Tuesday, April 3, 2018

Teater Matte Love: Perangkap, Terperangkap dan Memerangkap.


Menurut pengamatan saya beberapa bulan terakhir ini, sebenarnya ramai peminat-peminat kesenian kreatif tumbuh di Kuala Lumpur/Lembah Klang. Akan tetapi satu hal yang kita lihat bahawa kenyataan perkembangan kehidupan dunia teater ini tidak secepat seperti apa yang kita harapkan. Masih banyak panggung pementasan yang tidak penuh dengan kehadiran penonton. Kehidupan kelompok-kelompok teater di Kuala Limpur/Lembah Klang pula dari dahulu bagaikan sampan di tengah gelombang:- sebentar muncul, sebentar tenggelam atau bagaikan pelita di tengah padang:- sebentar redup, sebentar terang kembali. Tetapi aneh bahawa ia tidak pernah tenggelam sama sekali atau mati.

Foote Samuel boleh dikira sebagai individu atau tokoh awal yang menggerakan persembahan monolog:- ‘The Diversion Of The Morning’ dan terkenal selepas menulis buku ‘The Rehearsal’. Di Malaysia pula, tidak banyak catatan atau naskah monolog yang berdiri sendiri dan yang diangkat untuk perkembangan teaterikal ini. Yang ada kebanyakannya adalah naskah-naskah monodrama. Universiti Sain Malaysia (USM) pernah mencatat rekod Malaysia dengan mementaskan Teater Monolog terpanjang dengan durasi selama enam jam dilakonkan oleh Azhar Abd. Jalil pada tahun 2010. Khalid Salleh juga pernah mementaskan Teater Monolog Jual Ubat di lapan stesen kereta api di Malaysia. Pada mulanya, monolog hanya berdiri di dalam sebuah adegan yang ada dalam drama pentas:- dialog yang panjang. Monolog lebih kepada kata-kata yang dilontarkan oleh seorang pelakon yang mungkin ditujukan kepada orang lain. Kata-kata ini lahir dari hati dan diceritakan kepada penonton. Kepanjangan monolog bergantung kepada situasi dan ia bersifat tidak lengkap. 

Beberapa hari lalu saya sempat menonton sebuah pertunjukan seni. Pesta Monolog. Ya! Gabungan dari satu monolog ke monolong yang lain. Sekitar 6 orang pelakon dan 6 orang pengarah menjayakan pertunjukan ini. Yang menarik perhatian saya adalah: ini adalah naskah monolog, tidak ada interaksi sesama pelakon lain tetapi ada jalinan yang dikaitkan oleh penulis sehingga ia menjadi satu cerita yang penuh dan menarik. 

Matte Love merupakan naskah terbaru Khairuznazwan Rodzy. Matte Love diterjemahkan oleh saya sendiri sebagai “cinta yang pelbagai warna” memandangkan didalam kamus urban telah meletakan perkataan “matte” ini sebagai ‘warna’ kepada tatarias. Hal ini bukanlah teatang terjemahan yang secara terus atau harfiah. Ianya berkaiatan dengan kisah cerita yang ada pada setiap watak dalam naskah ini. Matte Love benar-benar bercerita mengenai cinta pelbagai warna dan permasalahan dalam cinta. Jika anda membaca atau menonton naskah-naskah tulisan Khairunazwan Rodzy, beliau bukanlah asing dalam isu ini. Pelbagai naskah cinta telah dihasilkan dan kesemua kisah cinta yang berlainan seperti Perempuan-Perempuan Seorang Wali, Pokok Kelapa Sayang, Senapas, Ratna Kadhal dll. Matte Love dipentaskan dibawah program Projek Bilik Sempit pada 29 March sehingga 1 April 2018, di Revolution Stage. 

Sebenarnya tidak banyak yang boleh dikupas dalam persembahan ini. Ianya sebuah persembahan yang kemas. Bermain di peringkat selamat. Tidak cuba untuk memandai-mandai dan tidak pula berlebihan atau berkurangan. Memandangkan semua ahli produksi terlibat dibawah kelas lakonan dan pengarahan yang dikelolakan oleh Revolution Stage, saya kira mereka mendapat pendedahan yang khusus dalam dunia kesenian, teater terutamanya. Cuma terdapat beberapa komentar jujur yang perlu saya huraikan terhadap persembahan ini melalui tontonan saya minggu kelmarin. 

Pengarahan dan Lakonan.

Pentas disajikan dengan set dan prop yang begitu minimalis. Terdapat kerusi dan bongkah kayu tetapi ianya tidak dimanfaatkan secara efektif dan total oleh pengarah. Pengarah juga kurang memaparkan aksi-aksi pentas yang memberikan siginifikasi terhadap aksi dramatik. 

