Friday, January 25, 2019

Simbol dalam Pementasan Teater Devised In/Out




Karya seni berkomunikasi dengan manusia melalui potensi pancaindera dan sejauh mana penonton memberi apresiasi terhadapnya. Melalui karya-karya yang dihasilkan, kita boleh mengenali bentuk pengalaman, pemikiran dan perasaan seseorang samaada pengarah, pelakon, penari mahupun koreografer. Mungkin ada benarnya kata-kata Claire Holt, “tunjukan bagaimana engkau menari,dan saya boleh tahu dari mana asalmu’.

Semalam, saya berkesempatan menonton sebuah Teater Devised In/Out yang dipersembahkan di Pentas 2, KLPac. Karya ini merupakan arahan Ho Lee Ching.

Saya berminat untuk membaca teater ini dari segi simbol yang ditonjolkan oleh pengarahnya. Seni memang tidak terlepas dari simbol. Dalam mamahami simbol persembahan ini, saya menggunakan pendekatan Suzzane K. Langer iaitu bagaimana simbol menghubungkan keseluruhan penceritaan.



(graf untuk memahami bagaimana struktur penceritaan yang berdasarkan simbol)


Simbol adalah kata-kata, atau gambar atau objek/benda. Simbol terbahagi kepada dua iaitu simbol pertuturan dan simbol persembahan. Kedua-dua simbol ini (dialog dan bunga) jelas ada dalam persembahan ini. Tetapi saya lebih tertarik kepada simbol “bunga” yang ada dalam pementasan ini dan merupakan ‘imej’ yang kuat sekali. Berbalik graf diatas, ‘reference’ adalah sesuatu fakta, pengalaman, denotasi yang bagi saya adalah merupakan pengalaman serta kajian yang dilalui ketika proses devised. Konsep pula adalah konotasi, idea, pikiran dan isu. Dan apresiasi saya adalah persembahan ini mengangkat konsep kesedaran terhadap perbezaan.

Di dalam buku Philosophy in a New Key, Suzzane K. Langer menyatakan bahawa sesuatu simbol tidak mewakili objek, tetapi ianya adalah perantara yang bertujuan mewakilkan objek untuk memahami konsep (menurut pemahaman saya setelah di alih bahasa). Sebagai contoh, dalam persembahan ini ada menggunakan bunga sebagai simbol, tetapi bunga itu bukanlah mewakili penceritaan sebenar persembahan ini. Konsep persembahan ini berkisar tentang kesedaran terhadap sesuatu yang berbeza. Berbalik soal bunga tadi, bunga telah menjadi perantara diantara ensamble-ensamble yang berbaju coklat dan seorang gadis berbaju putih. Hanya dengan menggunakan bunga, gadis berbaju putih dalam persembahan ini dapat diterima oleh ensamble yang berbaju coklet.

Sebenarnya, setelah tamat persembahan ini, barulah saya tahu sebenarnya ia berkait tentang kesedaran dan penerimaan terhadap perbezaan (golongan autism) kerana adanya sesi pembentangan dan soal jawab bersama ahli profesional dari Oasis Place. Ya, sekurang-kurangnya saya dapat lebih awal tentang intipati yang ingin disampaikan dalam karya ini iaitu meraikan berbezaan.

Gerak ensamble dalam bersembahan ini bersifat improvisasi dan dekonstruktif dengan memberikan peluang kepada penonton membuat pelbagai tafsiran. Penggunaan muzik yang kedengaran bercanggah dengan gerak di atas panggung sagat menarik perhatian saya. Inilah yang disebut sebagai conflicting unity atau kesatuan yang bercanggah namun memberikan kesan autentik dalam persembahan ini. Sebenarnya persembahan ini bagi saya telah mencapai estetika paradoks. Hal ini kerana, pengarah telah berjaya mempotraykan:- bagaimana seorang pengidap autis memandang seseorang manusia normal dan sebaliknya. Dalam persembahan ini, gadis berbaju putih tadi adalah seorang autis, dan ensamble berbaju coklat adalah mewakili golongan manusia normal. Tetapi, dari segi gerak dan perlakuan diatas pentas seolah-olah mempotraykan bahawa golongan ensamble seperti pengidap autism. Inilah yang mungkin cuba diangkat dalam persembahan ini berdasarkan kalimat:

“and in the sameness that I’ve always needed, I realised I was different.”

Ho Lee Ching telah berjaya merangkai adegan-adegan serta situasi komedi yang sangat minima tetapi telah menimbulkan kesan katarsis di akhir petunjukan. Beliau dalam tidak sedar telah memberi paparan realiti dalam bentuk imaginasi, dan memupuk atau melatih penonton supaya berfikir tanpa perlu disuap secara bulat-bulat dibalik gelak tawa. 
Tahniah buat seluruh ahli produksi.

Naque Ariffin,
KLIA, 
25 JAN 2019