Sunday, October 30, 2022

Ulasan Ringkas Teater Asrama-RA: Dorm Putra ACT II


Teater Asrama-Ra begitu dekat dengan diri aku. 10 tahun lalu, naskhah Asrama-Ra ini dipentaskan di bawah arahan aku dan Kahirunazwan Rodzy. Atmosphere yang di bina dalam naskah ini juga menggamit kenangan aku selaku pelajar yang pernah duduk di asrama sejak sekolah rendah hingga sekolah menengah. Kita tinggalkan kenang-kenangan dan biarlah ia tersemat dalam sanubari.


Kisah asrama dalam naskhah Asrama-Ra kali ini kelihatan agak taboo iaitu kes buli di asrama. Selaku penulis naskhah dan pengarah, Khairunazwan Rodzy (KR) telah menyuntik isu pemilihan pemimpin yang agak dekat dengan hati masyarakat dikala Malaysia menghampiri pilihanraya dalam menentukan pemimpin yang benar-benar boleh memimpin. Naskhah ini memberi tamparan kepada penonton impak sekiranya kita salah memilih seorang pemimpin. Saya kira cukup itu dulu tentang naskhah yang baik ini. Naskhah yang baik harus menceritakan tentang sekarang dan masa depan. Bukan lagi merakam masa lalu. KR kali ini tidak lagi meyanggah nostalgia dengan menulis kisah-kisah cinta, tetapi lebih manusiawi dan teknik penceritaan yang baik kerana wujud mini klimaks disetiap adegan dan membuatkan penonton tertunggu dan meneka apa akan berlaku. Itulah keajaiban teater, ia memiliki kekuatan untuk mengubah penonton, seorang individu dan membuka hati serta cara mereka berfikir. Sayangnya mereka-mereka yang memegang kuasa tertinggi hanya melihat kesenian hanyalah sebuah hiburan. Aku tinggalkan kekecewaan aku disini. Kita teruskan pada persembahan teater Asrama-Ra.


Beralih pada persembahan, tahniah buat Fadhli Masoot kerana berjaya mengawal emosi kesedihan yang tidak melimpah tetapi masih mampu menjentik emosi penonton. Seperti kata Shakespeare “kesedihan yang melampau-lampau adalah asing bagi seni lakon” melalui dialog Hamlet dalam naskah teaternya dengan judul yang sama (Hamlet). Fadhli meletakkan kematangan lakonannya untuk meletakkan “kematangan” watak Ijan, seorang pelajar sekolah menengah pada tahap sepatutnya tanpa perlu memaksa sehingga akhirnya menjadi rigid. Walaupun diakhir-akhir babak beliau seakan memerah emosi berlebihan, tetapi beliau tetap memegang falsafah yang dibentuk dalam penulisan KR iaitu “memaafkan mungkin tidak akan mengubah masa lalu, tapi tentu dapat berbuat lebih baik masa kini dan masa akan datang”. Jadi, diakhirnya kita melihat beliau begitu subtle dan tenang menyudahkah klimaks cerita ini.


Fadhli Masoot sebagai IJAN.


Asrama-RA: Dorm Putra ACT II juga di barisi oleh pelakon-pelakon lain seperti Nam Ron, Fimie Don, Han Zalini, Ikhlas Jalil, Idham Maulana, Anwar Rusdini, Sri Irdina dan Nesa Idrus.


Ikhlas Jalil dan Fimie Don juga berjaya mencuri tumpuan aku dalam pementasan ini. Mereka memegang watak yang diberikan dengan kukuh hingga ke akhir penceritaan dengan bantuan dialog, watak dan perwatakan yang dicipta oleh penulis dan pengarah.


Naskhah ini merupakan “actor play” dan bukannya “director play” pada pandangan aku. Ini kerana, ianya merupakan sebuah persembahan yang memerlukan kekuatan pelakon yang faham akan peranan masing-masing. Pelakon juga memainkan watak di atas pentas dan bekerja dengan arahan pasukan kreatif (pengarah, pereka set, pereka cahaya dll) untuk menghidupkan sesebuah teater. Ianya sebuah ensemble play tanpa memijak peranan pelakon lain. Perkara yang aku sebutkan diatas dapat di lihat diatas pentas dimana aktor-aktor tadi kelihatan tidak begitu terikat oleh kerja-kerja asas pengarahan seperti susun atur (blocking) ketika bermain melainkan transisi/penukaran babak. Mereka begitu selesa bermain.


Cuma ada beberapa perkara yang mungkin boleh diperlihatkan/diperbaiki dari segi lakonan. Melakonkan sesebuah naskhah ensemble play sebegini memerlukan fokus yang tinggi. Apa lagi ketika rakan lakon sedang berdialog. Ketika awal-awal persembahan, aktor-aktor diatas pentas seakan berusaha keras untuk mempamerkan seperti “oi.. lihatlah aku”. Masing-masing diantara mereka cuba mengatasi vokal sesama sendiri, dengan gesture yang besar dan berlebih-lebih dan tidak organik. Mungkin mereka sedar perkara ini setelah keluar dari pentas, barulah mereka masuk semula dengan kesatuan teater itu sendiri iaitu sebuah “kerja kolektif”. Mereka mula peka dengan apa yang berlaku, siapa yang sedang berdialog, patah dan makna dialog yang dilontarkan. Apa yang aku hormati pada mereka semua adalah tenaga yang diberikan ketika persembahan. Walaupun aku menonton persembahan ini pada petang hari (3.30pm), mereka tetap memberikan persembahan yang terbaik. Tahniah buat semua.


Pereka cayaha, Nawfal Zamri telah berjaya membantu pelakon dan penonton dengan memberikan pilihan-pilihan warna untuk membantu watak Ijan ketika sedang mengalami bisikan-bisikan (trauma/halusinasi) tentang kisah 6 bulan yang lalu dalam naskhah ini. Aku sering memberi penekanan tentang peranan tatacahaya dalam pementasan. Ianya bukan tentang cantik, tetapi adakah ia membantu atau memberi makna terhadap pementasan/sesuatu babak itu. Pemilihan warna dalam pencahayaan adalah penentu tingkah laku di atas pentas. Warna juga mempengaruhi persepsi yang menyebabkan emosi tertentu diatas pentas. Warna mempunyai kualiti yang boleh menyebabkan perubahan emosi pada pelakon dan penonton. Dalam kes ini, Nawfal memilih warna hijau, merah dan biru ketika bisikan pada watak Ijam datang. secara psikologi warna dalam rekaan cahaya, merah membantu merangsang secara psikologi dan meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung.. Biru pula bertentangan dengan merah. Ia mempunyai kesan menenangkan dan neutral. Hijau adalah warna yang paling menenangkan untuk penglihatan manusia. Maka, gabungan ketiga-tiga warna ini telah melambangkan emosi Ijan yang sedang berada dalam tekanan, tetapi perlu tenang dalam masa yang sama kerana keliru dengan situasi yang berlaku.


Akhir kata, Tahniah buat semua tenaga produksi. Pujian harus juga diberikan juga pada tenaga pengurusan Revolution Stage. Setelah 13 tahun aku mengenali produksi ini, kali ini aku lihat mereka secara professional menguruskan sebuah pementasan dari pembelian box office, promosi, rakaman dll hal berkaitan pengurusan sebuah badan profesional. TAHNIAH.


Naque Ariffin,
Majlis Bandaraya Shah Alam.
11.10 Malam
(iya, aku masih dalam hall tengok Gegar Vaganza, tetapi pementasan petang tadi masih bermain dalam fikiran aku)