Monday, January 20, 2020

Review: INTRIGUE, karya separuh-berani Pasca Malaysia Baharu



Nilai estetika dalam karya seni tari adalah hal yang sangat penting. Dari nilai estetika sebuah karya seni, seorang penonton dapat menikmati hal yang sukar dimengertikan dan memberikan sedikit petunjuk buat penikmatnya. Tari kontemporari termasuk dalam persembahan yang direka secara khusus untuk dinikmati nilai artistiknya. Estetika dalam karya seni tari tidak hanya dilihat dari gerak tari itu sendiri, tetapi boleh dilihat dari bermacam aspek seni yang lain sebagai unsur yang mengangkat konsep persembahan. Tari kontemporari di Malaysia sarat dengan isi kandungan dan juga turut mengangkat pemikiran koreografer. Sedikit atau banyak, pasti terpalit sedikit unsur peribadi dalam gerak yang dicipta.

Semalam saya berkesempatan menonton sebuah tari ‘Intrigue’ yang dipersembahkan oleh Fairul Zahid selaku koreografer dan penari, selain Azmi Zainal Abdden, Muhammad Fadly and penampilan khas, Dr Norzizi Zulkifli.

Saya sering menonton persembahan Fairul sebelum ini. Beliau antara koreografer yang bagi saya sering mengangkat isu-isu semasa dalam koreografi beliau seperti The King & I, AKTAB dan beberapa buah persembahan lagi. Dan seharusnya begitu. Seniman yang baik akan turun ke masyarakat dan merawat kebudayaan setempat. Itulah tugasnya. Akan tetapi, karya Intrigue kali ini seakan hilang arah, tidak masak dan banyak gerak tari yang diulang-ulang tanpa memberi penegasan tertentu. Saya akur, proses pembuatan karya tari sebenarnya tidak semudah membalikkan tapak tangan, ianya perlu pergolakan jiwa yang besar agar karya itu lebih hidup terutamanya karya kontemporari. Sebuah karya akan terasa lebih hidup jika ia berasal dari kejujuran yang dialami dan dirasai oleh pengkaryanya. Kemenangan hakiki bagi seorang pengkarya adalah apabila kita boleh membuat penonton ikut merasakan apa yang kita rasa dan apa yang kita tuangkan di dalam karya.

Fairul ada konsep yang besar namun pencernaan terhadap konsep itu kurang baik. Isu tipu muslihat, membunuh dan dibunuh dalam arena politik Malaysia tidak dikupas dengan jujur. Adakala Fairul seperti ingin melangkah tanpa mempedulikan birokrasi dan sebagainya, tetapi menarik langkah kebelakang semula. Takut barangkali? Bagi saya, jika anda sudah menggunakan suara (Tun M), perkataan, nama (Mazlee) dan isu (Pilihanraya) yang penonton tahu dan kenal orang itu berada di Malaysia, teruskan membongkar isinya. Anda bermain dengan isu politik, teruskan menjadi sebagai seorang redikal!

Berbalik kepada estetika, karya ini punya nilai estetika yang tersendiri. Tidaklah semuanya buruk tentang karya ini. Sebagai pendidik tari, saya yakin Fairul tidaklah semborono dalam melahirkan karya beliau. Dalam karya ini, Fairul menerapkan Teologikal dimana dia membezakan dua tahap pengetahuan iaitu satu berasaskan kepada penelitian fakta, dan satu lagi berasaskan pentafsiran fakta. Disini, seperti kata Socrates, fakta lebih cenderung kepada benda yang khusus manakala pentafsiran fakta lebih kepada idea yang bersifat umum dan universal. Fairul menggabungkan kedua-duanya dimana faktanya adalah Mazlee meletakan jawatannya sebagai Menteri, penafsiran fakta adalah gerak tari Fairul dengan meletakan surat-surat khabar di belakang badannya dan bergerak seperti bebanan yang berat dibahu. Segala gerak ini divisualkan dengan tenaga yang mantap, Fairul seperti masuk dalam dunia Mazlee, bekerja dan bekerja dan bekerja. Menaburkan bakti dan akhirnya apabila surat khabar itu di hempas, bererti dia akur dengan arahan pihak atasan. Dan jika dikaji lebih mendalam, kewujudan fungsi semantik juga telah terkesan dalam pertunjukan ini. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan ‘memaknakan’ sesuatu ‘tindakan’.

Disini juga Fairul menyelitkan pengetahuan beliau tentang performativity di dalam karya Intrigue ini. Performativity merupakan satu bentuk bahasa atau lebih tepatnya bahasa tindakan yang melengkapi eleman lainnya iaitu teks, imaj dan tubuh yang menjadi eleman utama dalam persembahan malam tadi.

Dalam bidang kajian persembahan, performativity mempunyai hubungan yang rapat dengan ideologi pascamoden. Merujuk kepada bentuk persembahan Intrigue, dari segi ‘teks’, Dr Norzizi Zulkifli tampil dengan vokal yang tidak pernah mengecewakan, membawa kita merasai sifat, keadaan dan situasi tekurung didalam penjara dangan tulisan-tulisan di batang besi penjara. Mungkin koreografer bergerak dari ayat ini “we are all clown”. Sifat dan sikap penari di atas pentas seakan bekerja atas arahan pemerintah yang berada dalam penjara. Ini menarik perhatian saya. Bagaimana orang yang diluar, mendengar arahan orang yang berada di dalam penjara. Macam pernah berlaku bukan? Hahaha… Fairul berani mengendalikan isu ini tetapi tidak begitu lantang. Seterusnya ‘imej’ yang dipaparkan melalui gerak bermain mentol lampu merupakan simbol harapan rakyat yang mahukan perubahan, imej gerak kerja berkempen dan selepas menang pilihan raya serta imej kerja-kerja yang tidak dihargai oleh orang atasan di pahat dalam setiap gerak tari Intrigue. Dan terakhir, adalah eleman ‘tubuh’ ini yang pada saya kurang masak. Koreografi Fairul tidak menggunakan kesemua fakta, dari segi teks dan imej yang disebutkan diatas tadi. Ianya ada, tetapi tidak menyeluruh.

Walaubagaimanapun, usaha berani ini harus dipuji. Tidak ramai seniman atau pengkarya tari sekarang ini berani memainkan isu seperti ini ketika perubahan kerajaan yang mungkin ‘murni’ bagi mereka. Teruskan usaha turun kepada masyarakat ini Fairul. Jangan gentar terhadap birokrasi kerana suara seniman itu harus didengar. Sebagai penutup, saya memetik dialog dalam filem White Night yang di inspirasikan dari buku The Great Russian Dancers:

“No metter what I try to do or explore, my expertise, and my background call me to return to dancing after all, because that’s my real vocation, and I have to serve it”



Naque Ariffin,
Kuala Lumpur.
20/1/2020