Friday, September 16, 2016

Review 11- Teater Senapas: Cubaan Membunuh Teater Konvensional Pra-Matang



Saya berkesempatan menonton Teater Senapas pada malam ke-2 pementasan di Studio RS hasil anak-anak muda teater yang membara semangat juangnya.

Senapas di dalagi oleh Syafiq Syazim dan di peran oleh Fadhli Masoot dan Surya Suryani. Mengenai penceritaan Senapas, ianya masih bertitik tolak dari cerita yang saya pernah tonton sebelum ini. Boleh rujuk terhadap post saya sebelum ini.
( http://naque-ariffin.blogspot.co.id/2013/02/review-teater-senapas.html )

Senapas tidak mempunyai takaran sedalam pementasan-pementasan Senapas sebelum ini. Ia tidak sampai menimbulkan rasa belas dan ngeri terhadap cinta yang di halang. Tidak juga sampai memberikan katarsis. Lakonan yang ditampilkan oleh Surya agak rigid dengan tangis yang teresak-esak tanpa pemaknaan dan dibuat-buat. Mungkin gaya lakonan sebegitu sesuai digunakan untuk Teater Bangsawan ketika tarik nasib dan sebagainya.. Keserasian antara pelakon dalam menghubungkan antara watak juga tidak menarik. Saya lebih tertarik melihat apabila babak monolog.. Kedua-dua pelakon begitu ikhlas dalam memberikan emosi. Syabas! Tetapi ketika berdialog sesama mereka, jelas kemesraan dan nafas yang di kongsi diatas pentas tidak punya kesatuan. Surya dengan jelas tidak tenang pada malam itu, dengan dialog yang tidak jelas dan terlalu kerap tersasul. Harus di ingat, aktor yang tidak tenang itu adalah aktor yang tidak bisa menguasai diri sendiri. Hal ini boleh diatasi apabila aktor mengawal pernafasan. Saya faham agak sukar mengekalkan momentum persembahan apabila gerak fizikal dan dialog di lontarkan dalam masa yang sama, tetapi jika masalah ini diatasi, mungkin lakonan yang ditampil kan adalah lakonan yang terbaik sepanjang pementasan di Projek Bilik Sempit. Pujian harus diberi kepada Fadhli Mashoot kerana bijak mengawal tempo persembahan dan tidak terlalu laju dalam melontar dialog dan bermain dgn penuh emosi dan nampak perubahan karektor dari pelajar sekolah ke alam remaja.

Berpindah pula kepada aspek pengarahan. Syafiq mengatakan bahawa beliau ingin lari dari pementasan konvensional. Tetapi bagi saya ini adalah pementasan yang cuba mem bunuh konvensional tetapi masih peringkat pra-matang. Ianya tidak menyeluruh kerana terlalu banyak eleman yang ingin disumbat-muat dalam pementasan sepanjang 50 minit. Usaha memecahkan "fourth wall" yang diperkenalkan oleh Denis Diderot hanya berlaku dalam masa kurang dari 3 minit belum mampu meletakan persembahan ini sebagai nonkonvensional. Saya berpendapat, jika Syafiq benar-benar menggunakan keseluruhan panggung dengan mengaitkan sekali penonton dalam persembahan semalam akan lebih menarik kerana penonton juga mewakili masyarakat kerana persembahan ini berfungsi untuk memberikan kesedaran terhadap sex luar nikah dan akibat hubungan yang dihalang serta kes pembuangan bayi menurut kata beliau. Terma 'import pentas' dalam perkembangan teater kontemporari harus dihadam terlebih dahulu untuk memecahkan tembok ke-4 ini. Memilih untuk memasukan eleman fizikal untuk menutup kelemahan pelakon dalam persembahan ini amat menbantu. Pemilihan gerak yang membawa makna untuk menggantikan dialog dalam pementasan ini berjaya menimbulkan image yang menarik. Menurut Rendra dalam bukunya 'Seni Untuk Remaja' , setiap gerak harus mempunyai alasan yang mengakibatkan  mewajarkan dua sebab ini. alasan kewajaran dan alasan kejiwaan. kedua-dua sebab ini telah membawa pemaknaan dalam pementasan ini. Saya mengakuinya. Mungkin ini adalah kekuatan Syafiq berdasarkan kerja-kerja beliau yang saya tonton sebelum ini.Kudos! pendapat seterusnya, Mungkin Syafiq harus menggunakan props kerusi dengan semaksimal mungkin. Hal ini kerana, kerusi itu kekal sebagai kerusi. Ia berfungsi sebagai tempat duduk dan memanjat telefon. Alangkah menariknya jika kerusi itu digunakan sebagai penghubung dalam semua adegan dan tidak hanya kekal sebagai prop usang di atas pentas.

