendiri untuk memberi tafsiran berdasarkan komposisi video, pemaknaan setiap shot, dialog, bunyi dan pelbagai lagi. Saya memilih untuk melihat satu-satunya watak wanita dalam karya ini iaitu Amirah dan bagaimana kaitannya dalam video montage dan drama radio ini.

Thomas Aquinas, seorang ahli falsafah yang kuat pegangan agama pernah menyatakan, bahawa wanita sebenar tidak lengkap tanpa lelaki. Saiful Razman telah menentang pandangan itu dengan mewujudkan watak Amirah. Dalam karya ini, watak Amirah sangat mendekati ciri-ciri wanita yang ada dalam bergenre Neo-Noir, iaitu femme fatale. Tanpa Amirah, tidak akan ada ''Tugu Diatas Bukit''.

Peranan femme fatale kadang-kadang berubah dalam neo-noir. Watak-watak perempuan yang lebih simpati telah memainkan peranan penting dan menguatkan lagi genre ini. Dalam karya ini, Amirah telah kematian bapa, diceraikan dan pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baharu. Amirah pada mulanya hanya bertindak sebagai tukang urut wanita/bidan kampung beralih kepada urut batin untuk kaum lelaki di kampung itu.

Neo-Noir yang muncul selepas era perang di mana penempatan isu sosial menjadi lebih berbeza dan merumitkan: isu-isu kaum, jantina, dan status dicerminkan dengan memberikan takaran yang serius. Satu perkembangan yang menarik dalam eo-noir adalah tergabungnya garis antara protagonis dan femme fatale. Dalam video ini, Amirah telah meletakan dirinya dalam kedua-duanya aspek ini: protagonis dan femme fatale. Protagonis pada watak ini adalah beliau membantu kaum lelaki di kampung itu yang kebanyakannya lemah tenaga batin dan dalam masa yang sama, beliau berjaya mengubah pendirian Yop Pin untuk menjual tanah (untuk dijadikan sebuah jirat Cina) yang selama ini dipertahankan oleh Yop Pin selepas satu sesi ‘urutan’. Hal ini mendekati ciri- ciri neo-noir, iaitu eroticism dan seksualiti. Dalam karya ini, audio (drama radio) menjelaskan perbualan diantara Amirah dan Yop Pin yang sedang dalam sesi urutan manakala visual montage pula memaparkan Amirah sedang melembutkan segumpal tanah liat yang akhirnya menjadi bentuk panjang dan tebal (?).

Dalam konteks Neo-Noir, watak protagonis sebenarnya boleh menghindari segala macam masalah, tapi yang sukar adalah dia tidak boleh lari dari ilusinya sendiri yang kemudian membawa kedalam konflik penceritaan. Dalam konteks TAB, Amirah yang pada awalnya hanya mengurut kaum wanita sahaja dan diterima oleh orang kampung. Permasalahan mula timbul apabila beliau mula mengurut kaum lelaki dan peluang ini digunakan oleh Ngah Berahim untuk menghambat Amirah ke dalam konflik.

Selain itu, ciri-ciri Neo Noir yang terdapat dalam video ini antaranya inverted frames untuk menggambarkan ketidakstabilan watak dalam filem, kerana genre dalam neo-noir cenderung gelap dan wataknya tidak sempurna. Ini dapat dilihat pada watak Ngah Berahim seorang ketua kampung, yang pada awalnya video montage menggunakan warna yang suram dan penghujung cerita semakin gelap (black and white). Dalam tafsiran ini, watak Ngah Berahim seorang yang rasional, simpati dan empati. Pada awalnya beliau tidak bersetuju dan menyebelahi Yop Pin untuk tidak menjual tanah, lama kelamaan menggunakan Amirah untuk mengubah pendirian Yop Pin. Maka terciptalah Tugu Di Atas Bukit yang merupakan syarat Yop Pin sekiranya tanah itu diserahkan untuk dijadikan jerat.

Dalam satu adegan dimana kejahatan telah dilakukan, pencahayaan pada Amirah telah di terangkan hanya dikawasan mata sahaja. Harus diberi penekanan pada babak ini kerana pencahayaan juga merupakan salah satu ciri penting dalam kewujudan famme fatale. Cahaya yang jelas hanya diterangkan pada mata Amirah memberi gambaran yang jelas tentang fahaman feminisme ginokritik yang dipopularkan oleh Elaine Showwalter iaitu “women as writer”. Memandangkan penulis juga seorang perempuan iaitu Nurul Afna Akma, Saiful Razman telah berjaya mengangkat tulisan ke bentuk visual untuk menguatkan genre dan struktur penulisan yang ditulis oleh wanita dan dilakonkan oleh wanita. Garisan cahaya inilah yang saya sebutkan diawal tadi, tergabungnya garis antara protagonis dan femme fatale.

Sebenarnya Neo-Noir tetap berpijak pada visi utama sinema iaitu berupaya memberi refleksi apa yang sebenarnya terjadi dalam masyarakat. Mungkin inilah paparan Kg Cangkat Jong pada kaca mata Saiful Razman diera 90-an menerusi latar karya ini.

Saya mencadangkan Saiful Razman agar merentas satu lagi cabang kesenian iaitu teater untuk mengembangkan karya ini. Dalam era kontemporari masa kini, ada yang disebut sebagai teater immersive. Eksplorasi tentang ruang, bunyi, visual dalam video ini boleh meruntuhkan tembok pementasan konvensional teater dengan menghadirkan penonton lebih dekat untuk menikmati karya TAB ini. Penonton boleh 'lebih' mendengar, melihat, merasai segala bentuk visual yang dipamerkan dalam karya ini tanpa terhad di kerusi penonton seperti pementasan teater konvensional. Tahniah untuk seluruh tenaga kreatif TAB!

 

Naque Ariffin,

Tg Malim, Perak.