Lakonan monolog amat mengutamakan watak utama monolog tersebut untuk menggerakkan cerita. Pelakon banyak dibantu oleh elemen artistik seperti lighting, audio, setting dan props memandangkan tiada rakan lakon. Kita sering dengar dengan kalimat ‘play with your costum’, ‘feel the lighting’ dan lain-lain. Sebenarnya inilah yang membantu imaginasi pelakon untuk membantunya menterjemahkan watak yang dimainkan. Dalam pementasan ini, aspek-aspek yang saya sebutkan diatas kurang diterapkan dalam pengarahan. Jika ada, hanyalah dalam 2 pengarahan dari 5 pengarahan itu. Oh ya, kami di beritahu pada malam pementasan (1 April), seorang pengarah dan seorang pelakon tidak dapat beraksi kerana ada masalah yang tidak boleh dielakan, tetapi hal itu tidak mengganggu penceritaan dan persembahan. Jadi pementasan ini dipentaskan dengan 5 pelakon dan 5 pengarah sahaja.

Kemampuan barisan pelakon untuk menjaga tempo permainan, kesedaran terhadap prop memuaskan sebenarnya. Kita melihat par lakonan masing-masing dalam graf yang sama. Tidak ada yang terlalu baik dan tidak pula gagal. Tetapi untuk pengarahan, terdapat beberapa perbezaan. Pelakon biasanya mempunyai teknik dan pendekatan tersendiri untuk mejayakan sesuatu watak. Namun pelakon juga terpaksa akur akan kehendak pengarah bagi mencorakkan watak tersebut. Dari persembahan pertama hingga ke empat, pengarah menggunakan apa yang melekat di tubuh pelakon sebagai props atau alat bantu. Tetapi tidak untuk arahan yang ke -5. Pelakon yang kelima masuk ke pentas dengan bantuan props yang lain. Samaada pengarah tidak percaya pada kemampuan imaginasi pelakon, atau pelakon tidak mampu meyakinkan pengarah dengan lakonannya sehingga menggunakan props bantuan yang lain. Harus di ingat, ini adalah sebuah kerja kolaborasi untuk menjadikan ianya satu persembahan. Saya kira jika ianya berjalan dalan satu konsep, sudah tentu persembahan ini menjadi sangat konseptual.Samaada pengarah yang ke-5 ini terlalu kreatif atau pengarah yang lain tidak memikirkan hal itu. Apapun kembali kepada yang saya katakana diatas, kerja kolaborasi adalah satu kesatuan. 

Tidak cukup hanya naskah yang bagus, pembawakan pelakon seperti gesture, cara watak bercakap, dan detail-detail lain juga harus diperhatikan agar apa yang ingin disampaikan oleh naskah itu sampai kepada sasaran. Pelakon yang bermain dalam naskah ini boleh dikatakan amatur tetapi mempunyai potensi yang besar dalam bidang lakonan. Tidak dinafikan, ada diantara mereka yang ada masalah pada penyebutan, fokus, pernafasan dan sebagainya. Tetapi untuk berada di tahap kelmarin, saya fikir mereka sudah cukup berani memandangkan ianya sebuah naskah monolog yang memerlukan semua eleman yang saya sebutkan diatas.

Hal ini kerana, dari poster juga ianya sudah memberi gambaran sangkar. Saya rasa ianya adalah sebagai perlambangan perangkap/terperangkap. Beralih ke ruang pementasan pula, setnya juga dalam sebuah kotak yang punya halangan seolah-olah perangkap. Setiap watakyang ada dalam naskah ini, mereka sebenarnya telah terperangkap. Adik perempuan yang terperangkap dalam imaginasi dan angan-angan, seorang kakak yang terperangkap dalam dunia glamor, abang yang terperangkap dalam kehendak sosial, adik lelaki yang terperangkap dalam Hypersexuality Disorder, dan seorang kawan lelaki yang terperangkap dalam nafsu sonsang. Saya lanjutkan lagi, kita dapat melihat bagaimana media sosial sebenarnya adalah perangkap bagi watak (akak) yang terlalu khusyuk hingga (abang) terperangkap kerana terkenalnya watak si akak itu di media sosial dan bagaimana watak (kawan)  memerangkap abang yang sedang bermasalah dan perlukan bantuan tetapi punya agenda yang lain. Jika semua pengarah dan pelakon sedar dan faham hal ini, mungkin mereka mampu menolak kreativiti masing-masing dalam membaca sub-teks dan hal-hal yang lain dalam naskah yang punya plot yang begitu kompleks ini untuk menjadikan persembahan malam itu mampu diingati. 

Form atau pementasan seperti ini akan diadakan lagi dengan naskah yang berbeza iaitu “Silent Killer” juga tulisan Khairunazwan Rodzy pada 4-8 April 2018 di Revolution Stage. Kita lihat apa pula tawaran yang diberikan oleh beliau dalam naskah terbaru ini. Tahniah Revolution Stage kerana masih dan terus mewarnai industri teater tanah air. 


No comments:

Post a Comment