Secara keseluruhan, pementasan ini akan memenuhi kriteria "well-made-play" jika persembahan ini diuji sedikit masa lagi dari tarikh pementasan disebabkan mereka menyatakan kekurangan masa latihan. Tahniah untuk semua ahli produksi. Teruslah bergiat, jika bukan kita, siapa lagi..

"Ulasan/ kritikan dibuat  bukan tujuan peribadi menghukum dan menghentam, tapi cuba beri solusi dan pendapat yg boleh diraikan." - Umi Khalsom, Pensyarah UiTM

oleh- Naque Ariffin, KLIA 2 (2016)

Tuesday, September 13, 2016

Review 10 - "Absurd Kontemporari" penemuan penyakit baru seperti Zika


Saya terpanggil untuk menulis artikal ini selepas membaca keseluruhan poster ini dan cuba menghadamnya. Harus di ingat, saya menulis bukan untuk menunjuk pengetahuan saya yang sesungguhnya adalah milik empunya Haq, tetapi sekadar berkongsi agar ianya tidak terus mencemari industri teater di Malaysia yang kian nazak dan dicemari parasit bagi saya. Menurut Ahmad Yatim melalui wawancara dan juga dalam buku catatanya- Seniman Silu (belum di terbitkan lagi) , teater di Malaysia tidak akan berkembang maju. Mungkin selepas beliau menghadam buku kecil tulisan Dinsman iaitu "Memajukan teater di Malaysia" serta melalui pengamatan beliau. Saya bersetuju dengan hujah-hujah beliau dimana pembikin atau mereka yang bekerja dalam bidang ini harus punyai ilmu pengetahuan yang seluasnya sebelum melakukan sesuatu pembaharuan. Sebagai contoh, jika mahu membuat sebuah rumah, dari struktur tanah, pekerja, rangka atap,  sehinggalah acuan simen semuanya di ambil berat agar rumah boleh berdiri dengan teguh. Begitulah juga dengan mementaskan sebuah teater, ianya bukanlah sebuah kerja yang cacamarba. Meletakan terma " absurd kontemporari " adalah pemilihan yang begitu berani bagi saya. meletak kan terma ini bukan lah sesuatu yg mudah. satu lagi analogi saya cuba beri disini. Untuk mendirikan sesebuah banggunan, papan tanda projek haruslah didirikan terlebih dahulu- "Cadangan mendirikan Rumah bertaraf 10 bintang setinggi KLCC", tetapi hasilnya janganlah seperti Rumah Flat Pekeliling (yang sudah diribohkan). Sama juga meletak kan terma dalam sesebuah karya, saya tidak mahu menghakimi kerja ini terlebih dahulu sebelum menontonnya, tetapi terma absurd kontemporari itu benar-benar mengganggu tidur malam saya kerana ini adalah medium pendidikan iaitu melalu pembacaan.

