Tuesday, May 26, 2015

Review 6 - MacBath versi Chin San Sooi




Macbeth merupakan sebuah naskah klasik karya penulis agung, William Shakespeare yang ditulis sekitar tahun 1606. Drama ini adalah salah satu tragedi Shakespeare yang terkenal dan juga paling pendek. Teater Macbeth juga sudah banyak dipentaskan di seluruh dunia dalam pelbagai versi. Pengarah terkenal dari Jepun, Akira Kurosawa pernah mengarahkan sebuah filem bertajuk Kumonosu-jo yang merupakan adaptasi dari naskah hebat ini. Selain Akira, Orson Welles dan Roman Polanski juga pernah mengarahkan Macbeth dalam versi filem.

Naskah tragedi ini dipentaskan pada 4hb sehingga 12bh April di Pentas 1 Damansara Performing Arts Center (Dpac). Diarahkan oleh Chin San Sooi, Mac Beth kali ini membawa konsep Opera China untuk memberi  kelainan.

Berlatarkan set dan pencahayaan yang begitu sederhana tetepi menitik beratkan pada kostum dan tatarias, pujian harus diberikan kepada produksi ini kerena menurut informasi rata-rata daripada mereka semuanya sekadar membantu tanpa sebarang bayaran kerana ingin menyampaikan hasrat pengarahnya.

Tidak dinafikan, teater ini berjaya membuatkan kita terpesona dengan rekaan kostum dan tatariasnya. Penampilan pertama pelakon di atas pentas dengan kostum yang gah membuatkan penonton terpukau dan memberikan tepukan. Sayangnya, para pelakon tidak bijak bermain dengan kostum dan mensiakan satu-satunya unsur tasmat yang ada dalam persembahan ini begitu sahaja. Penggunaan muzik latar yang tidak memberikan sebarang impak juga mencacatkan sedikit persembahan ini. Ini kerana kebanyakan muzik tidak kena dengan situasi yang sedang di pamerkan.

Saya begitu tertarik dengan idea pengarah apabila memilih 3 watak ‘witch’ dimainkan oleh seorang pelakon sahaja. Ini berbeza dengan pementasan Macbeth yang pernah saya tonton sebelum ini. Watak ini dimainkan oleh Pearlly  Chua Poh Choo dengan baik dan berkesan ditambah pula dengan vokalnya yang mantap. Selain itu, watak Porter (dilakonkan oleh K.Pasupathy) juga harus diberikan pujian apabila kemunculannya membuatkan penonton terbangun dari lena sementara.

Sayangnya disini, pelakon-pelakon yang lain tertutup oleh kostum yang besar apabila lakonan mereka ibarat melepaskan batuk di tangga. Satu konklusi yang tepat adalah rata-rata dari mereka kurang bertenaga dan tidak dapat mengawal tempo persembahan memandangkan naskah ini dipentaskan hampir memakan masa dua jam lima belas minit.

Walaubagaimanapun, persembahan ini bukanlah  terlalu teruk. Pujian harus diberikan kepada Chin San Sooi kerana berani membawakan naskah tragedi klasik disaat penonton di Malaysia ketika ini kemaruk dengan teater Muzikal. Tahniah kepada seluruh ahli produksi.

No comments:

Post a Comment