Friday, September 16, 2016

Review 11- Teater Senapas: Cubaan Membunuh Teater Konvensional Pra-Matang



Saya berkesempatan menonton Teater Senapas pada malam ke-2 pementasan di Studio RS hasil anak-anak muda teater yang membara semangat juangnya.

Senapas di dalagi oleh Syafiq Syazim dan di peran oleh Fadhli Masoot dan Surya Suryani. Mengenai penceritaan Senapas, ianya masih bertitik tolak dari cerita yang saya pernah tonton sebelum ini. Boleh rujuk terhadap post saya sebelum ini.
( http://naque-ariffin.blogspot.co.id/2013/02/review-teater-senapas.html )

Senapas tidak mempunyai takaran sedalam pementasan-pementasan Senapas sebelum ini. Ia tidak sampai menimbulkan rasa belas dan ngeri terhadap cinta yang di halang. Tidak juga sampai memberikan katarsis. Lakonan yang ditampilkan oleh Surya agak rigid dengan tangis yang teresak-esak tanpa pemaknaan dan dibuat-buat. Mungkin gaya lakonan sebegitu sesuai digunakan untuk Teater Bangsawan ketika tarik nasib dan sebagainya.. Keserasian antara pelakon dalam menghubungkan antara watak juga tidak menarik. Saya lebih tertarik melihat apabila babak monolog.. Kedua-dua pelakon begitu ikhlas dalam memberikan emosi. Syabas! Tetapi ketika berdialog sesama mereka, jelas kemesraan dan nafas yang di kongsi diatas pentas tidak punya kesatuan. Surya dengan jelas tidak tenang pada malam itu, dengan dialog yang tidak jelas dan terlalu kerap tersasul. Harus di ingat, aktor yang tidak tenang itu adalah aktor yang tidak bisa menguasai diri sendiri. Hal ini boleh diatasi apabila aktor mengawal pernafasan. Saya faham agak sukar mengekalkan momentum persembahan apabila gerak fizikal dan dialog di lontarkan dalam masa yang sama, tetapi jika masalah ini diatasi, mungkin lakonan yang ditampil kan adalah lakonan yang terbaik sepanjang pementasan di Projek Bilik Sempit. Pujian harus diberi kepada Fadhli Mashoot kerana bijak mengawal tempo persembahan dan tidak terlalu laju dalam melontar dialog dan bermain dgn penuh emosi dan nampak perubahan karektor dari pelajar sekolah ke alam remaja.

Berpindah pula kepada aspek pengarahan. Syafiq mengatakan bahawa beliau ingin lari dari pementasan konvensional. Tetapi bagi saya ini adalah pementasan yang cuba mem bunuh konvensional tetapi masih peringkat pra-matang. Ianya tidak menyeluruh kerana terlalu banyak eleman yang ingin disumbat-muat dalam pementasan sepanjang 50 minit. Usaha memecahkan "fourth wall" yang diperkenalkan oleh Denis Diderot hanya berlaku dalam masa kurang dari 3 minit belum mampu meletakan persembahan ini sebagai nonkonvensional. Saya berpendapat, jika Syafiq benar-benar menggunakan keseluruhan panggung dengan mengaitkan sekali penonton dalam persembahan semalam akan lebih menarik kerana penonton juga mewakili masyarakat kerana persembahan ini berfungsi untuk memberikan kesedaran terhadap sex luar nikah dan akibat hubungan yang dihalang serta kes pembuangan bayi menurut kata beliau. Terma 'import pentas' dalam perkembangan teater kontemporari harus dihadam terlebih dahulu untuk memecahkan tembok ke-4 ini. Memilih untuk memasukan eleman fizikal untuk menutup kelemahan pelakon dalam persembahan ini amat menbantu. Pemilihan gerak yang membawa makna untuk menggantikan dialog dalam pementasan ini berjaya menimbulkan image yang menarik. Menurut Rendra dalam bukunya 'Seni Untuk Remaja' , setiap gerak harus mempunyai alasan yang mengakibatkan  mewajarkan dua sebab ini. alasan kewajaran dan alasan kejiwaan. kedua-dua sebab ini telah membawa pemaknaan dalam pementasan ini. Saya mengakuinya. Mungkin ini adalah kekuatan Syafiq berdasarkan kerja-kerja beliau yang saya tonton sebelum ini.Kudos! pendapat seterusnya, Mungkin Syafiq harus menggunakan props kerusi dengan semaksimal mungkin. Hal ini kerana, kerusi itu kekal sebagai kerusi. Ia berfungsi sebagai tempat duduk dan memanjat telefon. Alangkah menariknya jika kerusi itu digunakan sebagai penghubung dalam semua adegan dan tidak hanya kekal sebagai prop usang di atas pentas.

Secara keseluruhan, pementasan ini akan memenuhi kriteria "well-made-play" jika persembahan ini diuji sedikit masa lagi dari tarikh pementasan disebabkan mereka menyatakan kekurangan masa latihan. Tahniah untuk semua ahli produksi. Teruslah bergiat, jika bukan kita, siapa lagi..

"Ulasan/ kritikan dibuat  bukan tujuan peribadi menghukum dan menghentam, tapi cuba beri solusi dan pendapat yg boleh diraikan." - Umi Khalsom, Pensyarah UiTM

oleh- Naque Ariffin, KLIA 2 (2016)

No comments:

Post a Comment