Drama kontemporari di barat adalah kemuncak teater global. Antara pelopor atau dramatisnya adalah Sam Shepard, Edward Bond, Athol Fugard di zaman Kolonialisasi (de-kolonialisasi) sehingga munculnya Hybridization dan Intercultural Performance dimana drama di depan penonton, asimilasi penuh/ struktur dan kita diperkenalkan dengan terma "import pentas". Zaman ini antara tokoh dan pelopornya adalah Wole Soyinka. Bertitik tolak dari Kontemporari barat ini lah maka tumbuhnya Rediculous Teater, Teater Gay/Lesbian, Teater Miskin dan Teater Of The Oppressed. Teater Kontemporari masih boleh difahami dan punyai naratif penceritaan. Berbanding pula dengan Absurd yang sudah terang-terang membawa maksud sesuatu yang tidak ada matlamat dan sia-sia serta terputus dari agama,metafizik. Ditambah pula di dalam Absurd harus punya unsur rasional yang tidak rasional, pemikiran yang panjang, punya watak tetapi tidak punya perwatakan serta bersifat circular. Adakah teater Wadah ini punyai cici2 yang menyeluruh seperti saya nyatakan diatas? tepuk dada tanya selera.

Yang mengganggu neuron serta logik akal saya adalah, "Apakah yang cuba diangkat oleh teater Wadah dengan meletakan terma Absurd Kontemporari". Mungkin persembahan ini menggunakan eleman gerak tari kontemporari. Ini berdasarkan pengamatan  saya terhadap poster yang menampilkan adanya khidmat Koreografer. tetapi apakah cerita dalam teater ini megandungi unsur-unsur teater Absurd seperti saya nyatakan diatas. Atau sudah wujudkah terma baru sehingga saya terlepas pandang. Saya rasa sudah cukup untuk meraih publisiti dengan meletakan muka barisan pelakon anda di bahagian poster, jangan lah menyebarkan lagi parasit dengan mewujudkan terma sebegini. Poster anda ini sudah tidak melambangkan Absurd atau kontemporari. Poster juga amat penting kerana mempengaruhi konsep persembahan. Ini berbalik kepada rekaan. Saya yakin, pereka poster anda juga berfikir bagaimana ingin membuat suatu poster yang mengangkat Absurd Kontemporari? Dan disebabkan itu, poster yang terhasil adalah seperti poster teater diakhir 90-an hingga kini (menampilkan muka pelakon popular untuk tujuan publisiti) kerana pereka anda juga keliru dengan terma ini.

Mungkin penulis naskah ini membaca buku cara-cara memajukan teater di Malaysia oleh Dainsman di bawah tajuk Matlamat Nasional. Matlamat nasional adalah menjadikan penulis drama sebagai pilihan iaitu mewujudkan penulis bertaraf Shakespeare dimana karya-karya beliau mampu bertahan sehingga kini. Tahniah, andalah pelopor baru dengan menghasilkan karya "Absurd Kontemporari". Anda mungkin telah menyahut cabaran Dainsman untuk memajukan teater di Malaysia sekaligus menenggelamkan kata-kata Ahmad Yatim bahawa teater Malaysia tidak akan berkembang maju selagi belum adanya pembaharuan.

Saya mencadangkan jika karya ini bertitik tolak dari satu idea, dan dibincangkan bersama aktor atau team produksi dengan gerak kerja kebersamaan, ianya boleh di klasifikasikan sebagai device play, atau ada yang anda eksperimen kan dari segi isu, benda, dan apa-apa jua dalam karya ini, ia boleh di letakan sebagai teater eksperimen.. Atau lebih mudah, jangan terlalu fasis atai menghukum dengan menganggap penonton anda tidak bijak. Berilah mereka peluang untuk berfikir teater jenis apa yang anda pentaskan ini. Saya bimbang, selepas habis menonton, mereka akan menjahili diri mereka dengan mengatakan ianya adalah sebuah pementasan Absurd Kontemporari melalui pembacaan di poster. Saya ulang, poster anda juga adalah medium pendidikan melalu pembacaan. Melalui pembacaan mereka mengerti dan menjadi tahu.

oleh- Naque Ariffin, Seremban (2016)