Saturday, July 17, 2021

IGNITE: Menyalakan Kesunyian di Musim Pandemik

 


Menurut Dwi Maryani dalam jurnalnya, Wiraga, Wirama dan Wirasa dalam Tari, menghayati sebuah karya tari, kita tidak boleh lari dari 3 eleman iaitu raga, rasa, irama. “Raga” bererti para penari memiliki kemampuan serta keterampilan untuk mempamerkan setiap gerakan. Untuk mencapai definasi raga ini, ketepatan waktu, gerakan, tempo, dan perubahan gerak merupakan eleman yang sangat penting. “Rasa” menurut beliau pula adalah penari harus menyampaikan masej melalui gerakan tari serta ekspresi gerak atau tubuh dari para penari. Untuk mendapatkan rasa tersebut, para penari serta muzik haruslah seiring agar mendapatkan rasa yang diharapkan. “Irama” pula saling berhubungkait dengan rasa dimana irama dari gerakan tari datang dari iringan muzik. Antara penari dan muzik, kedua-dua elemen ini haruslah saling berkaitan agar masej yang ingin disampaikan kepada penonton dapat disampaikan dengan baik.

Pada pendapat saya pula, hal ini amat asing dalam tari kontemporari. Tari kontemporari lebih bersifat bebas serta tidak ada peraturan khusus tentang pola gerak atau eleman tarian yang lain. Harus di ingat, istilah kontemporari itu wujud atas kemuakan serta pemberontakan pengkarya zaman neo-klasik terhadap persembahan yang telah distrukturkan. Kebanyakan persembahan kontemporari berhubung dengan bentuk persembahan yang lebih segar serta falsafah yang lebih luas dan baru.

Malam ini saya berkesempana menonton sebuah persembahan tari kontemporari, IGNITE AN Evening of Virtual Contemporary Dance Performance. Persembahan ini dijayakan oleh  Fairul Zahid dan Kirby Dunnzell yang bertindak sebagai penari dan koreografer. Persembahan bermula pada 16 dan 17 Julai 2021 secara dalam talian.

Berbalik kepada persembahan malam ini, IGNITE dilihat masih terikat dengan ‘form’ lama dimana tidak banyak percubaan berani yang ditampilkan dalam persembahan malam ini atau lansung tidak ada dari kedua-dua koreografer dan penari ini. Karya ‘Lesson to Remember’  pada saya gagal mengangkat aspek kehidupan manusia pascamoden dalam era globalisasi masa kini. Sebagai seorang yang amat menitikberatkan penceritaan dalam sesebuah karya seni, saya melihat karya ini hilang arah dari aspek penceritaan dan emosinya. Segala emosi ketegangan, sunyi, kepayahan, bosan dan lain-lain dalam menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dijelmakan sehabis baik dan sekadar ala kadar melalui gerak yang ditampilkan. Harus sedar, dalam elemen kontemporari, penceritaan  atau konsep yang diungkapkan melalui karya tari tersebut harus berhubungan dengan masalah kemanusiaan dan kekinian. Hal ini tidak jauh dengan situasi global yang kita hadapi sekarang iaitu pandemik. Ini yang saya katakan diawal tadi, tidak berani! Dalam mendepani kaedah persembahan secara dalam talian, tidak ada aspek visual yang membantu untuk menjadikan persembahan ini lebih menarik. Tiada bantuan teknologi terkini atau kaedah suntingan yang  menarik untuk dilihat. Ianya sekadar merakam sebuah persembahan, kemudian dipertontonkan kepada khalayak. Fairul seharusnya mengaplikasikan teknologi dan kaedah suntingan agar ianya sesuai dengan peredaran dunia teknologi masa kini yang terarah dengan RI 4.0. Karya (dis)simulation mengangkat tema kesunyian seorang lelaki dalam mendepani situasi pendemik ketika ini. Karya ini dilihat lebih subtle. Setiap gerakan memenuhi ruang tamu. Dengan keunikan koreografi yang dihasilkan oleh Kirby Dunnzell, hasil kerja beliau begitu kompleks, cermat dan padat untuk mempamerkan kesunyian yang terjadi dalam kehidupan sehari-hari sepanjang pandemik ini. Namun, karya ini juga dilihat tidak berani mengaplikasikan kaedah yang lebih terkini memandangkan ianya pre-recorded. Pelbagai kaedah-kaedah suntingan yang dapat diterokai dalam menjalankan persembahan secara maya ini. Mungkin kedua-dua koreografer ini hanya mahu melepaskan kerinduan membuat persembahan sahaja barangkali.

Namun, kedua-dua persembahan ini jika dilihat dari aspek lain, ianya boleh ditonton. Muzik dan gerak tari tidak menyatu dalam satu pola irama, namun menyatu dalam suasana. Saya kira inilah kekuatan kedua-dua buah persembahan ini. Fairul mempamerkan keindahan malam Kuala Lumpur dalam gerak yang cuba memecah kesunyian, menembusi batas keheningan malam, melangkah dan bersatu dengan diri sendiri. Fairul juga dilihat menggunakan props seperti kerusi, meja dan lampu tidur sebagai simbol mengusir kesunyian. Ada dua fasa saya kira dalam persembahan ‘Lesson to Remember’ ini. Fasa pertama adalah pasrah dimana gerak tari dan dipamerkan seakan tidak bersemangat, menyerah dan gusar. Fasa kedua adalah fasa meneruskan kehidupan. Fasa ini dapat dilihat setelah gerak sujud dan menyembah serta mencium tanah. Inilah yang dikatakan meneruskan kehidupan atau living with it (hidup bersama covid19). Pada pandangan saya, jika persembahan ini ada menggunakan suntingan time-laps, kita akan lebih menghayati rentetan peristiwa apabila ada perubahan cuaca dari senja ke malam untuk melihat kedua-dua fasa yang saya nyatakan diatas tadi. Walaubagaimanapun, mereka berdua sudah menyalakan kesunyian di musim pandemik ini dengan cara mereka. Tahniah!

Tuntasnya, usaha sebegini ini harus dipuji. Persembahan silang budaya ini pada saya amat penting diwaktu pandemik ini agar kita boleh melihat hasil pengkarya-pengkarya dari luar negara dan bertukar pandangan. Usaha Asia Duo Dance Company perlu diberi tumpuan dan galakan sewajarnya. Bukankah seni itu melakar sejarah atau merakam sejarah yang berlaku? Kita perlu terus berkarya dalam waktu-waktu pandemik ini walau apa jua caranya. Menyerah bererti kalah, setidaknya mereka menunjukan bahawa mereka melakukan sesuatu. Tidak ramai seniman atau pengkarya tari berkarya dimusim ini. Kebanyakan adalah hasil tugasan pelajar tahun akhir. Jika ada mungkin satu, dua? Apa sudah jadi seniman? Bangkit! Teruskan berkarya. Suara seniman itu harus didengar. Persembahan ini berbaki 1 hari lagi  iaitu esok, jam 8.30 malam. Info lanjut: +60 16-685 6688

 

“Nobody cares if you can’t dance well. Just get up and dance. Great dancers are great because of their passion.” -Martha Graham


Naque Ariffin,
Tanjung Malim, Perak.